Monday, July 2, 2012

'Turun Padang' Bersama Penduduk Kampung di Pengerang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 30 Jun 2012 yang lalu merupakan hari yang cukup bertuah bagi saya kerana dapat ‘Turun Padang’ untuk mendengar luahan hati, pandangan rasa dan perkongsian dari penduduk Pengerang berkenaan dengan isu yang sedang hangat iaitu berkenaan dengan Projek Pembangunan Hab Minyak dan Gas. 

Saya berpeluang untuk bersama-sama dengan penduduk kampung melalui Kajian Akademik dan Pendidikan berkenaan dengan Projek Pembangunan tersebut. Seramai 41 orang mahasiswa terlibat dan dipecahkan kepada 10 Kumpulan dan saya ditempatkan di kawasan Pengerang. 

Saya sempat bertemu hampir 10 keluarga penduduk kampung yang terdiri dari Golongan Nelayan, Kaum Cina, Warga Emas dan Ibu Tunggal. Ada yang bersetuju dan ada juga yang menentang. Banyak persepsi dan tanggapan dari mereka yang perlu kita semua dengari dan prihatin serta bertindak secara adil. 

Ada juga yang mempertikaikan mengenai bebanan yang akan ditanggung yang melibatkan penempatan baru yang dijanjikan. Ada juga yang mempertikaikan mengenai nilai pampasan yang kurang dari yang asal dan semuanya menantikan kesahihan yang akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa yang terdekat ini. 

Saya ingin menarik perhatian anda semua terhadap isu yang melibatkan sumber pendapatan dan mata pencarian uttama bagi golongan nelayan. Saya amatlah bersimpati terhadap golongan ini yang mana hampir semuanya masih mempunyai keluarga. Rata-ratanya mengatakan bahawa kesan terhadap projek pembangunan tersebut menyebabkan sumber pendapatan bulanan mereka semakin berkurangan. 

Seterusnya, saya juga turut berpeluang untuk mendengar luahan penduduk kampung berkenaan dengan kehidupan mereka sekarang semasa pelaksanaan peringkat pertama iaitu perlaksanaan menambak pasir berdekatan dengan pesisir pantai yang menyebabkan berlakunya pencemaran terutamanya melibatkan pencemaran udara yang menyebabkan kawasan di situ berdebu. 

Saya juga turut diberi peluang untuk melihat sekitar kawasan tersebut seperti melihat persisir pantai, rumah-rumah penduduk kampung, kedai-kedai makan dan peruncit serta sebagainya lagi. 

Apa yang dapat saya katakan setelah mendengar rintihan dan luahan hati mereka adalah projek pembangunan itu merupakan bentuk kemajuan dan pembangunan masa hadapan tetapi disebabkan campur tangan dari pelbagai parti politik serta penyebaran maklumat yang tiada kesahihan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada penduduk kampung dalam bentuk berfikir untuk masa hadapan dan emosi mereka. 

Apa-apa pun, saya amatlah berharap agar pihak-pihak yang terlibat, perlulah tampil memberikan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci kepada penduduk kampung dan memberikan keadilan kepada mereka semua. Percayalah, pembangunan akan menjadi lebih baik sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing secara terus dan menyeluruh. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ‘Jutaan TERIMA KASIH’ kepada seluruh penduduk kampung kerana telah memberikan kerjasama yang baik kepada saya dan menerima saya yang masih belajar untuk ‘Turun Padang’ bersama anda semua. 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: