Tuesday, August 10, 2021

Sawo' Matang - The Fusion Ethnic dari Noraniza Idris

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Bertemu kita semua sekali lagi ke blog aku yang tak seberapa ini. Entry sebelum ini aku pernah kongsikan mengenai satu album berunsur Melayu Klasik oleh Dayang Nurfaizah iaitu Album Belagu. 

Kali ini, aku nak berkongsikan satu lagi review berkaitan album yang berkonsepkan etnik kreatif atau Irama Malaysia yang ditampilkan oleh Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada Tahun 2004 iaitu Album Sawo' Matang.

Sawo' Matang - The Fusion Ethnic 

Kenapa aku terfikir untuk review Album Sawo' Matang ini? Sebabnya aku antara peminat lagu-lagu yang berentak Etnik Kreatif atau Irama Malaysia dan Album Sawo' Matang adalah antara album yang cukup hebat dalam memperlihatkan satu sisi berbeza sebuah irama Melayu yang kian terpinggir pada zaman Era 2020.

Irama Ghazal, Inang, Jawa dan sebagainya antara unsur yang cuba ditampilkan dengan menggabungkan muzik funky bagi memenuhi selera orang sekarang menerusi Album Sawo' Matang ini. Dan menjadi tanggungjawab aku untuk berkongsi secara bersahaja dan berilmiah untuk rujukan generasi akan datang dan album ini mampu dijadikan rujukan muzik irama pop etnik.

Album Sawo' Matang ini pernah memenangi Album Pop Etnik Terbaik dan menjadi finalis untuk Kulit Album Terbaik Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005 dan lagu Hatinya Tak Tahan pernah memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu 19 dan lagu Ayuh Juragan pernah menjadi finalis di Anugerah Juara Lagu 20.

Sekitar tahun 2004, aku pernah beli kaset original album ini menggunakan duit poket yang aku kumpul semasa di sekolah dan sekitar akhir Tahun 2020, aku beli cd album ini dari seorang pengumpul CD dari Brunei dengan harga RM120.00 (ni antara cd termahal yang pernah aku beli sebenarnya, tetapi disebabkan album ini sangat-sangat susah dicari maka aku korbankan sikit duit aku semata-mata untuk mendapatkan album ini secara fizikal sebagai koleksi peribadi aku).

Album ini sebenarnya ada 10 track tetapi diberikan 2 bonus track yang menjadikannya secara keseluruhan sebanyak 12 track lagu. Setiap lagu yang ditonjolkan di dalam album ini, mempunyai daya tarikan yang tersendiri dimana penggunaan instrumen muzik yang berbeza serta elemen muzik beridentiti menampakkan suatu yang sangat unik dan menarik. Antara lagu yang menjadi kegemaran aku di dalam album ini adalah Hatinya Tak Tahan dan Puteri Ledang.

Track 1 - Sama Tak Serupa (Duet bersama David Arumugam)

Sebuah irama istimewa yang menggabungkan lima elemen etnik iaitu unsur Portugis, India, Latin, Melayu dan Bhangra sebagai terasnya. Perbezaannya hanyalah melalui penggunaan alat muzik yang menjadi nadi kepada identiti sesebuah etniknya. Gabungan dua karakter vokal ini turut membuktikan bahawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia juga mempunyai satu matlamat yang sama dalam memelihara jati diri mencintai keunikan identiti sendiri walaupun berbeza agama, budaya dan adat resam.

Track 2 & 6 - Hatinya Tak Tahan / Atine Ora Tahan

Lagu ini merupakan sebuah irama etnik Jawa yang digabungkan melalui muzik moden berunsur tekno dan disko dengan gendang Ketoprak Jawa dan Gamelan Bali, selain bahasa seharian yang digunakan oleh kelompok masyarakat ini turut menyerlahkan identiti salah satu kaum yang juga menetap di Malaysia. Penggunaan dwi-bahasa sepenuhnya yang membawa maksud sama ini turut dialunkan dengan corak nyanyian mengikut identiti, dapat menghidupkan jiwa irama ini.

*Elemen Gamelan Bali dan gendang Ketoprak Jawa mengingatkan aku ketikamana travel di Yogyakarta dan Bali. Yogyakarta semasa di Chandi Prambanan, terdapat sekumpulan pemuzik membuat persembahan dengan membawa alunan muzik jawa.

Track 3 - Penawar Rindu

Lagu ini merupakan sebuah irama inang ghazal yang cukup popular dan telah dirakamkan pada sekitar hujung tahun 1969 di bawah pimpinan Allahyarham Atan Ahmad. Penyanyi asal lagu ini, Datin Orchid Abdullah merupakan idola dan dianggap sebagai 'sifu' oleh Noraniza Idris dalam menyampaikan lagu-lagu bercorak Ghazal. Beliau banyak memberi dorongan khususnya kepada generasi pelapis, juga sering menitikberatkan disiplin dan tertib dalam mengalunkan melodi mengikut kreativiti tersendiri.

Track 4 - Rajuk Rindu

Irama ini merupakan sebuah irama berentak zapin atau zapana dengan gabungan muzik moden iaitu 'funky'. Teras penggunaan alat muzik bagi irama ini masih mengekalkan darbuka dan marwas sebagai identitinya. Manakala gamelan digunakan hanya sebagai muzik penghantar dalam irama ini.

Track 5 - Dondang Di Sayang

Irama ini merupakan irama tradisional identiti Negeri Melaka yang berasaskan rentak asli, inang dan joget. Nyanyiannya berkonsep berbalas pantun secara berpasangan dengan tema usik-mengusik, nasihat dan sebagainya. Masyarakat pelbagai kaum Negeri Melaka seperti Melayu, Portugis, Baba Nyonya mahupun Chitty turut menyampaikan irama ini di pesta-pesta keramaian dengan cara tersendiri. Selain penggunaan instrumen asal seperti rebana, biola dan gong, lagu ini telah menggabungkan rentak disko klasik moden dan 'loop' sebagai pendekatan bagi menarik minat generasi masa kini terhadap etnik Dondang Sayang yang makin dipinggirkan.

Track 7 & 12 - Ayuh! Juragan / Juklah! Guru Abe

Masyarakat Orang Asli, 'Orang Asal' atau 'Orang Pertama' merupakan kelompok pribumi minoriti di Semenanjung Malaysia. Secara kolektif turut diperkenalkan oleh ahli-ahli antropologi dan pentadbir-pentadbir yang merujuk kepada 18 kumpulan etnik kecil secara amnya melalui Negrito, Senoi dan Melayu-Proto yang diklasifikasi bagi tujuan-tujuan rasmi. Irama 'Sewang' ini yang bermaksud menyanyi dengan alunan sahut-menyahut sambil menari dengan diiringi ketukan buluh sebagai identiti masyarakat Orang Asli khususnya dari Kaum Semai dan turut digabungkan dengan elemen muzik moden iaitu twist selain lirik dari bahasa Semai sepenuhnya yang juga sub-kumpulan kaum terbesar Senoi.

Track 8 - Zapin Beradat

Merupakan sebuah irama zapin klasik yang popular dikalangan budayawan dan telah digabungkan dengan elemen muzik moden iaitu 'funky'. Lagu ini pernah disampaikan oleh Tan Sri SM Salim, Datuk Sharifah Aini dan lain-lain lagi mengikut corak penyampaian tersendiri. Tajuk lagu bagi melodi ini sentiasa berubah mengikut lirik yang dicipta tapi masih mengekalkan melodi asalnya. Melalui Zapin Beradat ini, sedikit perubahan telah dilakukan dalam penyusunan semula melodi. Bagi menambahkan keceriaan dalam lagu ini, sebuah irama khas telah dicipta sebagai penyambut maksud pantun yang lebih bersifat sebagai kesimpulan dari mesej yang disampaikan.

Track 9 - Disebut Jangan Di Kenang Jangan

Sebuah irama berentak asli yang pernah dipopularkan oleh Allahyarhamah Toh Puan Setia Datuk Hajjah Rafeah Buang, yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 Julai 2002 kerana penyakit barah. Selain meminati keperibadian penyanyi ini, Noraniza Idris juga turut mengabadikan lagu ini di dalam 'Sawo Matang' sebagai memenuhi amanat arwah ayahnya agar dapat dirakamkan semula sekiranya berkesempatan. Sebagai 'tribute' kepada perjuangan insan seni ini juga, lagu ini telah digubah dengan suntikan R&B dan asli moden tapi masih mengekalkan ciri-ciri asli melalui nyanyian dan rentak.

Track 10 - Puteri Ledang

Irama ini adalah irama ghazal yang gabungan pop inang yang berskil jawa masih mengekalkan charr dan toda sebagai identiti muziknya. Lagu ini pernah disampaikan dalam versi Jawa sepenuhnya oleh S.A Aishah yang merupakan penyanyi ghazal tersohor dan disegani satu ketika dahulu. Walaupun mempunyai suntikan moden dalam gubahan tetapi masih mengekalkan keunikan sarigama dan parsi dalam alunan yang sebenar.

*Lagu Puteri Ledang ini adalah antara lagu yang sangat menarik dengan gabungan irama ghazal dan pop inang yang sememangnya 'kuat' untuk aku menyatakan yang lagu ini adalah lagu yang sangat menarik.

Track 11 - Indung Anak Melayu

Lagu ini adalah sebuah irama keroncong moden yang disuntik dengan gabungan muzik moden berunsur 'reggae' dan masih mengekalkan penggunaan ciri-ciri instrumen asal seperti ukulele, double bass, guitar akustik dan violin. Sebagai corak asas nyanyian keroncong, kawalan alunan vokal dan lenggok yang lebih bersahaja amat perlu bagi menghidupkan jiwa nyanyian irama keroncong ini.

So, korang dah baca setiap details yang aku kongsikan bagi setiap track lagu yang terdapat di dalam Album Sawo' Matang ni? Korang boleh cari di youtube untuk mendengar satu persatu lagu yang terdapat di dalam album ini. Tapi if korang nak dapatkan cd ni secara fizikal, aku tak yakin ianya masih terjual di pasaran dan jika ada, mungkin harganya melebihi RM150.00.

Dalam banyak-banyak album Noraniza Idris nie, inlay album paling menarik adalah inlay Album Sawo' Matang dimana koleksi pakaian yang dipakai oleh Kak Ani yang sangat klasik ditambah pewarnaan inlay yang ala warna kulit masyarakat Malaysia memberikan satu keindahan untuk kita kembali seketika ke zaman dahulu yang kuat dengan elemen tradisional. Nie aku nak kongsikan poem oleh Noraniza Idris untuk album Sawo' Matang ini...

"Aku bangkit dengan segala kudrat,
Memugar segala kekuatan,
Mengerah daya selagi ada,
Tetap akan ku tatang segala impian,
Tidak mahu berpaling lagi,

Haruskah ku pejamkan mata,
Sedangkan tradisi bonda gundah gulana,
Aku sedar langkah ini masih jauh,
Onak menusuk di sepanjang jalan,
Ombak cabaran tetap kan ku rentas,
Agar terbias gerimis dugaan,

Manis pujian ku jadikan azimat,
Pahit kritikan ku jadikan semangat,
Akan ku jelajah serata maya,
Bersemat keris iltizam pusaka,
Mengkhabar sakti gerak dan irama,
Buat yang alpa dan terlupa,

Tanpa adat budaya,
Apalah yang tinggal,
Hanya hidup dalam sejarah,
Warisan berkubur tidak bernisan,
Watan merintih tidak berlaga,
Kalau tidak kerana kasih,
Tidaklah aku teguh berkarya,
Tiada dua dan tiada tiga,
Sawo Matang inilah satu-satunya,
Bingkisan azimat buat jiwa semua,
Anak bangsa ku"

Sekian, wallahua'lam...

#SaveIramaMalaysia

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur

Kenali Atlet Malaysia ke Olympics Tokyo 2020...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Entry sebelum ini aku pernah bercerita berkenaan dengan Olympics Tokyo 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada ahad lalu dan Malaysia akan membuat persediaan untuk bertemu kembali di Olympics Paris 2024 yang tinggal lebih kurang 3 tahun sahaja lagi dari sekarang.

Aku sebenarnya nak sangat kongsikan berkaitan informasi ringkas mengenai atlet-atlet Malaysia ni di blog aku sebagai tanda sokongan aku untuk menyokong para atlet Malaysia di pentas dunia. Tapi semua data ini aku perolehi dari Bernama. 

Datuk Mohd Azizulhasni Awang
Umur : 33 tahun
Sukan/Acara : Berbasikal Trek - Sprint & Keirin
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Gangsa Keirin di Olympics Rio 2016
🔸Pingat Emas Keirin di Kejohanan Trek Dunia 2017
🔸Pingat Emas Sprint di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Pingat Perak Keirin Lelaki (Rank ke-2)
🔸Rank ke-10 bagi Sprint Lelaki

Aaron Chia
Umur : 24 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Lelaki
Pencapaian Utama : 
🔸Juara Sukan SEA 2019 di Manila
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Pingat Gangsa Beregu Lelaki (Rank ke-3)

Soh Wooi Yik
Umur : 23 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Lelaki
Pencapaian Utama :
🔸Juara Sukan SEA 2019 di Manila
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Pingat Gangsa Beregu Lelaki (Rank ke-3)

Nur Dhabitah Sabri
Umur : 22 tahun
Sukan/Acara : Terjun - 3m Papan Anjal Individu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak 3m Papan Anjal Seirama Wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-4 bagi 3m Papan Anjal Individu Wanita

Pandalela Rinong Pamg
Umur : 28 tahun
Sukan/Acara : Terjun - 10m platform Individu Wanita dan 10m platform Seirama Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Gangsa 10m platform Individu Wanita di Olympics London 2012
🔸Pingat Perak 10m platform Seirama Wanita di Olympics Rio 2016
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-8 bagi 10m platform Seirama Wanita
🔸Rank ke-12 bagi 10m platform Individu Wanita

Leong Mun Yee
Umur : 36 tahun
Sukan/Acara : Terjun - 10m platform Seirama Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak 10m platform Seirama Wanita di Kejohanan Dunia 2018
🔸Pingat Perak 10m platform Seirama Wanita di Sukan Asia 2010
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-8 bagi 10m platform Seirama Wanita

Khairul Anuar Mohamad
Umur : 29 tahun
Sukan/Acara : Memanah - Individu Lelaki & Beregu Campuran
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Belanda
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-9 bagi Individu Lelaki
🔸Rank ke-19 bagi Beregu Campuran

Lee Zii Jia
Umur : 23 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Perseorangan Lelaki
Pencapaian Utama :
🔸Juara All England 2021
🔸Juara Sukan SEA 2019 di Manila
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-9 bagi Perseorangan Lelaki

Muhammad Shah Firdaus Shahrom
Umur : 25 tahun
Sukan/Acara : Berbasikal Trek - Sprint & Keirin
Pencapaian Utama : 
🔸Pingat Perak Keirin di Kejohanan Asia 2019
🔸Pingat Gangsa Sprint di Kejohanan Asia 2019
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-12 bagi Sprint Lelaki
🔸Rank ke-16 bagi Keirin Lelaki

Sonia Cheah
Umur : 28 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Perseorangan Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Juara Belgian International 2016
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-15 bagi Perseorangan Wanita

Syaqiera Mashayikh
Umur : 21 tahun
Sukan/Acara : Memanah - Individu Wanita & Beregu Campuran
Pencapaian Utama :
🔸Layak ke peringkat kedua Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-19 bagi Beregu Campuran
🔸Rank ke-33 bagi Individu Wanita

Juni Karimah Noor Kamali
Umur : 18 tahun
Sukan/Acara : Pelayaran - International 470 Wanita
Pencapaian Utama :
🔸 Tempat Kelima International 470 Wanita di Kejuaraan Asia 2019
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-19  bagi International 470 wanita

Nuraisyah Jamil
Umur : 25 tahun
Sukan/Acara : Pelayaran - International 470 Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Gangsa International 470 Wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-19 bagi International 470 Wanita

Wendy Ng Yan Yee
Umur : 28 tahun
Sukan/Acara : Terjun - 3m Papan Anjal Individu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak 3m Papan Anjal Seirama Wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-20 bagi 3m Papan Anjal Individu Wanita

Cheong Jun Hoong
Umur : 31 tahun
Sukan/Acara : Terjun - 10m platform Individu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak 10m platform Seirama di Olympics Rio 2016
🔸 Pingat Emas 10m platform Individu di Kejuaraan Akuatik Dunia 2017
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-26 bagi 10m platform Individu Wanita

Nur Shazrin Mohd Latif
Umur : 23 tahun 
Sukan/Acara : Pelayaran - Laser Radial Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Gangsa Laser Radial Wanita di Sukan Asia. Jakarta-Palembang 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-26 bagi Laser Radial Wanita

Khairulnizam Mohd Afendy
Umur : 28 tahun 
Sukan/Acara : Pelayaran - Laser Lelaki
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak acara Laser Lelaki di Sukan Asia Incheon 2014
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-28 bagi Laser Lelaki

Nur Suryani Mohamed Taibi
Umur : 38 tahun 
Sukan/Acara : Menembak - 50m Rifle 3 Position Individu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak 50m Rifle Prone di Sukan Asia Incheon 2014
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-34 bagi 50m Rifle 3 Position Individu Wanita

Kelly Tan
Umur : 27 tahun
Sukan/Acara : Golf - Woman's Individual Stroke Play
Pencapaian Utama :
🔸Juara Florida's Natural Charity Classic 2019
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-34 bagi Woman's Individual Stroke Play

Gavin Green
Umur : 27 tahun
Sukan/Acara : Golf - Men's Individual Stroke Play
Pencapaian Utama :
🔸Juara Kejohanan Golf Jelajah Asia - Mercuries Taiwan Master 2017
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Rank ke-57 bagi Men's Individual Stroke Play

Welson Sim Wee Sheng
Umur : 24 tahun
Sukan/Acara : Renang - 200m & 400m Gaya Bebas Lelaki
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Emas 200m Gaya Bebas Lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
🔸Pingat Emas 400m Gaya Bebas Lelaki si Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas di Heat 2 bagi 200m Gaya Bebas Lelaki
🔸Tiada rank - tewas di Heat 2 bagi 400m Gaya Bebas Lelaki

Phee Jinq En
Umur : 23 tahun
Sukan/Acara : Renang - 100m & 200m Kuak Dada Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Emas 50m Kuak Dada Wanita di Sukan SEA 2019 Manila
🔸Pingat Emas 100m Kuak Dada Wanita di Sukan SEA 2019 Manila
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas di heat 2 bagi 100m Kuak Dada Wanita
🔸Tiada rank - tewas di heat 1 bagi 200m Kuak Dada Wanita

Farah Ann Abdul Hadi
Umur : 27 tahun
Sukan/Acara : Gimnastik - All Around Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Tujuh Pingat Emas di Sukan SEA
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank

Jeremiah Loo Phay Xing
Umur : 23 tahun 
Sukan/Acara : Gimnastik - All Around Lelaki
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Emas Kekuda Berpelana di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank 

Azreen Nabila Alias
Umur : 21 tahun
Sukan/Acara : Olahraga - 100m Wanita
Pencapaian Utama :
🔸 Pingat Emas 100m & 200m di SUKMA 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas di Pusingan pertama - heat 6

Lee Hup Wei
Umur : 34 tahun
Sukan/Acara : Olahraga - Lompat Tinggi
Pencapaian Utama :
🔸 Pingat Emas Kejuaraan Asia 2007 di Jordan
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas di sesi kelayakan kumpulan A

Chan Peng Soon
Umur : 33 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Campuran
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak Beregu Campuran di Olympics Rio 2016
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas dalam Kumpulan D

Goh Liu Ying
Umur : 32 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Campuran
Pencapaian Utama :
🔸Pingat Perak Beregu Campuran di Olympics Rio 2016
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas dalam Kumpulan D

Lee Meng Yean
Umur : 27 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas dalam Kumpulan A

Chow Mei Kuan
Umur : 26 tahun
Sukan/Acara : Badminton - Beregu Wanita
Pencapaian Utama :
🔸Juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2018
Pencapaian di Olympics Tokyo 2020 :
🔸Tiada rank - tewas dalam kumpulan A

*Credit photos to Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur

Monday, August 9, 2021

Sayonara Olympics Tokyo 2020...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Olympics Tokyo 2020 baru sahaja melabuhkan tirainya malam tadi dengan kemeriahan tanpa penonton di acara penutupannya di Stadium Olympics Tokyo yang penuh bersejarah di mana inilah kali pertama penganjuran Sukan Olimpik tanpa kehadiran penyokong dan penonton.

Penganjuran Olympics ini akan diteruskan ke France dimana Paris akan menjadi venue utama untuk acara sukan yang paling gemilang iaitu Olympics Paris 2024 yang sememangnya akan menjanjikan kelainannya.

MALAYSIA di Tangga Ke-74!

Malaysia berada di tangga ke-74 bersama-sama dengan Jordan dan Nigeria yang masing-masing memperolehi 1 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa. Malaysia memperolehi pingat Perak menerusi acara Basikal Trek - Keirin Lelaki (Datuk Azizulhasni Awang) dan Pingat Gangsa menerusi acara Badminton - Beregu Lelaki (Aaron Chia dan Soh Wooi Yik).

Seperti yang kita tahu, Datuk Lee Chong Wei adalah Ketua Kontinjen Negara Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi tidak dapat bersama dengan atlet untuk ke Tokyo disebabkan faktor kesihatan.

Malaysia telah menghantar sebanyak 30 atlet (18 wanita & 12 lelaki) menerusi 10 acara sukan iaitu Berbasikal, Badminton, Memanah, Terjun, Olahraga, Golf, Gimnastik, Pelayaran, Menembak dan Renang.

Malaysia meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk memburu Emas Pertama di Olympics menerusi beberapa acara sukan seperti Berbasikal, Badminton dan Terjun. Keyakinan Malaysia terhadap pemburuan emas ini terserlah dengan meletakkan Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying (atlet Badminton) sebagai pembawa Jalur Gemilang semasa upacara pembukaan.

Disebabkan pemburuan emas ini berkonsepkan sebuah pertandingan, maka Olympics Tokyo 2020 ini bukanlah menjadi medan untuk para atlet kita menyerlahkan bakat dan kehebatan masing-masing kerana masing-masing terkandas awal dan hanya beberapa atlet sahaja yang berjaya melangkahkan kaki ke acara akhir. Tapi ianya cukup untuk kita meraikan para atlet kita semua dengan usaha dan semangat juang yang gigih di pentas Olimpik ini.

Aku sebagai rakyat Malaysia dan sebagai penyokong kuat para atlet Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaek dan sentiasa meraikan mereka dengan berkongsi perkara-perkara yang positif. Aku sebenarnya agak terkilan apabila melihat komen-komen dari segelintir netizen dan rakan-rakan media sosial aku yang mengkritik mengenai prestasi atlet Malaysia di pentas Olimpik ini. Sepatutnya kita memberi sokongan moral yang positif kepada para Atlet kita untuk terus bangkit dan berusaha untuk mencapai kejayaan di masa akan datang.

Insyaallah, entry akan datang aku macam nak berkongsi sedikit sebanyak pasal atlet-atlet Malaysia yang mewakili Malaysia di Olympics Tokyo 2020 sebagai informasi buat semua dan semestinya sebagai tanda sokongan aku terhadap mereka. Insyaallah.

Tahniah buat Datuk Azizulhasni Awang untuk Pingat Perak dan Aaron Chia / Soh Wooi Yik utk Pingat Gangsa di Olympics Tokyo 2020. Dua pingat ini pun mampu memberikan suatu inspirasi buat semua rakyat Malaysia dalam meraikan semangat kesukanan di pentas Olimpik.

Penyertaan Aku Sebagai Sukarelawan Olympics Tokyo 2020!

Sejujurnya, aku meletakkan harapan yang sangat tinggi ketikamana apply sekitar pertengahan Tahun 2018 untuk menjadi sebahagian yang terlibat dalam Olympics Tokyo 2020 sebagai sukarelawan dengan mengambilkira pengalaman aku semasa menjadi Sukarelawan SEAGAMES Kuala Lumpur 2017. Nombor pendaftaran aku adalah 1004740.

Peringkat pertama aku terpilih untuk dipanggil oleh Tokyo 2020 Games Volunteer Office ke peringkat kedua untuk berkongsi pengalaman aku dalam aktiviti sukarelawan dimana aku perlu membuat esei dan menyatakan minat aku untuk menyertai Olympics Tokyo 2020 sebagai seorang sukarelawan.

Seterusnya aku terpilih lagi untuk ke peringkat ketiga menerusi sesi interview bersama pihak penganjur secara atas talian dan aku memberi respon yang sangat menyakinkan ketika itu sehinggalah aku menunggu dalam tempoh yang agak lama lebih kurang 3 bulan untuk mengetahui keputusannya samada aku terpilih ke peringkat seterusnya atau tidak.

Dan Alhamdulillah aku terpilih ke peringkat seterusnya dan diberi peluang untuk memilih bidang tugas yang aku minat dan diinginkan. Selepas beberapa bulan, aku tak dapat apa-apa respon dari pihak penganjur sehinggalah aku terima emel pada 12/09/2019 yang menyatakan aku gagal dan tidak terpilih di peringkat akhir.

Masa tue, aku kecewa yang teramat sangat sehinggalah sekitar Oktober 2019, aku membawa diri ke Thailand iaitu Chiang Mai dan Chiang Rai untuk mengubat kekecewaan aku.

Selang beberapa bulan di awal Tahun 2020, dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan Olympics Tokyo 2020 ini ditunda ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak dan akhirnya berjaya direalisasikannya pada Julai/Ogos 2021 dengan norma baharu dan tanpa penyokong/penonton.

Apa-apa pun, aku tetap akan mencuba nasib lagi untuk menjadi sukarelawan Birmingham 2022 Commonwealth Games dan Olympics Paris 2024. Insyaallah, aku takkan berputus asa dan akan terus mencuba sebab sebelum ini aku pernah menjadi salah seorang sukarelawan di Seagames Kuala Lumpur 2017.

Sama-sama kita doakan semoga Pembangunan Sukan di Malaysia terus maju dan kita akan memburu emas semula di Olympics Paris 2024 yang akan datang. Dengan usaha yang tekad dari para pejuang Atlet Malaysia kita, kajayaan pasti akan diperolehi nanti. Insyaallah...

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur

Belasungkawa Almarhumah Siti Sarah Raissuddin

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Pagi ni kita dikejutkan dengan berita pemergian seorang penyanyi yang sangat berbakat yang pernah muncul di Malaysia iaitu Almarhumah Siti Sarah bt Raissuddin sepertimana yang dikongsikan oleh suaminya, Shuib Sepahtu.

انا لله وانا اليه راجعون
"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami dikembalikan"

اللهم اغفرلها وارحمها وعافها واغف عنها
"Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, kurniakanlah kesejahteraan untuknya dan ampunkanlah dia"

Seperti yang dilaporkan oleh media, Almarhumah ditidurkan ketika melahirkan anaknya yang ke-4 dan dalam masa yang sama sedang dijangkiti wabak Covid-19. Kita doakan semoga Almarhumah kembali kepada Sang Pencipta di kalangan orang yang syahid, sebagaimana sabda Nabi SAW :-

قتل المسلم شهادة الطاعون شهادة والبطن والغرق والمراة يقتلها ولدها خمعاء
"Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang Syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai Syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai Syahid"
-Hadith Riwayat Ibn Kathir : 5869-

Almarhumah merupakan salah seorang penyanyi yang aku paling minati dan album artis pertama yang aku beli kaset original adalah Album Sarah dan mini showcase yang pertama aku pergi adalah showcas mini concert dari beliau yang ketika itu baru memenangi Album Terbaek, Album Pop Terbaik dan Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-10 pada Tahun 2003.

Setiap kali Almarhumah datang je di Alor Setar, aku takkan terlepas untuk pergi melihat persembahan beliau dan ketiga-tiga album beliau iaitu Sarah (2002), Mimpi Pun Sama (2003) dan Tiada Dikau Tiada Makna (2005) masih aku simpan hingga ke hari ini.

Nie beberapa keping gambar kenangan ketikaman aku sempat bergambar dengan Almarhumah sekitar Tahun 2003-2004...

Paling aku teruja dan bersyukur sangat-sangat ketikamana Almarhumah melakukan penghijrahan dengan membuat keputusan menutup aurat sepenuhnya di kala populariti beliau kembali memuncak dan menjadi salah seorang finalis di Anugerah Juara Lagu Ke-33 menerusi lagu Semakin yang dicipta oleh suaminya sendiri. Alhamdulillah.

Kalau tengok di sosial media Almarhumah, banyak kebaikan yang dibuat sehinggakan ketikamana dikhabarkan pemergian beliau ke negeri abadi, satu persatu individu tampil berkongsi dan menceritakan mengenai kebaikan yang dibuat oleh Almarhumah dan rata-ratanya semua sangat menyayangi Almarhumah sebagai seorang ibu yang yang penyayang dan sebagai seorang isteri yang taat pada suami dan semestinya menjaga ukhuwah dengan kenalan dan peminatnya sendiri.

Apa-apa pun, marilah kita semua bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Almarhumah Siti Sarah bt Raissuddin dan mendoakan semoga Almarhumah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Insyaallah, Amin...

Ikhlas dari, 
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Sunday, August 8, 2021

BELAGU : Sebuah kisah klasik dari Dayang Nurfaizah...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Ambik semangat Olympic Tokyo 2020 tadi, satu berita menggembirakan buat rakyat Malaysia apabila Datuk Azizul Hasni Awang dan Shah Firdaus, dua wakil dari Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir bagi acara Keirin Lelaki yang akan diadakan pada hari ini (pagi 8 Ogos 2021) dan sama-sama doakan agar kedua-duanya mampu memberikan kejayaan buat Malaysia dengan menyumbangkan pingat kedua bagi kontinjen Malaysia... Insyaallah...

Hari aku nak mengulas atau memberi review terhadap satu album yang terbaru dari Dayang Nurfaizah iaitu BELAGU. Tahu apa tue BELAGU? BELAGU adalah dari bahasa Sarawak yang membawa maksud menyanyi. Album nie aku beli secara terus dari Dayang Nurfaizah semasa beliau membuka pre-order kepada para peminatnya.

BELAGU - Sebuah Kisah Klasik Dari Dayang Nurfaizah...

Benar! BELAGU nie memberi satu kelainan transisi berbeza dari Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi R&B yang cuba mengimbau atau mengembalikan kepada kita semua dengan lagu-lagu melayu klasik yang diberikan nafas baru yang lebih segar dan indah tanpa mengubah melodi asal bagi setiap lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini.

Pertamanya aku cukup tertarik ketikamana Dayang Nurfaizah memberi teaser lagu Tudung Periuk di instagramnya, dan aku terus terpikat dengan susunan melodinya dan sentiasa tertunggu-tunggu apakah yang terbaru dari Dayang ketika itu. Rupa-rupanya Dayang akan keluarkan satu album berbentuk fizikal iaitu BELAGU.

Dalam album ini terdapat 8 track lagu yang disusun secara segar untuk kita terus duduk dan dengar setiap lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam album BELAGU ini dan lebih menarik untuk album kali ini, Dayang turut menghadiahkan beberapa keping gambar sebagai tanda ingatan buat semua peminat dan pendengar album BELAGU.

Dan yang paling menarik adalah album BELAGU ini dirakam secara live dimana barisan pemuzik turut berada mengalunkan muzik dengan persembahan vokal Dayang Nurfaizah yang mantap dengan mengambil inspirasi penyanyi-penyanyi terdahulu merakamkan album secara live tanpa rakaman di studio sepertimana kebiasaannya.

Track Pertama - Tudung Periuk

Lagu Tudung Periuk ini adalah single pertama yang diambil dari Album BELAGU dan bila kali pertama mendengarnya dan membuatkan aku tertarik untuk terus mendengar dengan lenggok dan susunan melodi yang segar dibawakan oleh Dayang.

Lagu nie adalah lagu asal dari Seniman Negara P.Ramlee dan Salmah Ismail yang menjadi lagu tema di dalam filem Sumpah Orang Minyak. Cukup berbeza susunan muzik yang asal tetapi diberikan satu nafas baru oleh Dayang dengan pembawaan vokal yang gemersik dan lenggok syahdu yang lebih segar tanpa mengubah melodi asal lagu ini.

Track Kedua - Jikalau Abang Merindu

Lagu Jikalau Abang Merindu ini sedikit rancak muziknya dan pembawaan oleh Dayang adalah sedikit berbeza dengan penyanyi asal lagu ini iaitu Nona Asiah dan seterusnya Uji Rashid. Lagu nie best sebenarnya bila didengar secara santai disebabkan gabungan muzik yang agak rancak dengan lontaran vokal Dayang yang sedap yang sedikit sebanyak kita pun tak tahu yang sebenarnya lagu ini sudah wujud zaman berzaman.

Track Ketiga - Tak Seindah Wajah

Pertama kali aku dengar lagu Tak Seindah Wajah ini adalah ketika konsert Perjalanan Seni Tan Sri SM Salim dan ya, penyanyi asal untuk lagu ini adalah Tan Sri S.M. Salim. Lagu ini diberi nafas baru oleh Dayang yang ternyata memberikan kelainan penyampaiannya yang lebih segar.

Track Keempat - Malam Ku Bermimpi

Malam Ku Bermimpi merupakan single kedua oleh Dayang dalam memperkenalkan Album BELAGU kepada umum dan pertama kali aku tengok Dayang mempersembahkan lagu ini secara live adalah ketika mempromosikan BELAGU di Malaysia Hari Ini.

Penyanyi asal lagu Malam Ku Bermimpi ini adalah P.Ramlee dan Saloma. 

Track Kelima - Gurindam Jiwa (Duet Bersama Hael Husaini)

Lagu Gurindam Jiwa adalah lagu asal yang dinyanyikan oleh penyanyi Singapura iaitu R. Ismail tetapi untuk album ini, Dayang menyanyikannya secara duet bersama Hael Husaini iaitu antara pasangan duet yang terbaek di Malaysia dan pernah muncul sebagai pemenang utama di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 menerusi lagu HARAM.

Aku agak tertarik dengan lagu ini apabila digabungkan dengan vokal unik oleh Hael Husaini yang tak silap aku, kali pertama beliau menyanyikan lagu klasik secara lenggok asli dan ternyata ianya menjadi! Lagu Gurindam Jiwa ini antara lagu yang paling aku suka di dalam album BELAGU.

Track Keenam - Tari Tualang Tiga

Lagu Tari Tualang Tiga adalah lagu tema dari Filem Sumpah Orang Minyak yang dinyanyikan oleh Seniwati Negara, Saloma. Lagu nie agak rancak dan sekali sekala membuatkan kita turut bertepuk tangan mengikut rentak muzik yang cukup menarik.

Kali pertama aku dengar Dayang nyanyi lagu nie adalah di Konsert Kesuma Jiwa di Istana Budaya sebelum berlakunya pandemik Covid-19. Masa tu tak terfikir pun yang Dayang akan keluarkan album baru dan lagu ni menjadi salah satu lagu yang akan dimuatkan di dalam album terbaru beliau.

Track Ketujuh - Dikirim Jangan Dipesan Jangan

Sejujurnya, aku tak pernah dengar lagu ni sebelum Dayang menyanyikan semula lagu ini untuk Album BELAGU. Setelah membuat carian di google, lagu ini merupakan lagu asal yang dinyanyikan oleh Datuk Andre Goh.

Lagu nie tidaklah terlalu klasik tetapi susunan muziknya dapat mengembalikan kita ke zaman dahulu apabila diselitkan dengan alunan seruling yang memberi keindahan terhadap lagu ini. Lagu ni juga antara lagu yang menyerlahkan vokal Dayang dalam persembahan di dalam Album BELAGU.

Track Kelapan - Kenang Daku Dalam Doamu

Penyanyi asal bagi lagu Kenang Daku Dalam Doamu ini ialah M.Bakri dan seterusnya dinyanyikan semula oleh Datuk Sharifah Aini dan Tan Sri S.M. Salim. Tapi kebiasaannya aku dengar lagu ni oleh Tan Sri S.M. Salim.

Bila Dayang upload teaser di instagram ketikamana dia menyanyikan lagu ini sambil piano dimainkan oleh Aubrey Suwito, aku terus jatuh cinta ! Ketika tue, aku menjangkakan yang lagu ini akan dibawakan oleh Dayang secara yang lebih klasik dengan lenggok melayu asli dan ternyata ianya adalah benar! Memang sedap lagu ni dibawakan oleh Dayang.

Dengan alunan muzik yang agak santai dengan suasana atau pembawaan emosi yang sedih oleh Dayang, ianya ternyata mampu memberikan aku untuk memahami setiap bait-bait lirik yang ada di dalam lagu ini. Syabas Dayang!

Secara keseluruhan, aku sangat-sangat berpuas hati dan sangat-sangat berbaloi apabila dapat memiliki album BELAGU ini secara fizikal disebabkan Tahun 2021 nie kita dah bergerak ke muzik digital dan kebanyakan penyanyi lebih ke arah pendigital muzik berbanding berhabis duit untuk keluarkan album secara fizikal.

Lagu-lagu yang menarik dipersembahkan dengan lontaran vokal yang hebat oleh Dayang Nurfaizah menjadikan album ini antara yang menarik untuk dimiliki oleh semua dalam menyambut kehadiran penyanyi hebat untuk mengangkat kembali lagu-lagu klasik Melayu kepada generasi baru era 2021 ini.

Aku doakan semoga Dayang Nurfaizah terus success di masa akan datang dan mengharapkan sekiranya suatu hari nanti Dayang persembahkan lagu-lagu ini secara live di konsert-konsert yang akan datang disebabkan aku masih rindu dengan persembahan hebat Dayang di Konsert Kesuma Jiwa bersama Datuk Rizalman. Insyaallah...

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari, 
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur