Tuesday, July 3, 2012

Tokoh Perintis Penterjemahan Al-Quran...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Hari ini saya ingin kongsikan serba sedikit maklumat atau pengetahuan am mengenai Tokoh Perintis Penterjemahan Al-Quran. Nak tahu? Jom teruskan membaca…hehehehe 

TOKOH PERINTIS PENTERJEMAHAN AL-QURAN 

Salman Al-Farisi, sahabat Rasulullah SAW merupakan orang pertama kali menterjemahkan kitab suci al-Quran ke dalam bahasa lain. Dalam sejarah disebutkan, beliau menterjemahkan surah al-Fatihah secara lisan ke dalam bahasa Parsi atas permintaan orang-orang Muslim Parsi. Namun terjemahan al-Farisi ini belum mencakupi keseluruhan surah dalam al-Quran, hanya surah al-Fatihah.


Di antara tokoh-tokoh yang berusaha menterjemahkan al-Quran adalah seperti berikut. Usaha mereka ini telah membuka mata, khususnya kepada dunia Barat tentang mukjizat al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada umat manusia. 

• Petrus Agung (1092-1156 M) : Ketua gereja Cluny, Perancis adalah tokoh Barat yang pertama kali berusaha menterjemahkan al-Quran. Dengan bantuan seorang teologi abad pertengahan berbangsa Inggeris, Robert Ketenesis (1110-1160), dan muridnya Hermannus Dalmatin (1110-1160), beliau menterjemahkan teks al-Quran ke dalam bahasa Latin yang diberi judul Lex Mahumet Pseudoprophete pada tahun 1143 masihi. 

• Louis Maracci (1612-1700 M) : Seterusnya terjemahan al-Quran berbahasa Latin yang paling masyhur dan banyak menjadi rujukan adalah milik Louis Maracci, seorang berbangsa Itali. Terjemahan al-Quran karya Maracci ini disertakan teks Arab dan ulasan panjang yang berisi penolakan terhadap Islam. 

• Andre du Ryer (1580-1660 M) : Orientalis berbangsa Perancis ini merupakan tokoh yang pertama kali membuat terjemahan al-Quran berbahasa Perancis. Beliau menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Perancis langsung daripada teks aslinya berbahasa Arab. Pengalamannya tinggal lama di Istanbul, Turki dan Mesir membuatnya menguasai bahasa Arab dengan baik. Karyanya ini diberi judul L’Alcoran de Mahomet. 

• Salomon Schweigger (1551-1622 M) : Beliau pendeta gereja Noremberg adalah orang pertama kali melakukan penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Jerman. Beliau menterjemahkan al-Quran tersebut daripada sebuah terjemahan al-Quran berbahasa Itali. Terjemahan karya Schweigger ini diberi berjudul Alcoranus Mahometicus. 

• Andrea Arrivabene (1534-1570 M) : Versi terjemahan al-Quran dalam bahasa Itali pertama kali dibuat oleh Andrea Arrivabene. Karya terjemahan yang diberi judul L’Acorano di Macometto merupakan hasil penterjemahan karya Petrus Agung. 

• Hendrrik Jan Glasemaker : Beliau merupakan orang pertama yang diketahui membuat terjemahan al-Quran dalam bahasa Belanda. Beliau menterjemahkan al-Quran bersumberkan pada sebuah terjemahan al-Quran versi bahasa Perancis. Terjemahan ini diberi judul Mahomets AlKoran. 

• Alexander Ross (1590-1654 M) : Beliau adalah orang yang pertama kali menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris. Al-Quran terjemahan Ross ini dibuat pada tahun 1649 dengan mengadaptasinya daripada terjemahan al-Quran berbahasa Perancis, L’Alcoran de Mahomet. 

Sumber : Utusan Malaysia 

*Semoga perkongsian ini mendapat manfaat dan ilmu untuk kita semua. Insyaallah… =) 

 Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tak Bisa Memilihmu...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Telah jauh terpisah, dirimu dan diriku 
Dalam ruang dan waktu 
Sendiriku jalani sepiku, tanpa dirimu 
Resahku…”


‘Tak Bisa Memilihmu’ selagi anda dengar lagu ni, mesti anda terpesona dengan melodinya yang sedap serta liriknya yang cukup indah dan menyusuk jiwa. Dan untuk entri kali ini bukannya fokus saya pada lagu 6ixth Sense ini tetapi ingin berbicara sedikit sebanyak mengenai novel yang baru saya habiskan iaitu ‘Tak Bisa Memilihmu’

Novel karya Ain Maisarah kali ini agak mengelirukan saya pada awalnya dan permulaannya kerana saya sendiri seperti terbayang dengan gambaran kemunculan 6ixth Sense dalam industri muzik terutamanya melibatkan perjalanan penceritaan kisah mereka melalui watak utamanya, Adi Proyo selaku vokalis 6ixth Sense dan akhirnya barulah saya tahu bahawa ianya adalah rekaan semata-mata. 

“Salahku mencintai dirinya 
Saat jauhku terpisah darimu 
Dan hadirnya menyentuh hatiku…” 

‘Dewi’ iaitu kekasih hati yang telah lama berkasih dan setia menunggu manakala ‘Sally’ seorang anak kepada empunya syarikat muzik yang cukup ambil berat dan sentiasa memberi perhatian membuatkan Adi sendiri di dalam dilema dalam memilih cinta yang sejati. Apakah keputusan yang patut dibuatnya? Siapakah yang berhak bertakhta di hatinya?


Selepas membaca keseluruhan novel ini, dapat saya katakan bahawa novel ini agak unik dari novel-novel remaja yang lain. Novel ini mempunyai elemen yang agak menarik serta mempunyai auranya yang tersendiri apabila menggunakan 6ixth Sense sebagai subjek utamanya. 

Perkara pertama yang menarik perhatian saya untuk memiliki novel ini adalah apabila melihat covernya yang cukup unik dengan menggunakan elemen warna Hitam dan Putih. Keduanya menggunakan tajuk lagu kegemaran saya iaitu ‘Tak Bisa Memilihmu’. Ingat lagi, pertama kali saya mendengar lagu ini adalah apabila saya berada di UTM KL. 

Secara keseluruhannya saya berpuashati Cuma ada seperkara yang membuatkan saya agak ‘geram’ adalah apabila pengakhirannya yang tergantung dan membuatkan saya sendiri tertanya-tanya, apakah pilihan yang dibuat oleh Adi. Disebabkan perkara itu, saya hanya mampu memberi hanya 3 bintang untuk novel ini. 

Kepada yang belum membacanya, silalah dapatkannya kerana saya percaya novel ini mampu menghilangkan stress anda dengan asam garam yang ditonjolkan melalui beberapa watak yang terdapat dalam novel ini. 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, July 2, 2012

'Turun Padang' Bersama Penduduk Kampung di Pengerang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 30 Jun 2012 yang lalu merupakan hari yang cukup bertuah bagi saya kerana dapat ‘Turun Padang’ untuk mendengar luahan hati, pandangan rasa dan perkongsian dari penduduk Pengerang berkenaan dengan isu yang sedang hangat iaitu berkenaan dengan Projek Pembangunan Hab Minyak dan Gas. 

Saya berpeluang untuk bersama-sama dengan penduduk kampung melalui Kajian Akademik dan Pendidikan berkenaan dengan Projek Pembangunan tersebut. Seramai 41 orang mahasiswa terlibat dan dipecahkan kepada 10 Kumpulan dan saya ditempatkan di kawasan Pengerang. 

Saya sempat bertemu hampir 10 keluarga penduduk kampung yang terdiri dari Golongan Nelayan, Kaum Cina, Warga Emas dan Ibu Tunggal. Ada yang bersetuju dan ada juga yang menentang. Banyak persepsi dan tanggapan dari mereka yang perlu kita semua dengari dan prihatin serta bertindak secara adil. 

Ada juga yang mempertikaikan mengenai bebanan yang akan ditanggung yang melibatkan penempatan baru yang dijanjikan. Ada juga yang mempertikaikan mengenai nilai pampasan yang kurang dari yang asal dan semuanya menantikan kesahihan yang akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa yang terdekat ini. 

Saya ingin menarik perhatian anda semua terhadap isu yang melibatkan sumber pendapatan dan mata pencarian uttama bagi golongan nelayan. Saya amatlah bersimpati terhadap golongan ini yang mana hampir semuanya masih mempunyai keluarga. Rata-ratanya mengatakan bahawa kesan terhadap projek pembangunan tersebut menyebabkan sumber pendapatan bulanan mereka semakin berkurangan. 

Seterusnya, saya juga turut berpeluang untuk mendengar luahan penduduk kampung berkenaan dengan kehidupan mereka sekarang semasa pelaksanaan peringkat pertama iaitu perlaksanaan menambak pasir berdekatan dengan pesisir pantai yang menyebabkan berlakunya pencemaran terutamanya melibatkan pencemaran udara yang menyebabkan kawasan di situ berdebu. 

Saya juga turut diberi peluang untuk melihat sekitar kawasan tersebut seperti melihat persisir pantai, rumah-rumah penduduk kampung, kedai-kedai makan dan peruncit serta sebagainya lagi. 

Apa yang dapat saya katakan setelah mendengar rintihan dan luahan hati mereka adalah projek pembangunan itu merupakan bentuk kemajuan dan pembangunan masa hadapan tetapi disebabkan campur tangan dari pelbagai parti politik serta penyebaran maklumat yang tiada kesahihan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada penduduk kampung dalam bentuk berfikir untuk masa hadapan dan emosi mereka. 

Apa-apa pun, saya amatlah berharap agar pihak-pihak yang terlibat, perlulah tampil memberikan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci kepada penduduk kampung dan memberikan keadilan kepada mereka semua. Percayalah, pembangunan akan menjadi lebih baik sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing secara terus dan menyeluruh. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ‘Jutaan TERIMA KASIH’ kepada seluruh penduduk kampung kerana telah memberikan kerjasama yang baik kepada saya dan menerima saya yang masih belajar untuk ‘Turun Padang’ bersama anda semua. 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Lawatan Akademik ke Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 26 Jun 2012 yang lalu, saya telah pergi Lawatan Akademik ke Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang  yang bertempat di Bandar Kuantan. Sebelum itu, saya ingin ucapkan berbanyak ‘TERIMA KASIH’ kepada YB Puan Fuziah Salleh selaku Ahli Parlimen Kuantan yang mengalu-alukan kedatangan kitorang melalui twitter beliau. Terima Kasih saya ucapkan. 

Berbalik kepada lawatan ke Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang ini, banyak pengetahuan tambahan dan perkongsian yang saya dapat melalui perkongsian cerita oleh Encik Mohamad Zaid selaku wakil dari pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang

Sajarah penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang ini adalah sejak 27 Disember 1965 iaitu sejak 47 tahun yang lalu dibawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang Bil. 12/65. Melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang ini, apa yang saya dapat adalah mengenai peranan dan aktiviti utama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, ianya terbahagi kepada 5 peranannya yang utama iaitu : 

• Pembangunan Industri 
 Membangunkan Kawasan Perindustrian 
 One Stop Agency 
 Pembangunan IKS 
 Pembangunan MPPB 
• Pembangunan Hartanah 
 Pembangunan Bercampur 
 Perumahan 
 Perniagaan 
 Projek Usahawan 
• Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru 
• Pelaburan 
 Perlombongan 
 Pelaburan Anak Syarikat 
 Perladangan 
• Pembangunan Usahawan Bumiputera 
 Pusat Bimbingan Usahawan Bumiputera Negeri 
 Latihan Keusahawanan 
 Pusat Pengembangan Tenun Pahang Diraja Kampung Soi 

Selain itu, diperkatakan juga mengenai kaedah perolehan tanah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang iaitu melalui Pemberimilikan Tanah Kerajaan, Pengambilan Balik Tanah Milik, Pembebasan Rezab Hutan, Lesen Cari Gali dan Lesen Melombong serta Lesen Pendudukan Sementara. 

