Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
“Usaha-usaha kolektif untuk mewujudkan satu corak kehidupan yang baru (…collective enterprises to establish a new order of life…)” itulah yang didefinisikan oleh Herbert Blumer bagi maksud “Gerakan Sosial”. Gerakan sosial juga sering dikaitkan sebagai proses perubahan dalam masyarakat yang lebih ke arah Pertubuhan Belia.
Apabila diamati sejarah lampau, dapat kita saksikan ketika Hitler dapat memerintah Jerman pada tahun 1993, beliau mendapat sokongan penuh daripada tenaga belia atau orang muda sehinggakan beliau dapat mengukuhkan kuasanya pada ketika itu. Belia-belia ini dilatih dan diajarkan dengan segala aspek ideology Nazisme, latihan ketenteraan dan teknik peperangan dengan menjadi anggota “Hitler Youth Movement”.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan sebagainya lagi merupakan beberapa buah organisasi belia yang aktif dalam melibatkan perjuangan belia di Malaysia.
Di Universiti sendiri dapat kita saksikan bagaimana beberapa kumpulan mahasiswa yang begitu gigih, kuat dan komited dalam meraih sokongan para mahasiswa, dalam meraih sokongan dengan bermacam-macam ideologi yang disebarkan untuk memartabatkan sesebuah kumpulan mahasiswa tersebut terutamanya apabila semakin hampir dalam Pilihanraya Kampus Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM).
Sepertimana di UTM IC sendiri, dapat kita saksikan pertembungan ideologi perjuangan antara Revolusi Mahasiswa (Revo-M) dan Pro-Mahasiswa (Pro-M). Masing-masing dengan manifesto perjuangan kebajikan Mahasiswa bagi memperolehi sokongan majoriti bagi memenangi kerusi-kerusi Umum bagi Pemilihan MPM UTM IC.
Tetapi apa yang ingin disampaikan di sini adalah mengenai perjuangan mahasiswa itu sendiri. Jika dulu, kita dapat saksikan bagaimana sebenarnya pengaruh mahasiswa dalam membuat perubahan untuk kepentingan masyarakat negara di Baling tetapi kenapa sekarang kita seperti tiada kuasa dalam membuat perubahan tersebut? Mungkin dengan adanya minda bebas dari cengkaman parti politik, maka mahasiswa akan secara automatik merasa terpanggil untuk membela nasib rakyat, tak kira menguntungkan mereka atau tidak.
Saya sendiri juga agak pelik melihat perjuangan mahasiswa sekarang yang rata-ratanya hanya berani di belakang tetapi bila di hadapan hanya terdiam ketakutan. Saya belajar dan memerhatikan gerak-geri setiap individu yang terlibat dalam politik kampus ini di UTM IC, hampir setiap tindakan yang ingin dilakukan perlu dilaporkan kepada pihak atasan, adakah ini perjuangan mahasiswa? Atau perjuangan yang mempergunakan mahasiswa?
Saya juga agak terkilan apabila rakan-rakan seperjuangan saya yang begitu komited dalam memperjuangkan dan memperbahaskan mengenai kebajikan mahasiswa dan kebajikan ahli persatuan, dan apabila diminta untuk bersama-sama saya berhadapan dengan pihak atasan, hampir kesemuanya meninggalkan saya keseorangan untuk memperbahaskan dan memperjuangkan mengenai kebajikan tersebut. Di mana sebenarnya perjuangan yang dimaksudkan?
Saya berkongsi perkara ini sebagai tauladan kepada Mahasiswa akan datang supaya bijak memilih pemimpin dalam memperjuangkan kebajikan dan hak anda. Perjuangan mahasiswa bukan hanya tertumpu di dalam kampus sahaja tetapi perlulah seiring dengan kepincangan yang melanda di dalam negara kita terutamanya yang melibatkan belia remaja Islam yakni bakal-bakal pewaris kepimpinan negara.
Mahasiswa juga sepatutnya “turun padang” untuk bersama-sama dengan masyarakat luar dalam berkongsi kemahiran dan ilmu yang ada terutamanya pada adik-adik yang masih belajar di sekolah. Sebagai contoh, beberapa program khidmat masyarakat yang menggunakan title, “University Social Responsibility (USR)” telah diadakan, antaranya, USR@Melaka yang diketuai oleh saya sendiri, USR@Sarawak (Saudara Hariz Zakwan), USR@Dungun (JKM-KSS) & USR@Pangkor (Saudara Aiman) sebagai perkongsian ilmu antara mahasiswa dan masyarakat.
Mahasiswa sekarang perlu sedar akan peranannya dalam mencorakkan perubahan seiring dengan permintaan dan peredaran semasa kerana pada usia sebeginilah kita semuanya dapat menyaksikan dan memperoleh kepercayaan dari masyarakat luar. Percaya atau tidak, perhatikanlah sendiri dan fikirkanlah secara mendalam, kenapa mahasiswa tidak dibenarkan berpolitik? Kerana jika dibenarkan, pengaruh mahasiswa akan menjadi lebih besar berbanding pengaruh kerajaan sendiri.
Akhir kata, bersamalah kita menggerakkan mahasiswa kembali bagi memperolehi kecemerlangan dalam bidang akademik dan kepimpinan seterusnya dapat mencorakkan kembali perubahan terutamanya melibatkan persekitaran dan peredaran semasa seiring dengan title, “MAHASISWA” itu sendiri. Insyaallah…
Sekian, Wallahua’lam…
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com
Wednesday, November 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment