Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
ALHAMDULILLAH…pertama-tama kalinya saya ingin mohon maaf kepada pembaca setia blog saya kerana telah lama tak diup-datekan blog ini dengan artikel-artikel dan perkongsian-perkongsian terbaru disebabkan jadual belajar dan jadual tugas saya sangat padat, sehingga membuatkan saya sendiri kelam-kabut jadinya… Hahaha…
Berbalik kepada penulisan kali ini, adalah saya akan kongsikan satu perkongsian yang cukup bermakna buat saya apabila saya menjadi salah seorang mahasiswa Malaysia yang berpeluang untuk meraikan Sambutan Hari Kelahiran Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-87 pada 19 Disember 2012 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
Mengikut perancangan asal, antara Tetamu Kehormat yang akan hadir pada majlis tersebut adalah YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia tetapi disebabkan urusan beliau di luar Negara, yang menggantikan tempat beliau adalah YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Malam Gala Tun Dr Mahathir Legasi Tersohor ini yang diadakan sempena Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir ini dianjuran secara bersama oleh Majlis Profesor Negara dan Yayasan Wangsa Perdana dengan kerjasama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia dan Yayasan Kepimpinan Perdana.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Profesor Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur. Seterusnya perkongsian secara bersahaja oleh YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut mendapat tepukan gemuruh oleh semua tetamu yang hadir.
Acara kemuncaknya pula adalah Ucapan Balas dan Perkongsian secara bersahaja oleh Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk beberapa perkara yang cukup membuatkan saya terpegun melihat pemikiran bersahaja dari beliau. Perkongsiannya itu sedikit sebanyak membuatkan hadirin di situ berfikir seketika tetapi kebanyakkan hampir sama dengan apa yang saya baca dari buku ‘Doktor Umum : Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad’.
Turut diadakan juga adalah Upacara Memotong Pulut Kuning sempena kelahiran Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-87 dan suap-menyuap antara Tun Mahathir dengan Tun Dr Hasmah. Antara tetamu kehormat yang turut hadir adalah Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka. Persembahan turut diadakan melibatkan nyanyian santai dari Datuk Yusni Hamid dan Alyah.
Saya sendiri ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir yang ke-87 kepada Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad. Semoga beliau terus dirahmati Allah dan dimurahkan rezeki, Insyaallah…’ Di sini juga, saya ingin kongsikan beberapa keping gambar yang sempat diambil ketika majlis tersebut.
Sekian, Wallahua’lam…
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com
Friday, December 21, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment