Tuesday, April 19, 2011

Musyawarah Asas Kemajuan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Sebelum ini saya pernah mengenengahkan penulisan berkenaan dengan ungkapan ‘Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah’ dan hari ini saya ingin memberi kesinambungan berkenaan dengan isu ini yang saya tengok semakin parah jika kita masih takut dengan bayang-bayang sendiri.

Setiap barisan kepimpinan termasuklah Kepimpinan Negara, Kepimpinan Organisasi mahupun Kepimpinan Mahasiswa, setiap yang menunjangi kepimpinan-kepimpinan ini perlu mendengar rintihan dan luahan dari orang yang dipimpin. Inilah lumrah yang dikatakan sebagai amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin dalam menerajui kepimpinan berlandaskan keadilan dan kesaksamaan.

Agak terkilan jika dikatakan bahawa sesebuah pembentukkan organisasi mahupun kepimpinan masih ‘TAKUT’ dalam menelan kenyataan dan pandangan daripada mana-mana anak buahnya. Inilah punca yang menjadi barah kepada mahasiswa-mahasiswa hari ini iaitu masing-masing ingin menjadi ‘HERO’ di pentas masing-masing.

Sebagai seorang bekas Pemimpin Mahasiswa, saya merasakan bahawa setiap mahasiswa perlu dan diberi peluang untuk memberi pandangan terutamanya secara bersemuka atau ‘face to face’ kerana inilah yang dikatakan sebagai perbincangan. Mungkin ramai yang salah anggap iaitu menggunakan kuasa ‘VETO’ adalah lebih baik daripada berbincang (Musyawarah).

Rasulullah juga pernah bersabda, “Katakan yang benar,sungguhpun ia pahit dan tidak digemari orang.”. Sudah menjadi kebiasaan dalam setiap organisasi amat memerlukan pandangan dari setiap ahli untuk terus memantapkan dan memajukan organisasi tersebut. Bukan hanya mendengar kroni-kroni yang sentiasa akan mengampu ketuanya untuk terus menyatakan sokongan terhadapnya.

5 tahun saya memimpin pelajar dan mahasiswa iaitu bermula sebagai kepimpinan Surau Al-Huda, Persatuan Pendidikan Islam, Asrama Pelajar Lelaki, Persatuan Bahasa Melayu, Kelab Tenis & JPA3 sehinggalah JKM-KSJ, Persatuan PEHARTA dan Majlis Perwakilan Mahasiswa, saya merasakan bahawa mendengar luahan atau pandangan orang bawah adalah amat perlu jika kita mahukan sebuah organisasi yang mantap dan berkualiti.



Kejujuran yang dinyatakan oleh setiap ahli itu adalah sebenarnya teguran ‘Mutiara’ yang akan terus menyinari kepimpinan tersebut. Setiap manusia berfikir dengan caranya yang tersendiri. Tidak semua manusia akan berfikir seperti mana kamu berfikir. Itulah sebenarnya yang dikatakan sebuah ORGANISASI atau KEPIMPINAN.

Sesebuah kepimpinan mahupun organisasi adalah sebenarnya medan untuk kita memahami setiap pemikiran ahli-ahlinya bukannya menjadi ‘Pak Turut’ yang akan sentiasa menjadi barah atau virus yang akan merosakkan minda dan kepimpinan generasi akan datang. Berubahlah sebelum terlambat.

Akhir kata, saya berpesan sekali lagi kepada diri saya sendiri dan seluruh pembaca blog saya, sekiranya menjadi atau menerajui sesebuah kepimpinan / organisasi, janganlah sombong atau angkuh dengan jawatan yang sementara itu dan janganlah sesekali mengenepikan pandangan dari mana-mana ahli / orang biasa yang berkemungkinan besar mereka inilah yang akan merubahkan landskap kepimpinan / organisasi ‘Kuku Besi’. Berubahlah sebelum terlambat!

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

1 comments:

Cerita Pok Ta said...

Nice articel..share ckit k..=)