Dikongsikan juga berkenaan perlaksanaan negeri yang dibuat secara berperingkat bermula peringkat mengenal pasti, peringkat perancangan, peringkat kelulusan, peringkat costing, peringkat pembiayaan, peringkat tender, peringkat pembinaan, peringkat pemasaran dan peringkat penyerahan. 

Seterusnya, saya juga turut bertuah apabila Berjaya menjawab soalan kuiz yang diberikan dan mendapat hadiah saguhati dari Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang itu sendiri. Akhir kata, perkongsian dan lawatan ini memberi banyak pengetahuan buat diri saya. 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, June 24, 2012

Almarhum Ustaz Fadzil Noor Dalam Kenangan (1937-2002)...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

23 Jun 2012, genaplah 10 tahun pemergian Almarhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor iaitu seorang tokoh pejuang Islam di Malaysia. Almarhum Ustaz Fadzil Noor atau nama sebenarnya Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Star, Kedah Darul Aman. Ayahnya, Mohd Noor Abdul Hamid dan Ibunya, Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Moyangnya pula, Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang Ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949). Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Menengah di Maktab Mahmud Alor Star (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962). Pada Tahun 1962, almarhum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1967, almarhum berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah. Sekembalinya dari Mesir, almarhum menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.



Bakat kepimpinan almarhum Ustaz Fadzil Noor terserlah pabila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud. Ketika di Mesir, almarhum memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai Ketua Penerangan, Setiausaha dan akhirnya sebagai Timbalan Presiden. 

Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM (1974-1978). Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah. 

Semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Almarhum Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demontrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah Darul Aman pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, almarhum menjadi Pemangku Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM. Dan almarhum juga pernah menjadi Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia selepas Pilihanraya Umum 1999 setelah memenangi kerusi Parlimen Pendang. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor juga amat berjaya di bidang Dakwah dan Pendidikan. Selaku Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 1985, beliau telah membeli sebuah estet kecil seluas 35 ekar untuk dijadikan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang dinamakan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah Darul Aman. Institusi ini adalah standing kehebatannya pada zaman kegemilangan Maahad Al-Ehya Al-Sharif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2002 setelah 2 minggu mengalami koma selepas pembedahan yang dijalaninya. Dengan arahan kerajaan Pusat, jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia ke Kedah. Jenazah dibawa ke Muassasah Darul Ulum iaitu Institusi Ilmu yang diasas dan diperjuangkannya.

 

 Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ. Dari Alor Star hingga ke kawasan itu, hampir 30KM orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu. Malah pada sekitar terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10KM menuju ke Muassasah Darul Ulum. Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah Umat Islam di negara ini. 

Akhir kata, marilah bersama-sama kita sedekahkan ‘AL-FATIHAH’ buat Almarhum Ustaz Fadzil Noor (1937 - 2002) agar rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Amin… 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Thursday, June 21, 2012

Lawatan Akademik ke Lembah Bio-Tek Peladang Johor...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

‘Inovasi Pertanian, Pemangkin Pembangunan’

Itulah tema atau slogan yang diangkat bagi menyatakan bahawa sektor atau bidang pertanian juga mampu untuk memberi satu konsep pembangunan baru yang dapat menghasilkan sumber makanan dan sebagainya lagi.

ALHAMDULILLAH… hari nie diberi kesempatan untuk membuat satu lawatan akademik ke Lembah Bio-Tek Peladang Johor yang bertempat di Kota Tinggi sebagai salah satu tempat lawatan bagi Kem LAD 1 ini. Pengalaman yang cukup menarik untuk dikongsikan kepada seluruh pembaca blog saya.

Tempat ini adalah dibawah Pertubuhan Peladang Negeri Johor yang berorentasikan secara swasta. Hampir 80,000 petani peladang seluruh Negeri Johor menjadi ahlinya. Antara polisi kualitinya adalah berterusan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi peladang dan seterusnya mewujudkan masyarakat tani yang progresif.

Kawasan Lembah Bio-Tek ni berkeluasan 200 ekar dan 30 ekar darinya dibuat untuk jungle trekking. Kawasan ini dibangunkan sejak tahun 1996 yang dikurniakan oleh Kerajaan Negeri Johor dan pada awalnya ianya dikenali sebagai Taman Usahawan Peladang Johor.

Peranan utamanya ialah dijadikan sebagai pusat pengeluaran makanan Negara dengan kepelbagaian aktiviti pertanian dan ianya juga berpotensi untuk dijadikan sebagai Taman Agro Pelancongan yang memiliki keunikan alam sekitar (bermula 2011) dan sesuai untuk beriadah.

 Kawasan ini terletak di kedudukan yang agak strategik iaitu 20km dari Bandar Kota Tinggi dan 60km dari Bandar Johor Bahru. Kawasan ini juga memiliki topografi yang agak menarik dengan jalinan bukit-bukau, tasik-tasik buatan dan aliran air gunung yang berterusan serta udara yang menyegarkan.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah :

• Ternakan Ruminan – Ianya bermula tahun 2006 dan mempunyai 2 jenis baka kambing iaitu Janapari dan Boer
• Unggas – Projek burung walit bermula tahun 2011
• Akuakultur – Airnya adalah berpunca dari air gunung dan mempunyai 4 jenis ikan yang diternak di 4 kolam iaitu Ikan Keli, Ikan Talapia Merah, Ikan Patin Hitam dan Ikan Puyu
• Tanaman Buahan – Ianya berkeluasan sebanyak 80 ekar dan antara buah-buahannya ialah Kelapa Pandan, Nangka, Mata Kucing & Longan, Durian Belanda, Jambu Batu, Rambutan, Jambu Air, Pulasan, Kedondong, Belimbing, Anonaspelam, dan beberapa tanaman lain
• Fertigasi – Iaitu projek Lada dan ianya menggunakan sistem perlindungan hujan
• Agro Pelancongan – Ianya mempunyai tapak perkhemahan untuk 100 orang dalam satu-satu masa, ada aktiviti team building seperti berakit, water croosing, jungle trekking dan firecamp. Selain itu diadakan juga lawatan sambil belajar dan infomatif kepada pengenalan aktiviti pertanian serta ianya dekat dengan kaki Gunung Panti

Terlupa pulak untuk saya kenalkan orang yang bertanggungjawab dalam memberitahu segala info serta membawa kami ke setiap tempat yang disebut di atas iaitu Encik Omar Uzir selaku Pengurus Lembah Bio-Tek Peladang Johor ini. Terima Kasih saya ucapkan…

Hari ni, satu pengalaman yang amat menarik kerana saya juga berpeluang untuk memerah susu kambing yang buat pertama kalinya diberi kesempatan untuk berbuat sedemikian. Selain itu juga, lawatan ini cukup memberi saya satu pengalaman yang amat menarik dalam mendekati aktiviti sedemikian. TAHNIAH dan TERIMA KASIH untuk semua…











Aku sedang memerah susu kambing...hehehe 



*Credit to Adlin for the picture…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, June 20, 2012

Lawatan Akademik ke Syarikat Air Johor...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH… hari nie merupakan hari kedua Kem LAD 1 yang diadakan di Syarikat Air Johor yang bertempat di Loji Rawatan Air Semangar. Jika semester lepas kami pergi Indah Water Konsortium yang bertempat di Kuala Lumpur, dan untuk semester nie, Syarikat Air Johor pula menjadi sasaran seterusnya untuk kami mengutip pengetahuan dan ilmu-ilmu tambahan. 

Apakah relevennya untuk saya pergi ke Syarikat Air Johor ? 

Itulah persoalan pertama yang dibangkitkan oleh seorang sahabat saya, dan antara jawapan saya adalah ianya sangat releven untuk saya terokai salah satu agensi atau jabatan teknikal yang terlibat dalam proses pembangunan tanah dan ianya cukup berkait rapat dengan kursus yang sedang saya pelajari ini iaitu Kursus Pentadbiran dan Pembangunan Tanah. 

Untuk sesi kali ini, taklimat ringkas telah diberikan oleh Encik Nor Azman Rosdi selaku wakil dari pihak Syarikat Air Johor. Beliau menceritakan serba ringkas mengenai latar belakang syarikat air ini dan seterusnya memberi gambaran mengenai proses rawatan air dijalankan. Penerangannya ringkas tetapi cukup padat !




Apa yang sempat saya catat adalah pertamanya mengenai kawalan keselamatan yang cukup ketat. Mengapa keselamatan yang ketat dijalankan? Jawabnya adalah loji juga merupakan salah satu sasaran musuh jika berlakunya peperangan dan sebagainya kerana loji air merupakan antara bekalan air bersih yang diagihkan kepada rakyat. 

Pusat Rawatan Air Semangar, Kota Tinggi, Johor atau lebih dikenali sebagai Loji Air Semangar ini terletak kira-kira 18 km dari pusat Bandar Kota Tinggi. Loji ini juga telah dirasmikan oleh YB Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 12 Februari 2004 selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu. 

Terdapat 7 bahan kimia terpenting dalam sesi rawatan air ini dan fungsinya ialah : 
• Hydrated Lime (Pre-Lime) – Meningkatkan nilai pH untuk proses flokulasi yang lebih optima 
• Hydrated Lime (Post-Lime) – Pembetulan pH air bersih (nilai pH antara 6.5-9.0) 
• Aluminium Sulphate – Proses Flokulasi yang mana flok terbentuk hasil tindak balas cas positif (alum) dan cas negatif (air mentah) 
• Polymer Electrolite – Pemangkin proses flokulasi untuk pemendapan yang berkesan 
• Sodium Silico Flouride – Mengawal kerosakan gigi dan tulang (0.4-0.6 ppm) 
• Chlorine (pre) – Penghalang pertumbuhan alga dan pembasmian kuman 
• Chlorine (post) – Pembasmian kuman dalam air bersih (Baki klorin bebas 1.5-2.5 ppm) 

 Dan antara peringkat rawatan air pula ialah : 
• Mukasauk (submersible pump) – Memerangkap bahan buangan yang tidak diperlukan 
• Pengudaraan (4 tingkat) – Menambahkan oksigen dalam air mentah dan mengurangkan rasa bau 
• Pembauran Kimia (vertical baffel) – Pembentukan flok dan penggumpalan dengan bahan kimia 
• Pemendakan (pulsator clarifier) – Memendakkan flok-flok yang terhasil untuk menghasilkan air jernih 
• Penapisan (rapid sand filter) – Menapis air dari tangki pemendapan untuk menghasilkan air jernih 
• Stesen Pam Bersih (Horizontal Split Pump) – Menyalurkan air ke Bukit 75 
• Sludge Lagoon – Tempat pembuangan sludge 

Sekadar tambahan, jika berlakunya kebocoran gas klorin, kita semua dinasihatkan untuk cari tempat yang tinggi kerana gas klorin yang kuat boleh menyebabkan kematian. Dan kita juga perlu lawan arah angin jika berlari disebabkan kebocoran gas klorin itu. 

Saya rasa itu sahaja kot yang sempat saya catat dan segala pengetahuan tambahan ini diharapkan dapat dijadikan satu ilmu pengetahuan tambahan buat kita semua terutamanya buat pembaca-pembaca blog saya. Masih meneruskan Kem LAD 1 selama 17 hari lagi… Doakan semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Insyaallah… 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com