Tuesday, September 13, 2011

Faktor Yang Menggugat Kesucian Hati Mahasiswa Baru di IPT...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca satu penulisan yang cukup bermanfaat kepada diri saya serta semua sahabat-sahabat saya yang masih dalam proses pembelajaran di alam universiti. Penulisan yang begitu bermotivasi itu sedikit sebanyak dapat memberi laluan atau peringatan kepada semua sahabat-sahabat saya dalam mengharungi liku-liku bergelar seorang mahasiswa.



Penulisan yang ditulis oleh Dr. Siti Hamidah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM ini amat penting untuk kita semua memahami dan meneliti faktor-faktor yang boleh menggugat ‘kesucian’ hati dan diri para pelajar baru di universiti.

1. CINTA. Ini faktor utama yang boleh menyebabkan kerosakan besar kepada semua pihak (pelajar, keluarga, universiti, masyarakat). Sudah banyak kisah mengenai pelajar yang terlalu makhsyuk bercinta sehingga gagal menamatkan pengajian. Betapa ramai pelajar-pelajar bijak yang hanya mendapat keputusan sederhana (tidak cemerlang) disebabkan bercinta.
Tips: Buangkan jauh-jauh rasa ingin bercinta di dalam hati. Ingat, kita ada tanggungjawab yang perlu dibereskan selama 4/5 tahun ini. Cinta di kemudian hari sewaktu kita sudah berjaya cemerlang menggenggam segulung ijazah adalah lebih bermakna.

2. LEMAH KAWALAN DISIPLIN DIRI. Maklumlah, di universiti sudah tiada siapa yang akan menjaga kita. Tiada warden yang akan mengawal pergerakan kita di asrama, tiada guru yang akan mengambi berat hal diri dan hal pribadi kita. Jika ingin tidur sepanjang hari dan tidak pergi ke kuliah pun, tiada siapa yang kisah. Hanya tunggu di akhir semester apabila mendapat status 'gagal' dalam subjek yang kita abaikan.
Tips: Set mind bahawa kehidupan di universiti amat mencabar kekuatan diri kita. Kita hanya akan berjaya sekiranya dapat mengawal dan menjaga disiplin diri dengan baik. Ingat! Berjaya cemerlang, sederhana atau gagal di universiti adalah 100% atas usaha kita sendiri.

3. KETAGIH MAIN GAME/MEDIA SOSIAL. Generasi muda sekarang dan komputer/internet/media sosial memang tidak dapat dipisahkan. Namun seperti semua perkara yang lain, jika sesuatu itu diamalkan secara berlebihan, ia akan menjadi ketagih. Apabila ketagih, fikiran dan otak akan dikuasai olehnya maka sukar untuk kita memberi tumpuan kepada pelajaran. Seseorang yang telah ketagih facebook contohnya, akan memikirkan dan mencuri-curi melihat fb ketika pensyarah sedang mengajar. Jika ini caranya, mana mungkin akan cemerlang di dalam subjek tersebut.
Tips: Bahagikan masa untuk bermain game dan melayari internet. Kawal keinginan dan diri sendiri agar mengutamakan mengulangkaji dan membuat latihan. Apabila siap semuanya, barulah enjoy!

4. MENGABAIKAN TIDUR YANG CUKUP. Mengapa? Berchatting, fb, berbual dan bergosip (mengumpat) dengan kawan, bergayut di telefon, menontol EPL dan CL, dan banyak lagi. Apabila tidur pada pukul 3 atau 4 pagi, bagaimana untuk bangun pada pukul 6 dalam keadaan fresh? Bagaimana untuk memulakan kelas pada pukul 8 dalam keadaan bersemangat?
Tips: Pastikan mengikut rutin tidur yang tetap. Kemudian bangun awal untuk solat, mengaji dan berjalan-jalan/bersenam di luar asrama sambil menghirup udara pagi yang segar. Pasti akan bersemangat ke kelas.

5. MENGABAIKAN ASPEK SPRITUAL. Jika di asrama dahulu diwajibkan solat berjemaah, zikir munajat selepas solat, mengaji dan qiamullail, kini di universiti TIADA siapa yang akan menjaga dan mewajibkan kita berbuat demikian lagi. Pandai-pandailah sendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Solat makin leka, mengaji jarang sekali, qiamullail tidak terlintas. Lama kelamaan barulah terasa diri kosong dan tidak sama seperti dahulu lagi...Wajah semakin keruh dan hati tidak bahagia.
Tips: Cuba untuk solat awal waktu dan pastikan cuba untuk mengaji sekurang-kurangnya 2 kali sehari; selepas maghrib dan subuh. Pasti hati akan bahagia.

6. TIDAK SEDAR DIRI. Atau telah lupa siapakah diri kita sebenarnya. Ingat bahawa kita adalah KHALIFAH (bertanggungjawab memakmurkan bumi) dan HAMBA (mematuhi semua suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).
Tips: Didik hati untuk sentiasa mengingati mati. Ini adalah cara untuk melembutkan hati dan mengawal nafsu diri kita.

7. TIDAK MENGHORMATI PENSYARAH. Pensyarah tidak pandai mengajar. Pensyarah sombong. Pensyarah pelik perangai. Pensyarah kedekut markah. Semua pemikiran ini akan merugikan diri sendiri. Fikiran negatif akan mempengaruhi diri kita untuk bertindakbalas secara negatif. Pensyarah akan dapat menilai siapakah pelajarnya yang benar-benar ikhlas untuk belajar, dan yang menghormatinya. Pensyarah juga akan dapat membaca body language pelajar yang tidak berminat. Saya ingin memetik kata-kata seorang pemimpin pelajar yang kini menyambung pelajarannya di peringkat PhD di UTM, yang menulis di status facebooknya:
"Kpd adik2 baru memdaftar. Selamat menjadi sbhagian dri legasi UTM, Universiti Terbaik Malaysia=) Tolong blajar. 60% quiz, test, assignment n bonus! 40% Final! The Key is Focus and RESPECT and LOVE ur Lecturer.. I have Practice It For 4 years and What I Can Say Is Its GREAT! Selamat maju jaya adik2ku"

8. TERLUPA PENGORBANAN DAN HARAPAN IBU BAPA. Pejam mata, dan ingatlah betapa gembiranya mereka apabila kita berjaya melangkah kaki ke universiti. Harapan mereka amat besar untuk melihat kita berjaya dan terus berjaya. Jangan musnahkan segalanya dengan mengikut kata hati dan kelemahan diri, sedangkan Allah telah mengurniakan kita dengan akal yang bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara.

9. TIDAK MENETAPKAN SASARAN KEJAYAAN YANG BESAR. Apakah mendapat CPA=4 di akhir semester adalah mustahil? TIDAK. Ia hanya mustahil sekiranya kita tidak menetapkan sasaran untuk mencapainya.
Tips: Melangkah ke semester baru mestilah dengan azam untuk mendapat CPA 4. Seterusnya selalu membayangkan di dalam fikiran keputusan tersebut telah diterima di akhir semester kelak. Jika fikiran kita yakin, pasti usaha, daya pemahaman dan tingkahlaku kita akan menuju kearah mencapai cita-cita tersebut.

Sumber : Blog Dr. Siti Hamidah

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Tekanan Hidup Punca Utama Remaja Lari Dari Rumah...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Tertarik saya untuk berkongsi sedikit permasalahan yang perlu kita ‘alert’ terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan remaja masa kini. Remaja inilah yang akan memimpin anak cucu kita pada masa hadapan. Perkongsian ini sekadar untuk kita semua fikirkan apakah yang terbaik untuk kita semua atasi perkara-perkara seperti ini.

Kuala Lumpur: Sebanyak 49 peratus atau 185 daripada 379 kes membabitkan remaja seawal usia 8 tahun lari dari rumah disebabkan mereka tidak mampu menanggung tekanan hidup.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata melalui kajian dijalankan terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah pada tahun lalu menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbangkan kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, ingin bebas (55), bergaduh dengan keluarga (41), bosan (38) dan kurang kasih sayang (35).

"Kajian ini dijalankan terhadap remaja berusia antara 8-18 tahun yang lari buat pertama kali dari rumah dengan 80 peratus responden adalah remaja Melayu".

" Saya menyifatkan fenomena ini masih boleh dikawal kerana purata kes 10 remaja hilang dalam sebulan itu masih rendah berbanding populasi 6 juta remaja di negara ini".

" Bagaimanapun ia tetap membimbangkan kerana jumlah itu boleh bertambah selaras dengan peningkatan kes perceraian ibu bapa", katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Berita Minggu semalam mengenai purata 10 orang hilang sebulan, kebanyakkannya membabitkan gadis Melayu termasuk remaja semuda 12 tahun.



Sehubungan dengan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin mengingatkan ibu bapa atau penjaga serta ahli keluarga segera membuat laporan polis selepas anak hilang dalam tempoh 48 jam kerana bimbang ia ada hubung kait dengan jenayah.

Mohamed Fadzil berkata kecenderungan remaja untuk lari semula beberapa kali selepas pulang ke rumah juga tinggi dengan 80 kes disebabkan terpengaruh dengan kawan, tekanan (64), ingin bebas (53), bosan (36), takut (33) dan bergaduh (32).

Pada masa sama, katanya, remaja yang cenderung untuk melarikan diri dari rumah kebiasaannya mempunyai ciri seperti mempunyai mempunyai keyakinan diri yang rendah (60 peratus), pengetahuan agama yang kurang dan pengaruh luaran yang tinggi ( 56 peratus).

Sumber: Berita Harian, 12 September 2011 (Isnin)

P/s : Saya amatlah berharap agar kita semua memberikan contoh yang terbaik untuk generasi akan datang. =)

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Debaran Pertama Di Bilik Kuliah...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1Malaysia…

Pagi ini akan bermulalah episod baru saya dalam menjalani semula alam pembelajaran bagi Ijazah Sarjana Muda Pertama saya dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (SGHL) di Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT).

Dengan semangat yang kuat dan azam yang tekad, saya akan cuba memperbaiki kelemahan lalu dalam mencapai kejayaan dan memperolehi kecemerlangan akademik dan semuanya. Insyaallah… Pengalaman lalu akan dapat mematangkan saya untuk terus bercita-cita untuk menggenggam 4.00 bagi semester pertama ini. Insyaallah…

Saya juga akan cuba sedaya upaya untuk mengecualikan kredit bagi beberapa subjek yang telah saya ambil ketika mana belajar di UTM KL dahulu. Dan ini membuatkan saya cuba memfokuskan lebih kepada subjek yang baru.

Di sini juga saya ingin berkongsi satu doa kepada seluruh mahasiswa baru dan kanan iaitu Doa Ketika Mahu Menuntut Ilmu. Perkongsian doa ini adalah sebagai rasa tanggungjawab saya kepada sahabat-sahabat saya untuk terus mengecapi keberkatan dari Ilahi.



Maksudnya:
"Wahai tuhanku, tambahkanlah ilmu dan luaskanlah fahamku.Wahai tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku.Ya Allah ,keluarkanlah kami dar kegelapan ragu dan muliakanlah kami dengan cahaya pengertian, bukakanlah bagi kami malrifat ilmu, berilah cahaya kepada hati kami sebagaimana Engkau beri cahaya kepada matahari dan bulan dan mudahkanlah bagi ku pintu-pintu kurniaMu, wahai yang paling pengasih."

Saya juga mendoakan agar semua sahabat-sahabat saya yang baru seperti saya untuk berazam dan bercita-cita tinggi di permulaan garisan ini bagi menghampiri penamat yang akan terus menyinari harapan ibu ayah kita. Insyaallah…

‘Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan’

Sekiranya anda semua ingin kejayaan dan kebahagiaan, anda haruslah mencari sendiri akan impian anda itu. Kejayaan dan kebahagiaan takkan jatuh tergolek di depan mata. Ingat, manusia sentiasa leka dengan hawa nafsu di sekeliling kita, tetapi hanya diri kita sahaja mampu menepisnya sekiranya keimanan dan ketakwaan anda kepada Allah itu sentiasa ada dalam diri kita. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Friday, September 9, 2011

Minggu Transformasi Mahasiswa UTM Cukup Meriah...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Alhamdulillah… Dah masuk hari ketujuh pada hari ini saya dapat bersama-sama menyertai Minggu Transformasi Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia dengan penuh semangat dan kegembiraan tanpa sebarang permasalahan yang berlaku. Alhamdulillah…

Saya ingin kongsikan beberapa perkara yang berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan pada malam semalam dan pagi tadi iaitu Taklimat Pusat Islam, Larian Mesra Kampus dan Karnival Sukan MTM UTM.

Pertamanya, saya cukup berpuas hati dengan penerangan dan taklimat yang diberikan oleh Pusat Islam berkenaan dengan aktiviti serta kemudahan yang diberikan oleh Pusat Islam UTM kepada mahasiswa UTM.

Saya sebenarnya amat tertarik dengan beberapa aktiviti yang diumumkan dan bakal dijalankan pada masa akan datang iaitu Program Global Outreach Programme (GOP) oleh Pusat Islam, Kursus Sains dan Al-Quran, Kelas Bahasa Arab serta beberapa lagi program lain.

Saya lebih tertarik sekiranya Pusat Islam UTM menjalankan aktiviti yang berbentuk Kesenian Islam seperti Kaligrafi Islam atau Tulisan Khat. Ketika sekolah rendah dahulu saya pernah memenangan beberapa Pertandingan Tulisan Khat beberapa kali dan pernah mewakili Negeri Kedah untuk ke peringkat yang seterusnya.

Tetapi disebabkan tiada sokongan dari pihak sekeliling, bakat yang ingin ditonjolkan itu terpaksa dipendamkan sahaja disebabkan tiada kelas pembelajarannya atau mana-mana pihak yang dapat membantu. Apa-apa pun, itu hanya kenangan lalu sahaja. Hehehehe… =)

Keduanya, berkenaan dengan Larian Mesra Kampus dan Karnival Sukan MTM UTM yang dilakukan pada pagi tadi juga cukup meriah dan gembira walaupun terdapat beberapa kelemahan berkenaan berkaitan dengan pengurusan.

Apa-apa pun, apabila melihat kemeriahan ‘cheers’ dan sorakan oleh setiap kolej sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi suasana di padang UTM. Saya tertarik dengan mascot Kolej 11 iaitu Spongebob yang cukup kreatif. Sorakan pula saya lebih tertarik dengan Kolej Tun Fatimah iaitu Ala Canggung yang sangat kiut dan comel apabila dilakukan oleh gadis-gadis UTM ini. Tetapi kemeriahan sorakan tetap menjadi milik Kolej11. Hehehe… =)

Saya mengambil kesempatan di sini ingin mengucapkan berbanyak ucapan ‘Terima Kasih’ kepada seluruh petugas, krew dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Aktiviti Taklimat Pusat Islam, Larian Mesra Kampus dan Karnival Sukan UTM ini. Tanpa kerja keras anda, kemungkinan aktiviti seperti ini tidak dapat dijalankan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini kepada crew-crew MTM di Kolej 11 sekiranya saya dan sahabat-sahabat saya terlewat bangun, terlewat datang atau melakukan kesalahan yang tanpa kami sedari. Kerja keras anda cukup membuatkan kami semua gembira dan tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, September 7, 2011

Samudera Kehidupan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Membuat keputusan merupakan suatu yang sangat sukar untuk kita tetapkan. Kejayaan dan Kegagalan merupakan dua perkataan yang sangat berkait rapat dalam membuat sesuatu keputusan ini. Sekali kita tersalah membuat keputusan, kegagalan yang akan mengiringi kita untuk suatu ketika.

Serabut, dilema, pening dan sebagainya lagi antara sampingan yang akan kita perolehi sebelum kita membuat sesuatu keputusan. Dengan keputusan itu juga, dapat memberikan kita kejayaan dan kegembiraan jika keputusan yang dibuat itu cukup memberi kepuasan kepada diri kita.

Situasi ini dapat saya gambarkan seperti sebuah Bahtera yang berdepan dengan samudera. Ombak kuat yang disekeliling kita sentiasa berada di mana-mana sahaja. Ombak itu dapat yang umpamakan seperti rakan-rakan kerana rakan-rakan juga antara penyumbang untuk kita membuat keputusan.

Sekiranya kita membuat sesuatu masalah, siapakah yang akan bersama dengan kita untuk mendengar permasalahan kita? Rakan yang paling dipercayai sahaja tempat untuk kita meluahkan sesuatu. Itulah yang dapat saya katakana bahawa peranan rakan juga cukup besar.

Emosi manusia sentiasa terumbang-ambing sekiranya kita sedang berhadapan dengan sesuatu permasalahan. Oleh itu, ambillah wuduk dan minumlah air untuk kita tenangkan diri kita untuk seketika waktu, agar keputusan yang dibuat itu cukup memberi kekuatan dan semangat untuk kita.

Hari ini juga, saya ingin kongsikan satu lirik lagu iaitu Samudera yang dipopularkan oleh Nora untuk kita sama-sama menghayati bait-bait lirik yang cukup memberikan kita satu gambaran mudah untuk kita meneruskan perjuangan kita. Insyaallah…

SAMUDERA – Nora

Nyanyikan ku gemuruh di irama
Melewati hamparan hati
Ku menanti sejuta suara
Yang memanggilku serikandi

Di pasak maya pada
Akan aku gegarkan
Embu azimat nan sakti
Dan bercurah awanan
Akan aku luruhkan
Menitis emas menghujan

Ku serakkan tautan kiambang
Sebelum ku jejaki gelombang

Jika tak ku temu kekuatan
Ku ratib semangat kebangkitan
Lautan bergelora
Tidak gentar ku rempuhi

Pelayaranku, biar tenggelam tak melara
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera
Sinarnya membelah samudera

Cahaya lantera yang ku bawa
Mengharungi perjalananku
Lindungi dari badai prahara
Tetap bertahan sanubari

Ku serakkan tautan kiambang
Sebelum ku jejaki gelombang

Jika tak ku temu kekuatan
Ku rabit semangat kebangkitan
Lautan bergelora
Tidak gentar ku rempuhi

Pelayaranku, biar tenggelam tak melara
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera



P/s : Keputusan yang dibuat perlulah kita sendiri yang yakin terhadap keputusan itu. Jika ada yakin, Insyaallah..mana-mana keputusan yang dibuat akan sentiasa disukai anda. Insyaallah…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, September 5, 2011

Minggu Transformasi Mahasiswa di Kolej 11 UTM JB...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Alhamdulillah…hari ini masuk hari ketiga saya dalam Minggu Transformasi Mahasiswa UTM (MTM UTM) ini… Saya ditempatkan di Kolej 11 yang sangat meriah dan terbaik la… Dan kali ini saya nak fokuskan penulisan kali ini dengan kemeriahan dan suasana di Kolej 11 UTM.



Terima Kasih pertamanya saya ingin ucapkan kepada seluruh krew-krew Kolej 11 yang bertungkus-lumus membantu saya dan memastikan kesemua aktiviti yang diwujudkan cukup meriah. Terutamanya akak Fasi Kumpulan saya iaitu Kumpulan 7 yang sangat comel dan ‘kiut’ iaitu Akak Ecah. TQ…

Pengetua Kolej 11 ini juga cukup spoting dan berkongsi pengalamannya dengan kami semuanya dengan sungguh best dan TQ juga pada pengetua kerana sudi menjawab soalan saya pada Malam Bersama Pengetua Kolej 11.

Barisan Felo dan Pembantu Felo juga kelihatan cukup selesa dengan kami semua dan kami juga cukup selesa dengan layanan yang diberikan. Dan apa yang dapat saya katakan bahawa ianya cukup best.

“Takut…Takut…Takut…
Tak Takut... Tak Takut…

Gentar…Gentar…Gentar…
Tak Gentar…Tak Gentar…

Cuak..Cuak…Cuak…
Tak Cuak…Tak Cuak…”
(sambil goyang bahu)

Itulah sorakan bagi Kolej 11 yang paling saya suka dan sungguh comel pabila dipraktikkan… Kredit to Kumpulan 9 dengan idea tersebut.

Sahabat-sahabat baru juga yang saya dapat di sini cukup selesa dan meriah. Dan saya harapkan agar persahabatan kita semua dapat berkekalan hingga ke akhirnya. Insyaallah… So, jemput-jemputlah ke bilik saya di sini iaitu MA7/214… Bilik cukup luas dan cukup selesa…. =)

Apa-apa pun, kesempatan yang ada ini sempat juga untuk saya ‘up-date’ blog saya yang tak seberapa ini. Dan saya masih berbaki 5 hari lagi untuk habiskan Minggu Transformasi Mahasiswa ini. Saya ucapkan GOODLUCK untuk semua Krew MTM… =)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Kenangan Beraya Bersama Ustaz Akhil Hayy & Waheeda Wassini...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Kenangan Terindah dapat saya katakan buat diri saya kerana Ikon saya iaitu Ustaz Akhil Hayy dan Akak Waheeda Wassini sudi mengucapkan ‘GOODLUCK’ dan memberi semangat untuk diri ini bagi merealisasikan impian saya yang seterusnya iaitu Menyambung Pelajaran Peringkat Ijazah Pertama di Universiti Teknologi Malaysia.

Terima Kasih jugak buat Ustaz AKhil Hayy dan Akak Waheeda Wassini yang sudi beraya bersama-sama dengan kami sekeluarga dalam pertemuan yang teramat tidak disangka-sangka itu. Apa-apa pun kenangan raya tahun ini juga meriah dengan pertemuan raya tersebut. Insyaallah…

Harapan saya, agar Ustaz Akhil dan Akak Waheeda terus berbahagia. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk anda berdua. Insyaallah… Jika saya terlibat dalam aktiviti universiti nanti, saya akan cuba menjemput Ustaz dan Akak Waheeda untuk memberi sedikit tazkirah atau pun berkongsi pengalaman menjadi insan yang lebih berguna. Insyaallah…

Apa-apa pun, jom sama-sama kita tengok beberapa keping gambar kenangan saya bersama Ustaz Akhil Hayy dan Akak Waheeda Wassini.





Selamat Hari Raya dan Terima Kasih sekali lagi dari saya untuk Ustaz Akhil Hayy dan Akak Waheeda… =)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com