Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
‘Jalan Kembali’
Itulah tema yang diangkat bagi filem ini yang dilihat mampu memberi kesedaran dan hiburan secara teladan yang berlatarbelakangkan kehidupan dan masalah sosial yang dialami generasi muda hari ini. Jika sebelum ini kita disajikan dengan filem ‘Chow-Kit’ yang memaparkan kehidupan anak muda di sekitar Chow Kit, maka melalui filem ‘Jalan Kembali Bohsia 2’ ini dipaparkan juga mengenai permasalahan yang berlaku di kalangan generasi muda hari ini tetapi diselitkan dengan babak yang cukup menginsafkan.
Filem ini amat berbeza dengan plot-plot penceritaan filem-filem arahan Saudara Syamsul Yusuf sebelum ini kerana mesej yang disampaikan melalui filem ini lebih kuat dan menampakkan sedikit pembaharuan yang secara realistiknya memberi satu persepsi berbeza di kalangan masyarakat hari ini.
Lakonan yang ditonjolkan oleh Soffi Jikan, Syamsul Yusof, Salina Saibi dan Nabila Huda cukup mantap dan meresap ke jiwa para penonton dan di tambah pula dengan lawak jenaka oleh Zizan Razak menaikkan lagi selera untuk menonton filem ini.
Filem ini memaparkan kehidupan generasi muda yang penuh dengan masalah sosial seperti merempit, pergaduhan, seks bebas, penagih dadah, biadap dan sebagainya lagi yang perlu kita berikan perhatian serta perlu untuk kita menyelami secara lebih dalam punca-punca permasalahan ini berlaku.
‘Pintu Taubat Sentiasa Terbuka’
Itulah ungkapan yang mampu saya katakan bahawa setiap orang mampu berubah, tidak kiralah sejahat mana sekali pun, seteruk mana sekali pun, selagi terdetik di hatinya untuk berubah, Insyaallah…perubahan itu pasti akan berlaku. Situasi ini ditonjolkan melalui watak Amy, Tasha dan beberapa lagi. Inilah yang dikatakan bahawa sifat dan sikap manusia mampu berubah.
Tetapi apa yang ditonjolkan melalui filem ini adalah permasalahan yang berlaku setelah membuat keputusan untuk berubah. Ditonjolkan juga cabaran yang dihadapi oleh seseorang anak muda yang membuat penghijrahan untuk menjadi lebih baik. Ianya sedikit sebanyak menunjukkan persepsi masyarakat sekeliling apabila melihat seseorang anak muda itu berhijrah untuk menjadi lebih baik.
Jika diperhatikan secara realistik, kita dapat lihat banyak artis-artis wanita yang tampil membuat penghijrahan untuk menjadi lebih baik dan menutup aurat sepertimana Catriona Ross, Abby Abadi, Yatt Hamzah, Diana Amir dan sebagainya lagi.
Apa-apa pun, saya memberi 5 bintang untuk filem ini. Dan jemputlah menonton filem ini ! Ambillah yang baik dan buanglah yang keruh.
Sekian, Wallahua’lam…
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment