Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
“Malaysia Truly Asia”
Itulah ‘tagline’ yang mengangkat Malaysia sebagai sebuah Negara yang perlu dilawati. Setiap tahun, keindahan alam semula jadi Negara ini memikat puluhan juta pelancong domestik dan antarabangsa dan ianya sememangnya merupakan satu anugerah Tuhan kepada Malaysia.
Dari gunung-ganang yang menyimpan pelbagai khazanah alam berusia ratusan juta tahun sehinggalah ke pulau-pulau yang menawarkan lokasi selam berkelas dunia, semuanya ada di Negara ini. Namun sebenarnya, masih banyak aset yang belum dieksploitasi secara maksimum, antaranya yang berbentuk konsep agro pelancongan.
Di Australia dan Amerika Syarikat, pakej melawat ladang epal atau anggur yang menawarkan peluang kepada pengunjung memetik sendiri buah-buah berkenaan telah lama diketengahkan sebagai satu cabang pelancongan yang mendapat sambutan di Negara tersebut. Oleh itu, apa kurangnya Negara kita yang juga memiliki buah-buahan tempatan yang enak dan istimewa.
Baru-baru ini, saya berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan En.Rashidi Abd Jalil, Pegawai Pelancong Jabatan Pelancongan Negeri Johor mengenai sektor pelancongan ini. Banyak perkara menarik yang dapat dikongsikan beliau mengenai apa yang boleh dibangunkan di Negeri Johor berkenaan dengan Agro-Pelancongan.
Semalam pula, saya berpeluang mendengar satu sesi taklimat khas berkenaan dengan Agro-Pelancongan oleh Cik Robiah Hj Suratman, Pensyarah UTM yang mempunyai kepakaran dalam bidang Agro-Pelancongan ini. Banyak perkara dan ilmu baru yang saya dapat sepanjang hampir 45minit bersama beliau dalam sesi taklimat tersebut.
Secara ringkasnya dapat saya katakan bahawa Agro-Pelancongan ini merupakan salah satu daya tarikan pelancongan di Malaysia kerana di Malaysia sendiri mempunyai aset alam semulajadi yang cukup baik terutamanya apabila Malaysia sendiri terletak di kawasan Khatulistiwa.
Banyak tempat menarik yang menggunakan konsep Agro-Pelancongan ini dilaksanakan di Malaysia. Contohnya seperti Malaysia Agriculture Park Selangor, Agro Technology Park MARDI Cameron Highland Pahang, Ayer Hitam Modern Farm, Zenxin Organic Park Kluang Johor dan Kahang Organic Rice Eco Farm Johor.
Semester lepas saya berpeluang untuk mendengar serba-sedikit maklumat dari YB Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan Malaysia berkenaan dengan pelancongan yang terdapat di Malaysia sehinggalah banyak pengiktirafan diberikan terhadap Malaysia berhubung sektor pelancongan ini.
Insyaallah, sepanjang 2 minggu selepas berakhirnya Peperiksaan Akhir Semester kali ini, saya akan membuat beberapa kajian melalui tugasan yang akan diberikan berkenaan dengan Agro-Pelancongan ini. Dan doakan semuanya berjalan dengan lancar. Insyaallah. Dan saya galakkan kepada para belia anak muda untuk sama-sama menerokai dunia pelancongan ini, kerana ada kalanya mampu membuatkan kita sendiri menjadikan bidang ini sebagi sumber rezeki kita suatu hari nanti. Insyaallah…
Saya sempat memerah susu kambing ketika sesi lawatan ke salah satu tempat berkonsepkan Agro-Pelancongan di Negeri Johor
Apa-apa pun, saya akan cuba kongsikan sebanyak mungkin mengenai ilmu-ilmu dan pengetahuan-pengetahuan baru mengenai Agro-Pelancongan ini. Insyaallah…
Sekian, Wallahua’lam…
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Setiausaha Kerja
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia
wan_hazem19@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment