Tuesday, January 15, 2013

2 Mahasiswa UTM Dapat Geran RM12,000 Yayasan James Dyson...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

JOHOR BAHRU - Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masing-masing dianugerah geran akademik RM12,000 oleh James Dyson Foundation (JDF) Engineering Grant kerana menunjukkan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan. 

Mereka ialah pelajar sepenuh masa program Ijazah Kejuruteraan, Muzaffar Izamuddin Daud (Mekanikal) dan S. Rhubbindran (Mekanikal Aeronautik). 

Setiap mereka mengemukakan borang penyertaan dan esei kepada yayasan yang berdaftar di United Kingdom itu untuk menceritakan secara terperinci kecintaan masing-masing terhadap bidang kejuruteraan serta penerangan tentang projek kejuruteraan yang mereka laksanakan, termasuk menjelaskan cara mereka menangani sesuatu masalah secara inovatif. 

"Saya sungguh gembira dengan kejayaan ini. Ia boleh digunakan untuk membiayai projek kejuruteraan tahun akhir saya," kata Muzaffar, 22, yang bercita-cita menjadi usahawan dalam bidang kejuruteraan atau melibatkan diri dalam bidang penyelidikan dan reka bentuk. 

Rhubbindran, 22, yang bercita-cita menjadi jurutera dengan pasukan lumba kereta Formula Satu Maclaren pula, berkata geran itu diharapkan dapat membantunya memperoleh keputusan lebih baik bagi projek tahun akhirnya. 

Ketua Kejuruteraan Dyson Malaysia, James Gill, yang menyampaikan cek geran berkenaan di UTM hari ini, berkata JDF ditubuhkan untuk memberi geran akademik kepada pelajar sepenuh masa tahun tiga jurusan kejuruteraan serta komited untuk menggalakkan anak muda berfikir secara berlainan, membuat kesilapan serta membentuk dan memantapkan potensi masing-masing dalam bidang kejuruteraan. 

"Daripada menangani aspek kejuruteraan kereta lumba hinggalah kepada pesawat helium, inovasi dan kreativiti yang ditunjukkan Muzaffar dan Rhubbindran, sungguh mengagumkan. Kami bangga kerana dapat menyokong pelajar UTM dengan cara ini," katanya. 

Beliau tidak menolak kemungkinan JDF menambah jumlah geran itu pada masa akan datang, sekiranya pelajar jurusan kejuruteraan mengemukakan esei lebih baik dalam penyertaan mereka. 

Di samping memberi geran kepada pelajar, JDF juga mengendalikan bengkel di beberapa universiti di Malaysia. 

Gill berkata JDF dan para jurutera Dyson menggalakkan pelajar memberi perhatian tentang cara sesuatu produk direka bentuk dan mencabar mereka menghasilkan produk sendiri. 

 UTM menjalin hubungan rapat dengan Dyson dan melahirkan ramai jurutera berkualiti, yang kini turut menganggotai pasukan penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan Dyson di Senai, Johor. – Bernama 

Sumber : Sinar Harian 

*TAHNIAH saya ucapkan kepada rakan seangkatan saya, Saudara Muzaffar & Saudara Rhubbindran… Bangga dengan anda berdua…TAHNIAH sekali lagi… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

LISTEN : Hormati Suara Pelajar...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Memetik kata-kata Yang Berbahagia, Professor Diraja Ungku A.Aziz (1973) di dalam buku Mahasiswa Menggugat , iaitu : 
“Belajar sambil mencabar, Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin Berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”

Kita digembarkan hari ini dengan istilah ‘Listen, Listen, Listen’ yang cukup memberi kesan kepada semua pihak setelah tersebarnya sebuah video yang memaparkan perjalanan sebuah forum yang bertajuk ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik’ yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Forum yang melibatkan suasana agak tegang di antara panelnya iaitu Sharifah Zohra Jabeen dengan seorang mahasiswi UUM sendiri iaitu Saudari Bawani. 

Melihat kepada perjalanan video yang dipaparkan, ia memperlihatkan bagaimana seorang mahasiswi UUM cuba memberi penghujahan beliau terhadap isu yang cuba beliau bangkitkan dan sampaikan tetapi sedikit keterlaluan apabila panelnya yang juga merupakan seorang Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) bertindak merampas mikrofon dan menyuruh beliau ‘LISTEN’ serta membangkitkan mengenai ‘RESPECT’. Di manakah tahap ‘Keprofesionalan’ yang ditonjolkan oleh beliau? 

Secara peribadinya, saya sedikit kecewa dengan tindakan yang dilakukan sedemikian ke atas mahasiswi tersebut. Dan sedikit sebanyak memberi tempias kepada seluruh mahasiswa/I di Malaysia termasuk saya sendiri apabila diperlakukan sedemikian. Suara mahasiswa/i perlu diberi perhatian apabila melibatkan isu-isu mengenai pembaharuan pendidikan dan pembangunan Negara. 

Adat dalam berkongsi ilmu adalah hormat-menghormati pendapat antara satu sama lain yang perlu diperkukuhkan dalam memastikan setiap pihak dapat berfikir secara realistik dan bukannya diperbodohkan sedemikian. Saya tidak mahu mengulas mengenai video tersebut tetapi saya ingin berkongsi mengenai ‘Hormati Suara Pelajar’. 

Peredaran masa hari ini memperlihatkan bagaimana anak muda, mahasiswa/i dan belia remaja perlu bersama-sama dalam memperbincangkan mengenai sesuatu perkara termasuk hal ehwal yang melibatkan golongan ini. Jika kita tidak membenarkan mereka untuk ikut serta dan mendengar mereka, bagaimanakah kita nak mengharapkan golongan ini bagi membantu dalam merealisasikan harapan Negara di masa hadapan. 

Apa-apa pun, jadikannya sebagai pengajaran dan teladan. Buang yang keruh, ambil yang jernih ! Insyaallah, kita tidak mampu untuk mengubah diri orang lain tetapi diri kita sendiri perlulah mengubah untuk memastikan kita semua dapat bergandingan dalam memastikan kehidupan kita di Negara ini terus aman dan memberi pengiktirafan kepada Suara Pelajar, Suara Anak Muda. Insyaallah. 

Bak kata saudara Nor Mohd Afif (YDP MPM UTM)
“Harapan saya,setelah seharian saya mengikuti perkembangan isu ini, saya mohon kepada mana-mana pihak yang tidak mendapat gambaran jelas tentang hal ini supaya tidak membesar-besarkan cerita dengan pelbagai tokok tambah.” 

Sekian, Wallahua’lam… 


WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Kerja 
Majlis Perwakilan Mahasiswa 
Universiti Teknologi Malaysia 
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, January 7, 2013

Anugerah Juara Lagu 27 - Terukir Di Bintang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH…berakhirnya paper final exam kedua saya iaitu Pembiayaan Projek. Walaupun paper ini antara subjek yang getir tetapi saya dah cuba lakukan yang terbaik. Esok paper seterusnya iaitu Land Information System (LIS). Insyaallah, akan buat yang terbaek dengan usaha yang berterusan. Insyaallah…

Tapi bagi entry kali ini, saya tak nak sentuh mengenai Peperiksaan Akhir Semester tetapi saya nak berkongsi pendapat dan pandangan sedikit mengenai Anugerah Juara Lagu 27 yang berlangsung semalam dan saya berkesempatan menontonnya sambil menelaah pelajaran. Hehehe… =)

“Ekspresi Seni”

Itulah tema yang diangkat bagi anugerah muzik yang cukup berprestij iaitu Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27). Membariskan 12 lagu sebagai finalis dan dihoskan oleh Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Sekali dengar memang best mengenai tema kali ini.

‘Terukir Di Bintang’ , ‘Teman Pengganti’ dan ‘Simetri’ merupakan antara lagu kegemaran saya yang Berjaya masuk ke peringkat akhir. Memang ketiga-tiga lagu ini ada keistimewaan dari segi melodinya, muziknya dan liriknya. Hehehe…

Melihat kepada persembahan kedua-dua belas finalis, boleh saya katakan bahawa AJL 27 antara AJL yang paling meriah dan penuh warna-warni. Pelbagai genre lagu yang dipertandingkan pada malam tadi. Ada yang simple, ada yang berpuisi, ada yang penuh warna-warni, ada yang ala-ala di taman bunga, ada yang ala-ala di tepi pantai dan sebagainya lagi.

‘Terukir Di Bintang’

Itulah lagu yang diangkat menjadi Juara Anugerah Juara Lagu 27 dan menewaskan 11 lagu yang lain. Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Yuna dan dinyanyikan oleh Aizat Amdan yang menggantikan Yuna cukup menarik perhatian dan seakan ramai yang sudah menjangka bahawa lagu ini mampu membuat kejutan dalam meraih tempat di hati juri.

TAHNIAH juga diucapkan kepada lagu ‘Idola’ nyanyian Azlan & The Typewriter dan ‘Ku Akui’ nyanyian Hafiz yang turut meraih tempat masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Kedua-dua lagu tersebut juga antara lagu yang cukup menarik dipersembahkan pada malam tadi.

Kepada yang tewas, teruskan berkarya dalam menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dan mampu menjadi ‘Legend’ sepertimana barisan-barisan ‘The Legend’ yang menyanyikan lagu-lagu yang tak tenggelam dek zaman. Semuanya masih segar dan menjadi siulan anak muda hari ini.


Sekian, Wallahua’lam… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Saturday, January 5, 2013

Agro-Pelancong Malaysia : Satu Daya Tarikan Yang Perlu Diketahui...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Malaysia Truly Asia” 

Itulah ‘tagline’ yang mengangkat Malaysia sebagai sebuah Negara yang perlu dilawati. Setiap tahun, keindahan alam semula jadi Negara ini memikat puluhan juta pelancong domestik dan antarabangsa dan ianya sememangnya merupakan satu anugerah Tuhan kepada Malaysia. 

Dari gunung-ganang yang menyimpan pelbagai khazanah alam berusia ratusan juta tahun sehinggalah ke pulau-pulau yang menawarkan lokasi selam berkelas dunia, semuanya ada di Negara ini. Namun sebenarnya, masih banyak aset yang belum dieksploitasi secara maksimum, antaranya yang berbentuk konsep agro pelancongan. 

Di Australia dan Amerika Syarikat, pakej melawat ladang epal atau anggur yang menawarkan peluang kepada pengunjung memetik sendiri buah-buah berkenaan telah lama diketengahkan sebagai satu cabang pelancongan yang mendapat sambutan di Negara tersebut. Oleh itu, apa kurangnya Negara kita yang juga memiliki buah-buahan tempatan yang enak dan istimewa. 

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan En.Rashidi Abd Jalil, Pegawai Pelancong Jabatan Pelancongan Negeri Johor mengenai sektor pelancongan ini. Banyak perkara menarik yang dapat dikongsikan beliau mengenai apa yang boleh dibangunkan di Negeri Johor berkenaan dengan Agro-Pelancongan. 

Semalam pula, saya berpeluang mendengar satu sesi taklimat khas berkenaan dengan Agro-Pelancongan oleh Cik Robiah Hj Suratman, Pensyarah UTM yang mempunyai kepakaran dalam bidang Agro-Pelancongan ini. Banyak perkara dan ilmu baru yang saya dapat sepanjang hampir 45minit bersama beliau dalam sesi taklimat tersebut. 

Secara ringkasnya dapat saya katakan bahawa Agro-Pelancongan ini merupakan salah satu daya tarikan pelancongan di Malaysia kerana di Malaysia sendiri mempunyai aset alam semulajadi yang cukup baik terutamanya apabila Malaysia sendiri terletak di kawasan Khatulistiwa. 

Banyak tempat menarik yang menggunakan konsep Agro-Pelancongan ini dilaksanakan di Malaysia. Contohnya seperti Malaysia Agriculture Park Selangor, Agro Technology Park MARDI Cameron Highland Pahang, Ayer Hitam Modern Farm, Zenxin Organic Park Kluang Johor dan Kahang Organic Rice Eco Farm Johor. 

Semester lepas saya berpeluang untuk mendengar serba-sedikit maklumat dari YB Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan Malaysia berkenaan dengan pelancongan yang terdapat di Malaysia sehinggalah banyak pengiktirafan diberikan terhadap Malaysia berhubung sektor pelancongan ini. 

Insyaallah, sepanjang 2 minggu selepas berakhirnya Peperiksaan Akhir Semester kali ini, saya akan membuat beberapa kajian melalui tugasan yang akan diberikan berkenaan dengan Agro-Pelancongan ini. Dan doakan semuanya berjalan dengan lancar. Insyaallah. Dan saya galakkan kepada para belia anak muda untuk sama-sama menerokai dunia pelancongan ini, kerana ada kalanya mampu membuatkan kita sendiri menjadikan bidang ini sebagi sumber rezeki kita suatu hari nanti. Insyaallah…

 Saya sempat memerah susu kambing ketika sesi lawatan ke salah satu tempat berkonsepkan Agro-Pelancongan di Negeri Johor

Apa-apa pun, saya akan cuba kongsikan sebanyak mungkin mengenai ilmu-ilmu dan pengetahuan-pengetahuan baru mengenai Agro-Pelancongan ini. Insyaallah… 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Kerja 
Majlis Perwakilan Mahasiswa 
Universiti Teknologi Malaysia 
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, January 2, 2013

Pasangan Khalwat Larikan Kenderaan JAIP...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH..baru lepas paper pertama untuk final exam kali ni. Walaupun agak sukar di situ tetapi dah berikan yang terbaik ketika menjawabnya tadi. Habis sahaja paper tadi terus saya melayari sinar harian online untuk melihat isu-isu dan berita-berita terkini dan saya tertarik untuk berkongsikan mengenai ‘Pasangan Khalwat Larikan Kenderaan JAIP’. Jom ikuti bersama… 

KUANTAN - Seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya berhubung tuduhan berkhalwat bertindak nekad melarikan kenderaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam cubaan meloloskan diri daripada dikenakan tindakan awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, remaja terbabit bersama pasangannya dan dua individu yang turut ditahan atas kesalahan sama dipercayai berada dalam kenderaan sementara dibawa ke pejabat Jaip untuk siasatan lanjut. 

Bagaimanapun remaja berusia 18 tahun itu bertindak menolak pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero sehingga terjatuh sebelum memecut kenderaan menghala ke Indera Mahkota dari di Jalan Wong Ah Jang. 

Pegawai penguat kuasa Jaip berjaya mengejar kenderaan terbabit di satu kawasan di Indera Mahkota dan menahan satu pasangan dalam kenderaan itu. 

Satu pasangan lagi termasuk lelaki yang melarikan kenderaan tersebut berjaya meloloskan diri. 

Bagaimanapun mereka menyerah diri di pejabat Jaip. 

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian. 

Dalam Operasi Cegah Maksiat sempena Tahun Baru 2013 itu, sebanyak 13 pasangan ditahan kerana disyaki berdua-duaan dalam bilik hotel bajet sekitar bandar Kuantan. 

Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun dibawa ke pejabat Jaip untuk disoal siasat mengikut Seksyen 145 (2) Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1984. 

Sumber : Sinar Harian 

*Sedih melihat Tahun Baru 2013 dicemari dengan ketidaksopanan dan perilaku belia remaja Melayu-Islam. Tapi saya tertarik dengan apa yang dibuat oleh Raudhatus Sakinah iaitu Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati yang lebih ke arah mengelakkan aktiviti penzinaan. Anda Bijak Jauhi Zina! 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com