Tuesday, January 24, 2017

Aku Haus Darahmu (2017) - Kelainan Filem Seram Tempatan...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Sehati Sejiwa...

Wahhh...semakin mengakhiri bulan Januari 2017. Apakah agenda anda yang telah terlaksana dibuat sepanjang bulan Januari 2017? Aku? Aku macam biasa ja la, setakat ini tiada sangat perancangan untuk pergerakkan sepanjang tahun 2017 melainkan apa yang telah aku setkan pada akhir tahun 2016 yang lalu. Insyaallah, aku akan melancong ke beberapa tempat, terlibat dalam sukarelawan peringkat antarabangsa dan beberapa lagi aktiviti lain.

Bercakap mengenai kerjaya, Alhamdulillah aku semakin stabil dan selesa bekerja di sini cuma aku masih mengimpikan untuk pulang dan bekerja di negeri kelahiranku iaitu Negeri Kedah Darul Aman. Dan aku ada jugak terdetik di hati untuk mencuba nasib atau beralih kepada kerjaya yang baru iaitu sebagai wartawan disebabkan aku ini suka menulis mengenai isu-isu semasa. Tapi setakat ini responnya agak mendukacita disebabkan aku tiada diploma atau degree untuk bidang yang berkaitan. Huhuhu...

AKU HAUS DARAHMU (2017)


Baru-baru ini, aku berpeluang untuk menghadiri ke Malam Gala Tayangan Perdana Filem Aku Haus Darahmu arahan Saudara Aidilfitri Mohd Yunus pada 17 Januari 2017 yang lalu bersama-sama dengan barisan pelakonnya iaitu Deanna Yunus, Nad Zainal, Zoey Rahman dan lain-lain lagi.

Di sini aku kongsikan dahulu sinopsis filem Aku Haus Darahmu untuk korang semua baca :-

“Aku Haus Darahmu mengisahkan Lia, seorang ahli antropologi dalam bidang seni tarian bersama dua rakannya mengunjungi sebuah perkampungan di pedalaman untuk membuat kajian mengenai sejenis tarian yang hampir pupus.

Dia dan rakannya sanggup melakukan apa sahaja untuk melengkapkan hasil kajian mereka. Pelbagai peristiwa seram menyelubungi mereka sepanjang kajian mengenai tarian itu dilakukan. Apakah yang sebenarnya berlaku? Adakah tarian itu mempunyai kaitan dengan ilmu hitam?”

Amacam? Apa yang korang rasa apabila membaca sinopsis tersebut. Sejujurnya, aku cukup tertarik dengan konsep dan jalan cerita yang ditampilkan apabila mewujudkan suasana yang seram serta diselitkan dengan elemen suspens yang sentiasa mengejutkan aku ketika menonton filem ini.

Konsep tarian yang dijadikan sebagai subjek utama iaitu tarian ‘Radja Singasari’ merupakan tarian yang cukup ‘kena’ dengan jalan ceritanya. Perkaitan yang cukup disampaikan itu memberikan satu kelainan berbanding filem-filem sebelum ini seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan lain-lain lagi. Tarian itu akan memukau anda terutamanya apabila ianya ditarikan dengan penuh mistik dan unik oleh Deanna Yusuf.

Dari segi lakonan pula ianya dipersembahkan dengan sangat baik oleh para pelakon terutamanya watak ‘Cik Chempaka’ lakonan Deanna Yusuf manakala watak lain boleh dianggap biasa saja. Watak ‘Cik Kenanga’ pula menguatkan juga elemen suspens dalam filem ini. Dari segi sudut ‘shot’ yang diambil pulak boleh dianggap baik walaupun masih terdapat beberapa babak yang kabur.

Sejujurnya, filem Aku Haus Darahmu ini cukup lain dari yang lain walaupun para penonton pasti akan mengagak bahawa jalan cerita di pengakhirannya yang mudah diteka terutamanya apabila filem seram ini dikategorikan sebagai filem Melayu. Apa-apa pun, aku puji filem ini di atas kelainan yang ditonjolkan berbanding filem-filem seram yang lain.




 Secara keseluruhannya, aku amat-amat suka suasana yang digambarkan dalam filem ini. Mengaitkan suasana kekampungan, dan tarian yang cukup seiring sepertimana yang diharapkan oleh penonton seperti aku. So, aku bagi 9/10 bintang untuk filem ini. Kepada semua pembaca blog aku, jangan lupa saksikan filem ini di pawagam seluruh Malaysia mulai 2 Februari 2017.

Sekian, wallahua’lam... ;)

Ikhlas dari,
WMHMY

wan_hazem19@yahoo.com 

Monday, January 23, 2017

The Apprentice (2016) - Filem Singapura Yang Menarik...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Sehati Sejiwa...

Perghhh...lamanya aku menghilang hampir 2 bulan tanpa sebarang entry untuk dikemaskini. Bukannya tiada sebarang berita tetapi tugasku yang semakin sibuk dengan pelbagai perkara di pejabat dan penyertaan aku dalam pelbagai aktiviti di luar pejabat. Banyak sebenarnya aku nak bercerita tetapi aku nak mulakan entry bagi Tahun 2017 adalah dengan perkongsian aku mengenai filem The Apprentice.

THE APPRENTICE (2016)


Pernahkah anda semua mendengar mengenai filem The Apprentice (2016) dari produksi filem Singapura yang diarahkan oleh saudara Boo Junfeng? Aku cadangkan korang semua tengok dahulu trailernya di youtube, pasti korang akan tertarik dengan babak-babak yang diketengahkan berlatarbelakang kawasan dalam penjara dan tempat tali gantung.

Sejujurnya, 2 kali aku layan filem The Apprentice ini di pawagam dan untuk pengetahuan semua filem ini agak terhad tayangannya kerana hanya beberapa pawagam saja yang menayangkan filem ini. Seingat aku, aku sempat tonton filem ini di GSC Mid Valley dan 1 Utama. Keterujaan aku untuk menyaksikan filem ini amatlah berbaloi.

Jom aku kongsikan dahulu sinopsisnya agar korang memahaminya dahulu :-

“Aiman adalah seorang orang Melayu yang bertugas sebagai penjaga LP (Lembaga Pemasyarakatan) berusia 28 tahun, dan dia baru saja ditukarkan atau dipindahkan untuk bekerja di penjara baru. Dia tinggal di perumahan yang sederhana bersama dengan kakaknya Suhaila.

Di tempat kerja barunya, Aiman bersahabat dengan seorang sersan yang berusia 65 tahun bernama Rahim, dia adalah seorang algojo yang sudah lama bertugas di penjara tersebut.

Aiman adalah jenis orang yang berprinsip, juga rajin bekerja dan ketika asisten Rahim tiba-tiba berhenti kerja, maka dia meminta Aiman untuk menjadi anak buahnya (muridnya). Aiman memberitahu Suhaila tentang posisi barunya, tapi Suhaila menjadi marah kerana ayah mereka pernah dihukum mati oleh Rahim.

Aiman juga menyedari tentang hal tersebut. Dapatkah Aiman mengatasi gejolak hati nurani dan masa lalunya? Kemungkinan dia juga akan mengambil alih sebagai kepada algojo berikutnya?”

So, bagaimana? Korang tertarik? Aku sebenarnya cukup tertarik dengan watak Aiman yang dilakonkan oleh Bro Firdaus (Fir Rahman). Watak Aiman walaupun simple, tetapi permainan emosi dalamannya itu seolah-olah menarik dan mengembalikan aku kepada pelbagai ragam manusia yang pernah aku jumpa. Diluar menampakkan tenang tetapi pergolakan berlaku secara dalaman. Apa sebenarnya yang dicari oleh Aiman?

Selain itu, Sarjan Rahim (lakonan Wan Hanafi Su) juga memperkuatkan lagi jalan ceritanya yang semakin memuncak kepada konflik secara tiba-tiba. Perwatakan antara Aiman dan Rahim digambarkan sebagai mentor-mentee yang seiring dengan keadaan dan suasana di kawasan penjara itu. Kebolehan yang ada pada watak Aiman, memperkukuhkannya untuk menarik perhatian Sarjan Rahim.

Pergolakan dalaman dan emosi Aiman dipertunjukkan secara jelas ketika berada di rumah dimana Aiman berhadapan dengan kakaknya, Suhaila. Suhaila ini merupakan satu-satunya keluarga yang dia ada tetapi kakaknya juga berhadapan dengan situasi yang berbeza terutamanya dalam karakternya yang menginginkan kebebasan.

Sejujurnya, aku berikan 9/10 bintang untuk filem The Apprentice. Maka tak hairanlah bahawa filem ini turut tercalon bagi dua kategori di Asian Film Award 2017 iaitu masing-masing finalis Top 5 bagi kategori Best Newcomer menerusi Bro Fir Rahman (memegang watak Aiman) dan Best Editing (Natalie Soh dan Lee Chatametikool). Tahniah !

Selain itu, filem The Apprentice juga pernah dinobatkan sebagai Best Narrative Film at the Interfaith Awards of St Louis International Film Festival, Golden Orchid Special Mention for Best Acting Ensemble at Hawaii International Film Festival, Asian New Wave Best Film at QCinema International Film Festival dan lain-lain lagi.


Aku dikira sebagai antara penyokong dan peminat filem The Apprentice yang sangat bertuah kerana berpeluang untuk berinteraksi secara dengan lebih dekat dengan pelakon utamanya iaitu Bro Fir Rahman. Banyak perkongsian yang diceritakannya terutamanya ketika mendalami dan menghayati watak Aiman. Watak Aiman dan Bro Fir Rahman sendiri memberikan satu kekuatan dan inspirasi dalam ‘melawan’ dan ‘membenarkan’ emosi itu mengalir dalam diri secara neutral dan meneruskan kehidupannya walaupun dia tahu bahawa pelbagai kemungkinan yang akan beliau berhadapan.


Benar! Itulah yang aku rasa ketika menonton filem ini dan ianya menjadi lebih kuat apabila perkara ini sendiri diakui oleh Bro Fir Rahman. Insyaallah, aku masih menunggu dan menantikan DVD Original The Apprentice yang didatangkan khas dari Singapura oleh Bro Fir Rahman sebagai koleksi wajib yang perlu aku simpan sebagai salah satu filem asia yang aku benar-benar sokong dan suka. Insyaallah.

Kepada para pembaca blog aku diluar sana yang masih belum menonton filem ini, aku cadangkan agar korang ke GSC Mid Valley kerana aku dikhabarkan ianya masih ditayangkan khas bagi penonton-penonton Malaysia.

Insyaallah, ada masa aku akan kongsikan lagi pelbagai perkara menarik dan review filem-filem terbaru. So, nantikannya ya... ;)

Sekian, wallahua’lam...

Ikhlas dari,
WMHMY

wan_hazem19@yahoo.com