Saturday, February 25, 2012

Kata Pengantar 'Buku Mahasiswa Menggugat' Oleh Prof. Diraja Ungku A. Aziz...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Hari ini saya tertarik untuk berkongsikan satu cebisan artikel iaitu Kata Pengantar oleh Prof. Diraja Ungku A. Aziz yang dipetik dari buku ‘Mahasiswa Menggugat’. Perkongsian ini sebagai bahan ilmu yang sesuai untuk dikaji dan dihayati oleh setiap mahasiswa terhadap buku ‘Mahasiswa Menggugat’ iaitu isu-isu yang melibatkan mahasiswa.



KATA PENGANTAR : BUKU MAHASISWA MENGGUGAT (1973)

Kajian yang bertajuk Mahasiswa Menggugat ini, merupakan satu catetan tentang sejarah kini, kegiatan Mahasiswa di Universiti Malaya. Pengarang saudara Mohammad Abu Bakar telah menggunakan teknik ahli sejarah untuk mencatetkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di Kampus Universiti Malaya daripada pertengahan tahun enam puluhan hingga ke September 1971. Beliau memberi sedikit sebanyak latar belakang yang perlu diketahui untuk analisanya yang berasaskan aliran atau trend yang telah meresap ke seluruh zaman yang baru lepas itu.

Oleh sebab saya tidak menganggap tugas saya termasuk penilai, saya tidak akan menimbang atau mengsahkan butir-butir (data) atau mengkeritik tentang sebab-akibat maupun sumber dan pemecahan aliran-aliran itu.

Sebagai seorang akademik saya akan menyediakan suatu karangan pengantar yang saya harap akan menghantar buku ini ke tangan mahasiswa, para guru akademik dan masyarakat luar kampus istimewa pemimpin-pemimpin Negara, termasuk: menteri-menteri dan ketua-ketua bahagian pemuda pemudi di kampong XY & Z supaya mereka semua boleh membaca buku ini.

Sudah tentu banyak orang akan bertanya apakah Professor Aziz bersetuju atau tidak dengan gambar yang dilukiskan oleh saudara Mohammed Abu Bakar itu. Dan bagaimana pula tentang analisanya, adakah ini lengkap dan meliputi? Terpaksalah saya menghampakan pembaca-pembaca seperti itu. Di dalam kata pengantar ini saya tidak hendak berdailog dengan saudara Mohammed Abu Bakar. Beliau sudah bersusah payah mengumpul segala butir-butir dan beliau telah memeras otak mengarang buku ini. Tanggung-jawab tentang betul-salah butir-butir itu terpulanglah kepada beliau dan watak-watak serta loyar-buruk loyar-buruk yang duduk di atas pagar dan yang hanya suka bersorak dan mengkeritik. Mereka bolehlah berdailog dan ber“ramai-log” dengan suadara Mohammed Abu Bakar bila saja mereka senang.

Sebagai buku yang mencerminkan kegiatan mahasiswa di lapangan politik, saya anggap karangan ini adalah bersifat peneroka atau pioneer. Oleh itu wajib ia dibaca oleh semua orang yang ada hubungan dengan masaalah pelajaran umumnya atau Universiti khususnya dan pemuda pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya.

Barangkali pada masa akan datang watak-watak yang terkemuka di gelanggang politik mahasiswa seperti saudara Anwar Ibrahim atau saudara Syed Hamid akan menerbitkan fikiran mereka di dalam otobiography mereka. Di situ kita mungkin boleh mendapat tahu dengan lebih jelas lagi tentang kisah yang telah berlaku dari segi pemandangan khusus bagi tiap-tiap seorang itu.

Agak saya, saudara Mohammed Abu Bakar, tentu boleh membenarkan saya menambah sedikit, kepada analisa yang beliau telah beri. Yang demikian parageraf-parageraf yang berikut hanya boleh disifatkan sebagai ‘complementary’ atau lauk tambahan kepada jamuan yang sudah dihidangkan di dalam buku ini.

Saya cukup insaf tentang perjuangan mahasiswa pada lima tahun yang lalu. Selaku Naib-Chanselor, saya telah mengalami gas pemedih mata dua kali. Saya telah menghadapi ribuan mahasiswa yang sudah menunjuk perasaan hinggakan sebahagian daripada mereka sudah seperti orang yang turun hantu. Saya kira saya telah menggunakan masa saya lebih daripada tiga ratus jam, jika dikira, untuk berunding, bercakap dan berdialog dengan wakil mahasiswa di dalam beberapa jenis keadaan daripada keadaan senyum sambil minum teh sehingga kepada babak muka bengis sambil badan berpeluh berdiri di tengah panas.

