Tuesday, September 6, 2016

Da'i Pendakwah Nusantara Musim Ke-4 Episod 7 : Bertemakan 'Sirah : Kisah Dari Al-Quran'...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam 1 Malaysia...

Baru-baru ini aku berpeluang untuk menghadiri ke satu program secara langsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam iaitu 'Da'i Pendakwah Nusantara Musim Ke-4' yang dipengacarakan oleh Datuk Rosyam Nor. Ikut perancangan, aku hadiri program ini pada episod 5 tetapi disebabkan jadual begitu padat akhirnya dapat juga saya tonton secara langsung di episod 7 ini yang bertemakan 'Sirah : Kisah Dari Al-Quran'.

DA'I PENDAKWAH NUSANTARA : Sirah - Kisah Dari Al-Quran

Secara jujurnya aku sentiasa ikuti dari minggu ke minggu program Da'i ini bermula musim tiga yang lalu yang dimenangi oleh Da'i Hamidah sehinggalah televisyen di rumah sewa aku rosak, aku agak ketinggalan beberapa minggu untuk menyaksikan perkembangan program ini sehinggalah minggu ini aku berpeluang menyaksikan secara langsung dan berpeluang bersemuka dengan barisan Da'i musim ini.


Sebelum itu, aku nak kongsikan sekali lalu mengenai program Da'i Pendakwah Nusantara ini yang bersaing cukup hebat dengan program berbentuk realiti yang lain yang sama waktu penyiarannya iaitu Akademi Fantasia 2016,

"Da'i Pendakwah Nusantara memfokuskan kepada golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah. 11 Pendakwah muda yang berumur antara 18 tahun hingga 29 tahun berentap untuk gelaran juara. Kesemua peserta ini dikuarantinkan untuk mendapat tunjuk ajar dari mentor dan aktiviti lain bagi persiapan persembahan mingguan."

Barisan Da'i Pendakwah Nusantara Musim Ke-4 kali ini merupakan antara peserta yang terbaik dan saya lebih terarah menyokong dan begitu teruja menyaksikan persembahan tazkirah dari peserta lelaki kali ini kerana setiap daripada mereka mempunyai karektor yang pasti membuatkan kita 'hadam' dan 'faham' dengan tazkirah yang diberikan. Dan bagi episod 7 ini, aku begitu tertarik dengan persembahan dari Da'i Hazman, Da'i Niezal & Da'i Saiful. Tapi semua peserta cukup hebat dengan persembahan masing-masing.

Aku cuba kongsikan beberapa ungkapan penting dari setiap persembahan peserta Da'i Pendakwah Nusantara di episod 7 ini yang boleh menjadi daya penarik untuk kita terus membaca dan menghayati kisah-kisah dari Al-Quran yang menjadi pedoman dan teladan buat kita sebagai umat Nabi Muhammad di akhir zaman ini.

Kekayaan Qarun oleh Da'i Azrin


Aku bersama Da'i Azrin...
'Maka kami benamkanlah Qarun dan rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah S.W.T, dan tiadalah ia termasuk orang-orang yang dapat membela dirinya.'

Secara jujur, aku tak pernah tahu pun maksud dan pengkisahan Qarun ini, aku cuma pernah mengenali dan mengetahui Qarun ini menerusi sebuah lirik lagu yang didendangkan oleh Waheeda Wassini berkenaan dengan Qarun yang pada mulanya aku beranggapan ianya hanya sebuah perkataan arab tetapi setelah dihuraikan oleh Da'i Azrin, barulah aku fahami pengkisahan mengenai Qarun ini.

Ashabul Kahfi oleh Da'i Syed


Aku bersama Da'i Syed...
'Lalu kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun yang banyak bilangannya. (Surah Al-Kahfi, Ayat 11)'

Aku tertarik dengan kisah ini dimana mengisahkan mengenai sekumpulan pemuda bersama anjing mereka yang melarikan diri dari seorang raja yang begitu zalim dan tertidur di dalam gua sehinggalah dibangunkan mereka pada 309 tahun yang akan datang. Nak tahu lebih lanjut? Kenalah membaca. Aku puji penceritaan oleh Da'i Syed ini.

Guruku Khidir oleh Da'i Irfan


'Nabi Musa berkata kepadanya : Bolehkah aku mengikutmu? Dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajar oleh Allah kepadamu. Ilmu yang menjadi petunjuk bagiku (Surah Al-Kahfi, Ayat 66).'

Pengkisahan ini aku taknak sentuh sebenarnya sebab aku kurang faham apa yang cuba disampaikan oleh Da'i Irfan mengenai kisah ini. Huhuhu :(

Dakwah Nabi Ibrahim oleh Da'i Hazman


'Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar : Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata'

Untuk persembahan Da'i Hazman ini aku cukup tertarik dengan gaya persembahan yang cukup bersemangat sehinggakan penyampaiannya mengenai kisah Nabi Ibrahim ini mudah difahami dengan lenggok pertuturannya dan style persembahan yang cukup menarik. Tahniah Da'i Hazman.

Nabi Ayuh oleh Da'i Saiful


Aku bersama Da'i Saiful...
'Sesungguhnya kamu mendapat Nabi Ayub itu seorang yang sabar, ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa merujuk kembali kepada kami dengan ibadatnya (Surah Sad, sebahagian terjemahan ayat 44).'

Episod 7 ini Da'i Saiful menceritakan mengenai cabaran dan dugaan yang Allah berikan kepada Nabi Ayub dan Nabi Ayub sentiasa sabar dengan setiap dugaan yang diberikan itu. Kisah ini juga memperlihatkan kita bahawa setiap kesabaran itu pasti dibalas dengan kebaikan oleh Allah Taala.

Qabil dan Habil oleh Da'i Nasrul


Aku bersama Da'i Nasrul...
'Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah dua orang anak Adam (Qabil dan Habil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah Taala. (Surah Al-Maidah - sebahagian terjemahan ayat 27)'

Kisah ini menceritakan bagaimana 2 adik beradik bergaduh disebabkan tidak bersetuju dengan cadangan pasangan perkahwinan yang dibuat oleh Nabi Adam. Kisah ini juga mewujudkan kejadian pembunuhan pertama di dunia. Aku faham dengan penyampaian Da'i Nasrul mengenai kisah ini tetapi saya sedikit hairan dengan hanya mendapat 5 markah dari Juri Awam untuk Da'i Nasrul ini.

Tentera Bergajah oleh Da'i Ahmed


'Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah (yang hendak meruntuhkan kaabah)'

Da'i Ahmed pula menceritakan mengenai kisah tentera bergajah yang cuba menyerang untuk meruntuhkan kaabah tetapi dibantu oleh tentera Allah iaitu burung Ababil yang akhirnya tentera bergajah tersebut kalah dan mati.

Ratu Balqis oleh Da'i Niezal


Aku bersama Da'i Niezal...
'Balqis berdoa : Wahai Tuhanku sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan aku menyerah diri untuk memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman kepada Allah Tuhan sekalian Alam'

Persembahan hebat dan cukup sempurna disampaikan oleh Da'i Niezal mengenai kisah Ratu Balqis ini. Kisah Ratu Balqis ini antara kisah yang begitu menarik untuk dijadikan teladan dan pedoman buat kita semua. Ianya juga memaparkan bagaimana Ratu Balqis diperdaya dengan Istana Kaca yang mulanya menjadi kemegahannya yang menyembah Matahari.

Secara kesimpulan dan keseluruhannya, aku cukup berpuas hati dengan setiap persembahan terutamanya tazkirah yang disampaikan dengan tema sirah kisah dari Al-Quran cukup menarik. Aku puji buat semua yang terlibat. Apa-apa pun, takziah buat Da'i Azrin dan Da'i Ahmed yang tersingkir pada minggu tersebut. Semoga terus maju jaya. Insyaallah... 

Kesempatan ini juga aku nak ucapkan berbanyak ucapan terima kasih buat produksi Da'i Pendakwah Nusantara sebab sudi bagi 'surprise hadiah' pada saya. Hehehe... ;) Mana lah tau, kot-kot episod-episod akan datang dapat jadi salah seorang Juri Awam pulak kan...haha ;) Cewaahhh... ~

Aku bersama Bro Zahiril Adzim, salah seorang Juri Awam Episod 7...
Masuk TV kot...hahah ~
Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: