Thursday, December 11, 2014

Tempat-Tempat Menarik di Gold Coast, Australia...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Semalam saya ada ceritakan serba sedikit mengenai pengembaraan saya dan Saudara Omar Zahid di Gold Coast, Australia. Dan bagi melengkapi entry kali ini, saya ingin kongsikan beberapa tempat menarik dan interaktif menarik sepanjang hampir 5 hari saya berada di Gold Coast, Australia. Banyak tempat-tempat menarik yang perlu dan boleh dikunjungi sekiranya para pembaca blog ingin melancong ke sana. Setiap tempat dan interaktif itu mempunyai daya tarikan yang tersendiri tetapi saya kongsikan tempat-tempat yang kami pergi… Insyaallah… =) 

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI GOLD COAST, AUSTRALIA 

1. MOVIE WORLD 

Gold Coast terkenal dengan pelbagai jenis Taman Tema yang bertaraf dunia. Kami turut tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Movie World yang menampilkan pelbagai tarikan. Kami berpeluang untuk mencuba pelbagai roller coaster seperti ‘Superman Escape’, ‘Batwing Spaceshot’, ‘Scooby-Doo Spooky Coaster’, ‘Green Lantern Coaster’ dan ‘Justice League 3D-The Ride’. Selain itu, kami turut berpeluang menyaksikan ‘Hollywood Stunt Driver 2’, ‘HSD2 Experience’ dan ‘RIO The 4D Experience’. 






2. SEA WORLD 

Kami turut berkesempatan untuk pergi ke Taman Tema kedua yang cukup terkenal iaitu ‘Sea World’ di mana kami berpeluang untuk naik roller coaster seperti ‘Jet Rescue’, ‘Castaway Bay’, ‘Sea World Monorail’ dan pelbagai lagi. Selain itu kami turut berpeluang melihat pelbagai jenis haiwan di sini seperti beruang kutub, penguin, ikan lumba-lumba dan pelbagai jenis. Kami juga turut berpeluang menyaksikan beberapa jenis persembahan yang dipertunjukkan di situ. 





3. CURRUMBIN WILDLIFE SANCTUARY

Di sini anda akan dapat lihat secara lebih dekat dengan dunia semulajadi di Australia dengan melihat pelbagai jenis tumbuhan dan binatang yang menjadi daya tarikan utama Australia. Saya berpeluang untuk memeluk Beruang Koala, Kanggaru dan pelbagai jenis burung. Selain itu, pelbagai interaktif diwujudkan antara penganjur dengan pelancong. 





4. SURFERS PARADISE BEACH 

Setiap pagi kami berpeluang ke Pantai Surfers Paradise ini dimana anda semua akan dapat melihat langit biru tanpa awan dan melihat suasana pagi yang dingin. Tarikan utama di sini adalah pantainya yang sejuk dengan suasana yang cukup menarik dan kemudahan fasiliti yang mudah. Selain itu, ianya hanya bersebelahan dengan penginapan kami. 





5. MAIN BEACH STREET 

Di sini apa yang dapat saya katakan adalah anda akan berpeluang melihat pelbagai gelagat dan ragam dari penyanyi-penyanyi buskers, ahli silap mata dan pelbagai lagi hiburan jalanan yang menarik. Tambah pula, lokasi yang mudah dan turut mudah untuk kita dapatkan barang2 cenderahati di sini dan makanan-makanan halal. 




6. HARBOUR TOWN OUTLET SHOPPING CENTRE 

‘Harbour Town’ merupakan Pusat Outlet terbesar di Australia yang melibatkan 220 jenis gedung pakaian daripada pelbagai jenis jenama terkenal. Tempat ini sesuai untuk mereka yang berminat untuk membeli-belah. 