Saya telah coba bekalkan diri saya dengan segala kenyataan dan fact-fact yang boleh memberi saya gambaran keadaan yang sebenar dan lebih-lebih lagi yang boleh menolong saya mereka suatu analisa tentang sebab-sebabnya sesuatu peristiwa itu telah berlaku.

Di dalam sains social usaha mencari punca sebab dan usaha mereka hypothesis atau tiori yang boleh menjelaskan apa sebabnya sesuatu perkara itu telah berlaku adalah masaalah yang penuh denggan pancaroba. Namun demikian saya percaya pengaruh yang paling asasi bagi sebahagian besar mahasiswa yang giat di dalam pergerakan mahasiswa iaitu mencabar, berdemo, mengeluarkan karya pamphlet dan lain-lain adalah kebanyakannya simtom atau tanda penyakit yang lebih mendalam pada masyarakat kaum desa. Penyakit itu adalah kemiskinan mengikut istilah saya sendiri.

Istilah “kemiskinan” (ala Aziz) mengatakan konsep kemiskinan itu adalah relatif dan ia terbit dari jurang antara orang yang berpendapatan lebih dan orang yang berpendapatan kurang. Pendek kata jikalau pembahagian pendapatan berubah supaya orang yang berpendapatan lebih itu bertambah dengan nisbah yang lebih daripada orang yang berpendapatan rendah, maka jurang pendapatan itu akan membesar dan inilah menjadi bukti bahwa dari segi objective dan kontrit kemiskinan itu pun sudah bertambah.

Mengikut tiori saya kemiskinan adalah akibat dari tiga sebab : kadar pengeluaran yang kecil (low productivity), tindasan (exploitation) dan keadaan terbiar (neglect).

Jika dibandingkan dengan faktor ekonomi seperti buruh, tanah dan modal yang digunakan di kawasan luar desa, kesemuanya menunjukkan kadar pengeluaran yang lebih rendah di kawasan desa sama ada perusahaan itu pertanian, perikanan atau kilang-kilang kecil. Kadar pengeluaran itu boleh di pertinggi dengan penggunaan alat baru dan cara kerja yang lebih licin serta baja kimia, ubat pembasmi serangga dan lain-lain. Akan tetapi saya tidak percaya alat baru dan lain-lain itu boleh dipakai atau dimiliki oleh kaum tani jikalau mereka tidak dilepaskan dari belenggu tindasan kaum kapitalis desa.

Maka sebab kemiskinan yang kedua jadi prerequisite atau wajib-utama bagi rancangan pembasmian kemiskinan. Peminjam wang yang makan bunga 60 hingga 120 peratus ; peraih yang mengambil lipat ganda untung dari apa yang berpatutan ; tuan rumah yang mengambil sehingga 50 peratus dari jumlah hasil pengeluaran dan kadang-kadang lebih dari itu serta majikan desa yang tidak memberi cukup sara hidup kepada buruh kampung adalah orang-orang yang menjadi golongan Kapitalis desa yang menindas dan memiskinkan kaum petani, khasnya orang Melayu di desa. Selagi kaum petani dan kaum nelayan tidak dilindungi dari tindasan golongan Kapitalis desa itu, selama itulah alat moden serta baja kimia itu tidak dapat dipakai oleh mereka.

Sebab kemiskinan yang ketiga ialah keadaan terbiar. Sekarang menteri-menteri pun sedia mengaku bahwa keadaan kesihatan atau persekolahan di desa kurang mutunya jika dibanding dengan keadaan yang ada di Bandar-bandar. Sepuluh tahun dulu ini tidak dapat perhatian yang sebegitu. Oleh sebab sebahagian besar anak Melayu yang sampai ke Universiti datang dari latar belakang desa yang terbiar itu maka merekapun dari segi realitive, lemah di dalam kesihatan, bekalan fikiran dan lain-lain dan mereka tidaklah dapat seimbang dengan mahasiswa yang datang dari kota-kota. Sekarang Negara dan universiti sibuk mencoba membetulkan keadaan tak seimbang itu. Insya Allah kita akan Berjaya. Akan tetapi bagi tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, kemiskinan adalah menjadi pendorong asasi di dalam gerakan mahasiswa.

(Inilah sebabnya saya sedang coba mengarang sebuah buku tentang kemiskinan desa dan masaalah pembangunan ekonomi desa itu).

Maka boleh dikatakan bahwa 80 peratus dari jumlah orang Melayu di Malaysia Barat tinggal di desa. Dan orang Melayu menjadi 70 peratus dari jumlah penduduk desa. Pendek kata orang Melayu adalah kaum desa dan kaum desa adalah orang Melayu. Keadaan pendidikan di desa sangat buruk jika dibandingkan dengan keadaan persekolahan di kota di mana hanya 20 peratus daru jumlah orang Melayu sedang tinggal. Jikalau kita lihat hasil peperiksaan SRP., SPM. Atau STP, tiap-tiap tahun jelaslah kejayaan yang dicapai di sekolah-sekolah kota jauh lebih baik daripada hasil peperiksaan murid-murid sekolah di kawasan luar kota. Inilah membuktikan kekurangan alat mengajar, kelemahan mutu dan pengalaman guru serta kemudahan-kemudahan yang lain yang dialami oleh pelajar-pelajar yang pergi ke sekolah di kawasan desa itu. Kelengkapan pendidikan sains di desa sangatlah kurang jika di bandingkan dengan sekolah di kota.

Tidaklah hairan jikaulau anak desa, iaitu sebahagian besar anak Melayu tidak berpeluang masuk ke Fakulti-Fakulti aliran sains. Mereka menumpu kepada aliran sastera istimewa Fakulti Sastera. Dan tidak hairan juga jikalau isi otak mereka serta kecerdasan fikirannya, pada umumnya tidak sama dengan pelajar-pelajar di kawasan kota, termasuklah pelajar-pelajar sebangsanya. Yaitu anak China di kawasan desa tidak sama dengan anak China yang dapat peluang belajar di kota-kota seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Anak-anak orang India di kawasan desa menghidapi handicap yang serupa dengan anak Melayu di desa. Masaalah yang pokok ialah : bilangan atau peratus anak Melayu yang tinggal di desa adalah sangat besar jika dibandingkan dengan bilangan anak dan bangsa lain.

Saya tidak lupa juga menyatakan bahwa di antara pelajar-pelajar yang ramai itu memang ada kecualian yang dapat kejayaan yang gilang-gemilang tetapi kes-kes itu hanya kecualian dan apa yang saya sebutkan di sini ialah keadaan bilangan umum atau keadaan pukul-rata.

Yang demikian, apabila mereka sampai ke peringkat Universiti mereka mengalami frustrasi tentang pelajaran dan cara fikiran peringkat tinggi dan tentang penggunaan angka atau Ilmu Hisab, Statistics. Mereka telah dimomok-momokkan oleh gurunya yang sendirinya lemah dan berinferiority kompleks tentang hisab. Berkenaan dengan membaca di dalam Bahasa Inggeris (bukan menulis akan tetapi membaca) pun mereka yang datang dari aliran Melayu sengatlah lemah. Sungguhpun kita boleh memberi kuliah dalam Bahasa Malaysia dan kita boleh beri peluang kepada mahasiswa menulis jawaban peperiksaan di dalam Bahasa Malaysia, walau bagaimanapun mereka mesti menggunakan buku rujuk serta ensaiklopedia dan lain-lain yang hanya ada di dalam Bahasa Inggeris. Maka kumpulan mahasiswa yang lemah secara relatif itu berasa terdesak, frus dan mereka selalu berfikir masyarakat kampus tidak berapa menghiraukan masaalah mereka.

Tambah lagi mereka inilah golongan mahasiswa yang berkeluarga di kawasan desa yang paling miskin di antara semua golongan keluarga mahasiswa. Mereka boleh lihat beratus-ratus kereta yang dimiliki oleh mahasiswa berkeluarga di kota-kota. Mereka boleh lihat baju, buku, tape recorder dan lain-lain yang dimiliki oleh golongan mahasiswa berada itu. Mahasiswa dari desa mungkin menerima surat dari keluarganya minta bantuan wang untuk perkara-perkara yang bersifat “Patah-Ganda”. Manakala mahasiswa kota pula sebaliknya menulis ke keluarga mereka minta wang untuk membantunya karena mungkin beasiswa 2,500 ringgit setahun itu tidak mencukupi.

Peristiwa-peristiwa seperti inilah yang menjadi faktor asasi yang mendesak pelajar-pelajar Melayu khasnya di Fakulti Sastera menjadi kumpulan besar di antara mereka yang giat “mencabar” itu.

Saya tidak menafikan kejujuran tiap-tiap satu tujuan kempen atau tunjuk perasaan mereka. Kebanyakannya adalah perjuangan tentang masaalah yang “real” atau konkrit. Sama ada kita bersetuju atau tidak perjuangan tentang kedudukan pemimpin besar di gelanggan politik, dasar bahasa, dasar pelajaran, penubuhan Universiti Kebangsaan dan dasar politik luar negeri adalah masaalah pokok bagi masyarakat dan Negara Malaysia. Mahasiswa bukan saja berhak mengeluarkan suara-intelek mereka, akan tetapi boleh dikatakan mereka wajib memberi syor serta teguran oleh kerana merekalah di antara ribuan pemuda pemudi yang lain, dari desa dan kota, yang bernasib baik berpeluang mencapai pelajaran tinggi.

Namun begitu saya berasa kuasa sebenar (real force) yang mendorong mereka pada peringkat asasi – samaada conscious, sub-conscious mahu pun unconscious – ialah situasi kemiskinan yang sangat nyata di kampung-kampung mereka dan jurang perbedaan pendapatan yang cukup nyata apabila mereka datang ke kota besar seperti Kuala Lumpur dan khususnya apabila mereka sampai ke sekitar kampus Universiti Malaya.

Yang demikian apabila kita mengkaji keadaan mahasiswa eloklah kita bedakan dengan jelas di antara apa yang mereka itu mahu atau kehendaknya (wants) dan apa yang mengikut fikiran kita sendiri apa yang mereka perlukan (needs) sebenarnya. Kadang-kadang kehendaknya dan keperluannya itu sama saja (concide). Kadang-kadang oleh sebab kepentingan taktik mahu pun strateji, pemimpin mahasiswa terpaksa menekankan kehendak yang tidak begitu ada hubungan langsung dengan keperluan mereka.

Saya rasa satu daripada ukuran kebijaksanaan seorang ketua Universiti ialah terletak di atas kecekapan beliau menilai keperluan mahasiswa di samping melayani kehendak pemimpin mereka dan akhirnya menarik perhatian pemimpin-pemimpin itu kepada keperluan yang sebenarnya.

Pada umumnya, setelah menjadi Naib-Chanselor selama lebih dari 1,300 hari saya boleh mengatakan dengan ikhlas bahwa pengalaman itu sangat “stimulating”. Tajuk buku ini adalah “Mahasiswa Menggugat”. Bukan saja mahasiswa yang menggugat, saya pun boleh mengarang sebuah rencana yang bertajuk Universiti Menggugat. Pagi, petang, siang, malam, Universiti itu mendapat cabaran dari sekeliling keadaannya. Cabaran itu datang bukan saja dari 8,500 mahasiswa akan tetapi juga dari pihak kesatuan sekerja : kakitangan am dan kakitangan akademik. Dari Kementerian-kementerian dan dari suratkhabar-suratkhabar (istimewa suratkhabar Inggeris). Dari wakil rakyat dan ribuan jenis dan ragam pemimpin Malaysia kini. Pendek kata kadang-kadang saya berfikir saya harus mengarang sebuah rencana bertajuk “hikmat pencabaran seorang Naib-Chanselor”.

Cabaran-cabaran itu adalah stimulating. Ia memberi peransang dan jika kita Berjaya menjelaskan sesuatu cabaran kita pun berasa sangat senang dan tenang di dalam jiwa dan hati kita. Mungkin cara hidup seorang Professor atau pegawai biasa boleh menjadi tawar atau terfrustrated oleh sebab kekurangan cabaran. Perlu saya ingatkan pula cabaran tanpa kuasa untuk menyelesaikannya boleh menimbulkan frus yang paling hebat.

Sebagai penutup pesanan saya ialah : biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar,

Belajar sambil mencabar, Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar.

PROF. UNGKU A.AZIZ (1973)

Sumber : Buku Mahasiswa Menggugat (1973)

*Perkongsian ini diharapkan dijadikan sebagai bahan ilmiah berbentuk akademik untuk kita terus mengkaji dan mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat agar tidak tergelincir dari jalan yang lurus. Saya juga amatlah berharap agar semua pihak bergabung atas nama Mahasiswa dan seterusnya bertindak sebagai Pemangkin Kesejahteraan Agama, Negara dan Masyarakat. Insyaallah, moga setiap apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Taala… =)

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: