Wednesday, January 15, 2014

Pelajar Dakwa Dicabul Timbalan Pengarah...


Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Saya agak tertarik untuk mengupas sedikit mengenai satu berita yang dilaporkan di Sinar Harian iaitu berkenaan dengan seorang Pelajar (Mahasiswi) dakwa dicabul timbalan pengarah. Perkara ini sangat sensitif dan mesti diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya apabila melibatkan isu-isu pelajar.

Sebagai seorang majikan dari Institusi Awam yang bertanggungjawab ke atas pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri seharusnya memberi ruang dan peluang untuk para pelajar menimba ilmu yang sebaiknya dan bukannya mengambil kesempatan yang boleh dikaitkan dengan istilah ‘Gangguan Seksual’ ini.

Saya berpendirian bahawa sewajarnya semua pihak berperanan dalam membendung masalah ini terutamanya melibatkan berita yang dilaporkan ini dan memandang ia sebagai suatu perkara yang sangat ‘serius’. Ianya melibatkan maruah dan harga diri seorang mahasiswi.

Saya juga agak terkilan sebenarnya apabila saya sendiri turut dimaklumkan oleh seorang mahasiswi yang turut melalui perkara yang sama tetapi melibatkan perilaku seorang pegawai (lelaki) yang sepatutnya melayan pelajar seperti seorang anak tetapi menjadikan pelajar tersebut sesuka hati dengan memegang tangan mahasiswi tersebut dan sebagainya lagi. Ianya satu tindakan yang sangat kurang ajar dan biadap !

Insyaallah, saya sendiri akan menuntut bela maruah diri mahasiswi tersebut dengan kerjasama mahasiswi tersebut untuk menceritakan perkara sebenar kepada beberapa pihak sebelum ianya dilaporkan di peringkat yang lebih tinggi mengenai perilaku pegawai terbabit. Saya mengharapkan kes tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya. AMIN.

Jom saya kongsikan berita mengenai ‘Pelajar Dakwa Dicabul Timbalan Pengarah’.

SEREMBAN – Timbalan Pengarah sebuah jabatan, didakwa mencabul seorang pelajar praktikal di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku minggu lepas terbongkar selepas pelajar berusia 20-an itu mengadu kepada kakitangan jabatan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

“Ketika mangsa sedang membuat kerja, suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa lalu mengusap pipi mangsa sebelum tangannya merayap ke anggota badan lain.

“Mangsa kemudian menepis tangan suspek kerana tidak selesa dengan kelakuan timbalan pengarah berusia lingkungan 40-an itu. Namun suspek tidak mengendahkannya lalu meneruskan niat jahatnya itu dengan penuh ghairah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Jelebu itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Pahang, baru menjalani latihan praktikal di pejabat berkenaan, kira-kira sebulan lalu.

“Akibat tindakan timbalan pengarah tersebut, mangsa kini dilaporkan trauma namun dipercayai masih menjalani latihan praktikal di situ.

“Kakitangan pejabat yang mengetahui mangsa dicabul menasihatkannya agar membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksyen ini jika sabit kesalahan.

Sumber : Sinar Harian

*Jagalah diri anda sebaiknya… Insyaallah… =)

Sekian, Wallahua’lam… =)

Ikhlas,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH

0 comments: