Friday, November 15, 2013

KOREA Kami Datang !

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Alhamdulillah…Selesai jua program terakhir anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia Sesi 2012/2013 (MPM UTM) yang diketuai saya bagi program Pengantarabangsaan iaitu Global Outreach Program To Seoul, South Korea 2013 pada 5 hingga 12 November 2013 bertempat di Seoul, South Korea. Ia Berjaya dilaksanakan bersama-sama 10 orang peserta yang terdiri dari kalangan mahasiswa pelbagai fakulti. 

KOREA, Kami Datang ! 

Itulah ungkapan asas utama yang dapat diperkatakan dan menjadi satu jeritan yang paling kuat setelah berhempas-pulas menghadapi pahit manis sepanjang hampir 5 bulan gerak kerja yang dibuat. Bermula selepas Peperiksaan Akhir Semester lepas, semasa Latihan Industri, Minggu Mesra Mahasiswa sehinggalah bermulanya sesi pengkuliahan baru bagi sesi 2013/2014. Semuanya siling berganti antara suka dan duka. 

Paling saya tidak dapat lupa, apabila saya berhadapan dengan satu persatu peserta menarik diri dari program ini. Pelbagai alasan yang diberikan tapi saya hanya mampu senyum dan bersabar menghadapi setiap ragam peserta. Tak lupa juga, yang ‘menyindir’ saya dan mengatakan program ini nampak ‘hambar’ dan ‘berterabur’. Semua ungkapan itu, saya anggap sebagai penguat untuk terus saya buktikan yang program ini mampu untuk direalisasikan walaupun tanpa sebarang bantuan dari peruntukkan yang diluluskan oleh pihak Universiti. 

Saya juga terpaksa berdepan dengan situasi permohonan peruntukkan bagi program ini ditolak mentah-mentah dan menyebabkan beberapa peserta dah mula gelabah dan mahu menarik diri. Tapi, saya hanya mampu mengatakan bahawa saya akan cuba bantu untuk teruskan penajaan bagi mendapatkan dana dari pihak-pihak luar. Saya juga terpaksa berdepan dengan situasi apabila mendapat sindirin dari pihak-pihak tertentu yang mengatakan program ini memang tak dapat dilaksanakan. 

Saya cukup-cukup berterima kasih kepada Adeline, Ridzuan Razmin, Hafiy, Wani Aznan, Saiful, Hakim, Raja Hazman, Fitri dan Afiq yang sentiasa bersama-sama dengan saya sehinggalah program ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Saya belajar dari ‘A’ hingga ‘Z’ untuk realisasikan program tanpa merujuk mana-mana pihak. Pengalaman yang saya dapat ini, akan saya cuba kongsikan dengan mana-mana pelajar yang ingin membuat program ke luar Negara. Saya amat-amat bersedia untuk kongsikannya. 

Selain itu, saya nak ucapkan berbanyak ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang sudi menyokong dan menaja program ini sehingga membolehkan program ini direalisasikan dengan jayanya. Percaturan yang saya buat untuk memberi peluang kepada semua pelajar untuk bersama-sama dengan barisan MPM UTM bagi program ke luar Negara ini akhirnya tercapai. Dan saya mengharapkan agar ianya menjadi satu platform baru untuk mahasiswa dan MPM bergerak seiring bagi aktiviti-aktiviti bersifat global dan antarabangsa.


Usaha Tangga Kejayaan 

Itulah ungkapan yang saya sentiasa ingat semasa melaksanakan program ini. Biar pahit berdepan dengan ragam manusia sekeliling tapi saya percaya rezeki Allah, sentiasa ada bagi hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan tidak mengenal erti putus asa. Insyaallah, entry yang seterusnya, saya akan kongsikan setiap detik yang cukup bermakna ketika berada di Seoul, South Korea dan berkesempatan merasai dua musim yang berbeza iaitu Autumn dan Winter. Insyaallah… =) Nantikan bersama entry yang seterusnya… =) 

Sekian, Wallahua’lam… 

‘Terus Berbakti’ 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Saturday, November 2, 2013

Istimewanya Wanita...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Kembali kita bertemu dalam blog yang tak seberapa ini bersama saya. Insyaallah, tinggal beberapa hari saja lagi saya akan ke Seoul, South Korea sebagai Pengarah Program bagi ‘Global Outreach Program To Seoul, South Korea’, Insyaallah… Dengan tugasan akademik yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. 

Pagi ini saya nak kongsikan satu bahan bacaan yang menarik mengenai ‘Istimewanya Wanita’. Jom saya kongsikan beberapa amalan yang dapat dijadikan sebagai renungan bersama : 

1. Doa wanita lebih maqbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab Baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”. 

2. Wanita yang solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh. 

3. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuannya darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah SWT dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya. 

4. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua orang anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ehsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggungjawab maka baginya adalah syurga. 

5. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya). 

6. Jika wanita melayan suaminya tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat. 

7. Thabit Al Balnani berkata, seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila ia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu maka diambik rambutnya dan dijadikan sumbu pelita, pada keesokannya mata yang buta telah celik. 

8. Aishah berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? , jawab Baginda : “Suaminya” , siapa pula berhak terhadap lelaki?, jawab Rasulullah SAW, “Ibunya”. 

9. Sabda Nabi SAW : “Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya dan memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai syurga serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas titian sirat. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita (isteri) yang solehah”. 

Sumber : Majalah Berita Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. 

*Nasihat saya, wanita-wanita di luar sana, jagalah maruah diri, jagalah tingkah laku, jagalah adab sopan, jagalah segala-galanya kerana wanita adalah ciptaan Allah yang sangat istimewa. 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, October 30, 2013

Lawatan Ke Parlimen Malaysia Lagi...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 23 Oktober 2013 yang lalu telah diadakan satu lawatan ke Parlimen Malaysia sebagai tugasan tambahan bagi subjek ‘Kajian Dasar Pembangunan Strategik’. Lawatan ini bermatlamatkan bagi memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk melihat secara lebih dekat sesuatu dasar itu digubal oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih menerusi Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini secara demokrasi sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Setiap wakil rakyat ini boleh dan bersedia membahaskan setiap penghujahan dan pendapat samada di peringkat Kerajaan mahupun Pembangkang.

Saya selaku Pengarah Program bagi lawatan ini melihat dari perspektif pelajar bahawa lawatan ini sebagai pendekatan yang cukup bermanfaat untuk para pelajar berinteraksi secara lebih dekat menerusi perkongsian oleh beberapa Ahli Yang Berhormat. Maka diwujudkan beberapa slot tambahan bagi memanfaatkan lawatan ini yang melibatkan Yang Berhormat Normala Abdul Samad (Ahli Parlimen Pasir Gudang) dan Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (Ahli Parlimen Kota Tinggi).

Perkongsian pertama semasa sesi Sarapan Pagi Bersama Yang Berhormat Normala Abdul Samad, Ahli Parlimen Pasir Gudang dikongsikan secara santai dan bersahaja mengenai bagaimana beliau berbahas dan memberi hujah mengenai ‘Prevention Of Criminal Act (POCA)’ di mana beliau kurang bersetuju dalam salah satu bab yang iaitu pesalah-pesalah jenayah kecil seperti memijak bendera dan sebagainya ditempatkan sekali dengan hukuman bagi pesalah-pesalah jenayah berat seperti perogol, pembunuh dan sebagainya.

Slot kedua diteruskan menerusi lawatan ke Galeri Awam Dewan Rakyat selama hampir 1 jam diberikan untuk para pelajar melihat secara lebih dekat sesi soal-jawab lisan antara Ahli Yang Berhormat dengan barisan Kerajaan Pemerintah. Menerusi slot ini, ia memberi sedikit sebanyak menggambarkan bahawa setiap soalan yang dikemukakan itu dijawab dan dikaitkan dengan dasar kerajaan bagi memberi penjelasan dan jawapan bagi setiap soalan yang dikemukakan secara lisan.

Seterusnya, slot ketiga pula diteruskan menerusi Sesi Makan Tengahari Bersama Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Ahli Parlimen Kota Tinggi dengan Pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewakili Yang Berhormat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak dapat bersama kerana terlibat dalam Mesyuarat Bajet 2014. Menerusi slot ini, Yang Berhormat Kota Tinggi ada berkongsikan mengenai Dasar FELDA yang diwujudkan semasa Pemerintahan Perdana Menteri sebelum ini di mana FELDA itu sendiri dapat dikaitkan dengan Dasar Pembangunan Strategik yang dilaksanakan oleh Pihak Kerajaan bagi membantu rakyat yang miskin dan susah pada suatu ketika masa dahulu.

Kesimpulannya, apa yang dapat saya katakan adalah lawatan ini telah mencapai sasaran awal di mana objektif dan matlamatnya dapat dicapai menerusi manfaat dan ilmu tambahan yang diperolehi yang dikongsikan secara lebih jelas dan berpraktikal. Menerusi lawatan ini juga, ianya semestinya mendekatkan para pelajar dengan Subjek Kajian Dasar Pembangunan Strategik itu sendiri.


Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, October 29, 2013

Pembentangan Kertas Seminar Latihan Industri (LI)...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH, selesai juga pembentangan Kertas Seminar menerusi Latihan Industri yang dilakukan sepanjang hampir 3 bulan di Majlis Bandaraya Alor Star. Pembentangan kali ini melibatkan seorang ahli panel iaitu Pensyarah dari Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM. 

Hampir sebulan lebih menangguhkan pembentangan Kertas Seminar ini disebabkan salah faham yang berlaku antara saya dengan pihak fakulti menyebabkan ianya tergendala sehinggalah ianya dimaklumkan semula oleh seorang Pensyarah Kanan FGHT kepada saya. 

Gelabah habis sebelum melangkah masuk ke bilik VIP di FGHT dan hanya berbekalkan ungkapan ‘Bismillahirahmanirrahim’ serta ilmu pengetahuan yang ada menguatkan lagi untuk yakin dalam setiap kata-kata yang diungkapkan. Dengan hanya 10 slide yang dipersembahkan dan saya lebih memfokuskan kepada aspek penerangan dan penghujahan membuatkan bilik tersebut kelihatan tenang termasuk bagi sesi soal-jawab. 

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsikan 10 slide yang dipersembahkan oleh saya sebagai perkongsian ilmu yang tak seberapa ini. Semoga dimanfaatkan oleh semua yang membacanya. Bersamalah melihat hasil kerja saya dalam membuat Kertas Seminar yang bertajuk ‘Prosedur Kelulusan Pembangunan Tanah Di Majlis Bandaraya Alor Star Bagi Maksud Pelancongan Ke Atas Tanah Kerajaan. Kajian Kes : Sungai Kedah’. 


Ini merupakan kali kedua saya menjalani Latihan Industri, jika sebelum ini saya memilih syarikat swasta iaitu Firdaus & Associates Professionals Property Sdn. Bhd, tetapi kali ini saya mencuba untuk melihat situasi dan budaya kerja di badan kerajaan pula maka saya memilih Majlis Bandaraya Alor Star. 

Banyak juga pengalaman yang dapat saya kutip sepanjang hampir 3 bulan saya di MBAS. Insyaallah, setiap ilmu yang saya pelajari dan tunjur ajar yang diberikan oleh penyelia dan rakan-rakan staf, akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Insyaallah… =) 

Akhir kata, saya ucapkan ‘Terima Kasih’ kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung semasa saya menjalani Latihan Industri ini. 

Sekian, Wallahua’lam… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Ijazah Sarjana Muda Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) 
Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah 
Universiti Teknologi Malaysia 
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, October 16, 2013

Tahniah Kepada YB Khairy Jamaluddin & YB Mas Ermieyati Samsudin...

Assalamualaikum… 
Salam Perpaduan… 
Salam 1 Malaysia… 

TAHNIAH KEPADA YB KHAIRY JAMALUDDIN


Pertamanya, saya nak ucapkan TAHNIAH kepada YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau kerana dipilih sekali lagi mengetuai Pemuda UMNO Malaysia. Apa yang dapat saya katakan bahawa YB KJ sememangnya layak untuk mengetuai sayap parti tersebut dalam mendepani Politik Baru yang semakin rancak melibatkan para belia remaja hari ini. 

Apa yang saya perhatikan dalam Politik Malaysia yang melibatkan parti pemerintah iaitu UMNO Barisan Nasional, YB KJ mempunyai aura yang tersendiri ketikamana bersama dengan para belia hari ini berbanding pemimpin muda yang lain di dalam UMNO. Kredibiliti dan Keberanian beliau dalam membawa Politik Baru melibatkan konsep Debat Terbuka yang sentiasa dihadiri beliau mendepani Pendebat dari pihak Pembangkang. 

Banyak video-video yang saya tonton di Youtube melibatkan sesi perdebatan terbuka antara YB KJ dengan wakil-wakil dari pihak Pembangkang, contohnya ‘Debat Sinar : Isu PTPTN’ bersama YB Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), ‘Debat Sistem Pilihanraya’ bersama Dato’ Ambiga dan sebagainya lagi. Ini sememangnya membuktikan bahawa YB KJ sedang membawa arus baru dalam UMNO itu sendiri. 

TAHNIAH KEPADA YB MAS ERMIEYATI SAMSUDIN 


Pertama sekali saya nak ucapkan TAHNIAH kepada YB Puan Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana dipilih mengetuai Puteri UMNO Malaysia bagi sesi ini. Saya juga nak ucapkan berbanyak ungkapan TERIMA KASIH kepada YB kerana sudi menerima saya dan kawan-kawan saya ke Parlimen Malaysia nanti. 

Sekali bertemu dengan YB Mas, saya melihat personaliti yang ditonjolkan oleh beliau ketikamana berinteraksi dengan beliau dalam membincangkan kesediaan beliau untuk bersama-sama dengan saya dalam proses mengkaji dasar penggubalan menerusi subjek elektif yang saya ambil bagi semester ini. Kesudiaan ini menampakkan bahawa kesediaan beliau dalam bersama-sama membantu proses pengkajian yang sedang dibuat secara langsung ataupun tidak langsung. Insyaallah… 

*Insyaallah, teruskan membawa arus baru dalam Politik Malaysia yang lebih ke hadapan menerusi Politik Ilmu, Politik Anak Muda dan Politik Baru. Insyaallah… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, October 15, 2013

Salam Aidiladha Dari Bumi UTM Johor Bahru...

Assalamualaikum… 
Salam Perpaduan… 
Salam 1 Malaysia… 

SALAM AIDILADHA DARI BUMI UTM JOHOR BAHRU 

Sekali lagi saya ditakdirkan menyambut AidilAdha kali ini di bumi Sanjungan Bangsa, UTM Johor Bahru bersama-sama sahabat-sahabat, rakan-rakan dan mahasiswa/I Universiti Teknologi Malaysia. Menjadi seorang perantau dalam berjuang menuntut ilmu itu adalah satu pengalaman yang cukup menjadi diri ini kuat untuk berdiri dan berpijak di bumi yang nyata. 

Mendengar khabar dari ibu ayah dan adik-beradik yang sedang berada di Kelantan Darul Naim bagi meraikan Aidil Adha di sana, sedikit sebanyak memberi kesayuan hati ini dalam meraikannya tanpa kehadiran orang kesayangan di sisi. Terdengar laungan takbir sedikit sebanyak memberikan kesan kepada diri ini bagi menyambut Aidil Adha hanya bersama-sama dengan rakan-rakan di UTM ini. 

Sekadar perkongsian mengenai Ibadah Korban yang merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah atas nikmatnya sedikit sebanyak mewujudkan kerjasama, tolong-menolong, permuafakatan, interaksi sesama masyarakat. Seiring dengan amalan sedekah dan ziarah yang semestinya diteruskan. Penghayatan Ibadah Korban ini menunjukkan Indahnya Islam untuk semua. 

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan mencari keredhaan-Nya dengan ganjaran ibadah korban ini. Percayalah, Janji Allah itu benar sepertimana kisah Siti Hajar dan Nabi Ibrahim A.S yang sabar dengan ujian Allah, lalu dikurniakan Allah satu mukjizat kepada sekalian manusia iaitu Air Zam Zam yang tidak pernah putus bekalannya sehingga hari ini. 


“Semoga pengorbanan dan amal ibadah kita diterima-Nya…AMIN” 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Rakan HEMA UTM 
Merangkap Pemangku SUK MPM UTM 
wan_hazem19@yahoo.com

Malam Penghargaan MPM UTM Sesi 2012/2013 & Perlantikan Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

MALAM PENGHARGAAN MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA UTM SESI 2012/2013

Pada 7 Oktober 2013 (Hari Isnin) yang lalu, satu Majlis telah diadakan bagi memberi penghargaan kepada para Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM Sesi 2012/2013 yang bertempat di M-Suites Hotel. Malam penghargaan itu melibatkan para Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM yang telah berkhidmat selama setahun bersama Mahasiswa/I UTM.

Sekajap saja rasanya ‘setahun’ itu berlalu, pejam celik pejam celik dah sampai ke Majlis Penghargaan sudah. Walaupun tak semua yang hadir, tetapi sedikit sebanyak memberi kepuasan kepada saya untuk berkumpul dengan rakan seperjuangan dalam sebuah bahtera yang belayar selama setahun.

PERLANTIKAN RASMI RAKAN HEMA UTM SESI 2012/2013

Pada malam tersebut juga, turut diadakan Majlis Perlantikan Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013 iaitu sekumpulan pelajar yang dilantik oleh pihak UTM yang berlatarbelakangkan dengan kelebihan masing-masing di peringkat universiti ini. Sekumpulan pelajar ini diberi peluang untuk mengetuai para Mahasiswa/I UTM sementara menantikan kepimpinan baru Pucuk Pimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM yang baru.

Alhamdulillah, saya sekali lagi tersenarai dalam lantikan ini dan diberi amanah memegang 2 portfolio sekaligus iaitu Setiausaha dan Bendahari. Lantikan ini sedikit sebanyak memberi amanah dan tanggungjawab baru kepada saya untuk terus membawa harapan baru kepada para mahasiswa dalam menjadi pengantara dan perwakilan bagi membawa isu-isu dan suara mahasiswa melibatkan kebajikan Mahasiswa/I UTM.

Dengan pengalaman hampir 6 tahun dalam kepimpinan di UTM ini sedikit sebanyak dapat memudahkan segala macam urusan melibatkan isu-isu terkini di kalangan mahasiswa/I UTM walaupun terpaksa berdepan dengan segelintir mahasiswa yang menentang dan mempertikaikan lantikan ini. Tapi saya percaya, Allah Maha Berkuasa dalam menentukan segala macam yang berlaku. Insyaallah…

Seramai 11 orang dipilih termasuk saya bagi mengambilalih tampuk kepimpinan mahasiswa/I UTM yang melibatkan hampir 25,000 mahasiswa/I UTM. Setiap yang terpilih ini mempunyai latarbelakang yang berbeza dan masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Dan Alhamdulillah, bagi Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013 kali ini diketuai oleh Saudari Nursyazwani Aznan.

Dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Universiti, saya dan rakan-rakan seperjuangan akan lakukan yang sedaya termampu dan yang sedaya upaya terbaik dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Insyaallah, saya mohon sokongan dan kerjasama dari semua pihak dalam membantu kepimpinan kamu bagi membawa suara mahasiswa UTM ke peringkat yang lebih atas. Insyaallah… =)


“TERUS BERBAKTI” 

 Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Rakan HEMA UTM 
Merangkap Pemangku SUK MPM UTM 
wan_hazem19@yahoo.com