7. SKYPOINT OBSERVATION DECK 

Untuk pengetahuan, kami tinggal di President Apartment iaitu betul-betul bersebelahan dengan Skypoint ini. Di sini anda akan ditawarkan dengan pemandangan 360 darjah di atas menara ikonik di sini, Q1 ini merupakan bangunan ke-25 tertinggi di dunia. Anda juga akan berpeluang untuk menaiki lif terpantas di Australia dari tingkat bawah ke tingkat 77. 




8. INFINITY ATTRACTION 

‘Infinity Attraction’ memberikan satu kelainan utk aktiviti secara interaktif menerusi pengembaraan di dalam sebuah imaginasi yang unik dan futuristik. Pengembaraan ini melibatkan ‘Inter-Dimensional Space’, ‘The Cyclotron’, ‘Electron Maze’, ‘The Mystery Zone’, ‘Laser Zone’, ‘Light Canyon’ dan ‘Infinite Recession’. 



9. DRACULAS HAUNTED HOUSE 

‘Draculas Haunted House’ ini kami pergi secara tidak dirancang. Ianya secara kebetulan apabila kami berkesempatan melihat penjaga kaunternya yang begitu menakutkan ala-ala seorang Dracula’s. Interaktif yang dibuat di mana kami berpeluang untuk mengembara di dalam sebuah rumah setinggi 5 tingkat bagi memperlihatkan kepelbagaian dunia hantu ini dalam pelbagai bentuk. Interaktif seperti ini sedikit sebanyak memberikan satu pengalaman menarik di sana. 



10. 7D CINEMA – VIRTUAL REALITY 

‘7D Cinema’ ini adalah salah satu interaktif teknologi terbaru yang ada dalam reality maya di Australia. Kami pada mulanya tidak mahu masuk tetapi selepas tertarik dengan penceritaan seorang wanita Australia ini membuatkan kami masuk juga. Ianya melibatkan platform simulator kerusi dan bergerak mengikut apa saja yang berlaku pada skrin semasa menonton filem dgn menggunakan cermin mata 3D interaktif serta melibatkan 7 kesan istimewa yang berbeza mengikut pilihan filem yang diinginkan. 



*Insyaallah, kalau ada rezeki lagi, saya nak cuba mengembara pula ke Sydney ataupun Perth. Insyaallah… =) :)


Antara tempat-tempat menarik lain yang anda boleh tengok adalah :
1. Seoul, South Korea ,
2. Manila, Filipina 
3. Hong Kong 
4. Yogyakarta,Indonesia 
5. Singapura
6. Osaka, Japan
7. Kyoto dan Kobe, Japan

Sekian, Wallahua’lam… ~ 

 Ikhlas dari, 
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, December 10, 2014

GOLD COAST, AUSTRALIA... Aku Datang !

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Waahhh…lama sudah tidak kemaskini blog ini disebabkan sangat sibuk dengan tugasan harian. Bayangkanlah selepas habis peperiksaan akhir semester yang lepas, saya terus ke Australia dan Hong Kong. Lepas tue, kerja dengan ayah saya di Bazar Ramadhan selama sebulan. Pastu sambut raya di Ipoh, Perak sebelum berlepas selama hampir sebulan untuk ‘JNU Korean Language and Culture Program 2014’ di Jeju Island, South Korea belajar bahasa dan budaya di sana. 

Balik saja ke Malaysia, saya terus ke Manila, Filipina untuk perkongsian dengan beberapa universiti mengenai Pelestarian Kampus dan Kepimpinan Mahasiswa di sana. Lepas tue, balik ke UTM semula untuk pendaftaran Master Program dan saya terlibat dalam MANTAP 4 (Mahasiswa Turun Parlimen) selama sebulan dan saya bertugas dengan YB Datuk Mary Yap Kain Ching (Timbalan Menteri Pendidikan 1). Habis ja program tue, saya bertugas sebagai sukarelawan di Genexter Program dan Persidangan Agong UMNO di PWTC. Lebih kurang macam tue la jadual sepanjang hampir beberapa bulan ini. 

GOLD COAST, AUSTRALIA… Aku Datang ! 

Itulah sebenarnya yang saya ingin kongsikan mengenai salah satu program yang saya buat semasa terlibat aktif dalam Kepimpinan Mahasiswa dan dengan itu saya ambil peluang yang seterusnya untuk meneruskan fasa bagi ‘Sustainable Journey & Culture Immersion 2014 – Fasa 2 Gold Coast, Australia’, di mana ianya adalah kesinambungan kepada Fasa 1 iaitu di Yogyakarta di mana ianya memberi penekanan kepada perkongsian ilmu antara 2 Kepimpinan Mahasiswa di Malaysia dan Indonesia. 

Saya sebenarnya amat-amat bersyukur kerana mendapat respon yang sangat baik dari pelbagai pihak yang sudi memberi peluang kepada saya dan Saudara Omar Zahid, selaku Timbalan Pengarah saya untuk meneruskan program ini bagi Fasa Kedua. Dan kami memilih Griffith University yang di mana universiti turut mengamalkan konsep Kampus Lestari yang turut memberi peluang kepada saya untuk melihat pelbagai sudut di kampus tersebut. 



Melawat Griffith University…

Pertamanya, apabila saya sendiri bersama rakan2 saya melihat kemudahsampaian yang disediakan oleh pihak kerajaan di situ kepada penduduk (para pelajar) Griffith University ini dengan pelbagai pengangkutan awam iaitu Bas dan Tram yang betul2 di pintu masuk universiti tersebut. Ianya sedikit sebanyak dapat saya lihat sebagai satu kelebihan buat pelajar di situ untuk bergerak ke pelbagai tempat. Sistem pengangkutan awam ini sedikit sebanyak memperlihatkan konsep pelestarian di situ. 

Keduanya saya melihat landskap yang disediakan dengan suasana yang nyaman sejuk itu memberikan satu ruang yang sangat selesa untuk para pelajar berdiskusi dan membuat perbincangan di tempat yang terbuka secara aman dan damai. Kekuatan yang saya dapat lihat di situ adalah suasana, cuaca, suhu, budaya di situ yang mengamalkan cara hidup yang sihat di dalam kampus. 

Saya dan Saudara Omar Zahid juga dapat melawat pelbagai tempat di Griffith University secara berjalan kaki dan melihat secara dekat kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak Universiti kepada para pelajarnya. Dan apa yang dapat saya katakan adalah ianya seiring dengan yuran mereka yang saya anggap agak mahal berbanding di Malaysia.







Melawat Tempat Menarik di Gold Coast… 

Setelah selesai aktiviti di Griffith University, kami turut berpeluang untuk bergerak santai ke beberapa tempat menarik di sana terutamanya simbolik-simbolik penting Gold Coast sebagai tempat ‘Enjoy & Fun’. Saya berpeluang untuk masuk ke 2 buah taman tema terkenal di dunia iaitu Movie World dan Sea World. Selain itu, kami turut berpeluang untuk pergi ke pantai Surfers Paradise, Harbour Town, Currumbin Wildlife Sanctuary dan beberapa tempat lagi. 

Secara konklusinya, dapat saya katakan bahawa pengembaraan ini adalah salah satu program yang dapat memberi ruang dan peluang kepada saya untuk melihat secara lebih dekat budaya kerja manusia yang mengamalkan kehidupan lestari. Hal ini sedikit sebanyak, membuatkan kami berfikir bagaimana budaya ini dibuat oleh mereka terutamanya para pelancong juga turut memberi respon positif terhadap pembudayaan lestari di bumi Gold Coast itu. Insyaallah, untuk entry akan datang… saya akan kongsikan lebih banyak perkara menarik ketika berada di Gold Coast, Australia… Insyaallah… 









Sekian, Wallahua’lam…

#TerusBerbakti #TerusMelangkah 

Ikhlas dari, 
 WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com