Tuesday, January 15, 2013

2 Mahasiswa UTM Dapat Geran RM12,000 Yayasan James Dyson...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

JOHOR BAHRU - Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masing-masing dianugerah geran akademik RM12,000 oleh James Dyson Foundation (JDF) Engineering Grant kerana menunjukkan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan. 

Mereka ialah pelajar sepenuh masa program Ijazah Kejuruteraan, Muzaffar Izamuddin Daud (Mekanikal) dan S. Rhubbindran (Mekanikal Aeronautik). 

Setiap mereka mengemukakan borang penyertaan dan esei kepada yayasan yang berdaftar di United Kingdom itu untuk menceritakan secara terperinci kecintaan masing-masing terhadap bidang kejuruteraan serta penerangan tentang projek kejuruteraan yang mereka laksanakan, termasuk menjelaskan cara mereka menangani sesuatu masalah secara inovatif. 

"Saya sungguh gembira dengan kejayaan ini. Ia boleh digunakan untuk membiayai projek kejuruteraan tahun akhir saya," kata Muzaffar, 22, yang bercita-cita menjadi usahawan dalam bidang kejuruteraan atau melibatkan diri dalam bidang penyelidikan dan reka bentuk. 

Rhubbindran, 22, yang bercita-cita menjadi jurutera dengan pasukan lumba kereta Formula Satu Maclaren pula, berkata geran itu diharapkan dapat membantunya memperoleh keputusan lebih baik bagi projek tahun akhirnya. 

Ketua Kejuruteraan Dyson Malaysia, James Gill, yang menyampaikan cek geran berkenaan di UTM hari ini, berkata JDF ditubuhkan untuk memberi geran akademik kepada pelajar sepenuh masa tahun tiga jurusan kejuruteraan serta komited untuk menggalakkan anak muda berfikir secara berlainan, membuat kesilapan serta membentuk dan memantapkan potensi masing-masing dalam bidang kejuruteraan. 

"Daripada menangani aspek kejuruteraan kereta lumba hinggalah kepada pesawat helium, inovasi dan kreativiti yang ditunjukkan Muzaffar dan Rhubbindran, sungguh mengagumkan. Kami bangga kerana dapat menyokong pelajar UTM dengan cara ini," katanya. 

Beliau tidak menolak kemungkinan JDF menambah jumlah geran itu pada masa akan datang, sekiranya pelajar jurusan kejuruteraan mengemukakan esei lebih baik dalam penyertaan mereka. 

Di samping memberi geran kepada pelajar, JDF juga mengendalikan bengkel di beberapa universiti di Malaysia. 

Gill berkata JDF dan para jurutera Dyson menggalakkan pelajar memberi perhatian tentang cara sesuatu produk direka bentuk dan mencabar mereka menghasilkan produk sendiri. 

 UTM menjalin hubungan rapat dengan Dyson dan melahirkan ramai jurutera berkualiti, yang kini turut menganggotai pasukan penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan Dyson di Senai, Johor. – Bernama 

Sumber : Sinar Harian 

*TAHNIAH saya ucapkan kepada rakan seangkatan saya, Saudara Muzaffar & Saudara Rhubbindran… Bangga dengan anda berdua…TAHNIAH sekali lagi… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

Razil Tahir said...

tumpang gembira jugak!! XD