Sunday, April 3, 2011

'Mahasiswa Prihatin' Turun Ke Rembau...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Kasih Mesra Bersama Kanak-Kanak Rembau” merupakan suatu program yang cukup memberi makna dan cukup bermanfaat kepada diri saya. Program ini merupakan simbolik kepada keprihatinan mahasiswa terhadap masyarakat luar terutamanya kanak-kanak yang teraniaya dan tersisih.

Program anjuran Persatuan Pengurusan Harta Tanah (PEHARTA) ini adalah permulaan yang baik yang perlu dicontohi oleh persatuan lain terutamanya yang ‘Bukan Akademik’ sebagai menyahut cabaran dan saranan YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia agar golongan mahasiswa turun ke kawasan luar Bandar untuk membantu mempercepatkan proses pembangunan Masyarakat Berilmu (Knowledge Society).

Tahniah juga kepada Pihak PEHARTA kerana berjaya menyumbangkan RM1,000 melalui hasil kutipan sumbangan dari pihak pensyarah, kakitangan UTM dan seterusnya mahasiswa yang lain kepada Pihak Rumah Kanak-Kanak Rembau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara aktiviti yang dilakukan oleh mahasiswa UTM adalah Perlawanan Bola Jaring antara Mahasiswi UTM dan Kanak-Kanak Rembau, Gotong-Royong, Tanam Pokok Perhiasan, Latihan Dalam Kumpulan, Mengecat Bilik Vokasional dan sebagainya lagi.

Program ini mendapat perhatian yang baik oleh Puan Wan Zaleha Bt Wan Mohamed, Timbalan Pengetua Rumah Kanak-Kanak Rembau dan beliau mengatakan bahawa UTM IC merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam ‘PERTAMA’ yang menjalankan aktiviti sosial sedemikian.

Penglibatan mahasiswa tahun 1 dan tahun 2 PEHARTA serta saya seorang sahaja dari tahun 3, sedikit sebanyak mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Walaupun saya kepenatan kerana baru pulang dari Johor dan Melaka, saya masih meneruskan aktiviti ke Rembau ini kerana aktiviti seperti sememangnya dinanti-nantikan oleh saya sendiri.

‘Keprihatinan Mahasiswa’ terhadap isu sosial dan kebajikan masyarakat luar patut kita hayati supaya sifat ‘Kemanusiaan’ itu terus mengalir dalam diri kita yang sedang meningkat dewasa. Penghayatan kesedaran seperti ini merupakan langkah terbaik bagi membantu masyrakat luar yang tersisih dan terpinggir.

Saya juga di sini ingin mengucapkan jutaan ‘Terima Kasih’ kepada Nur Sabrina Bt Mohamad Fuzi (Pengarah Program) dan Mohamad Shahmi Zabidi (Presiden Peharta sesi 10/11) kerana menjemput saya untuk bersama-sama turun padang bermesra dengan kanak-kanak Rembau.

Langkah aktiviti sebegini patut diteruskan oleh persatuan lain supaya kita semua bersama-sama dapat membudayakan sifat keprihatinan kita terhadap isu-isu sosial sedemikian. Saya percaya jika kita masih mempunyai ‘Keprihatinan’ terhadap kelompok ini, Insyaallah, masyarakat akan datang akan terus ‘Kaya’ dengan sifat Kasih sayang dan kemanusiaan sesama insan.

‘Kes Penderaan Fizikal’, ‘Anak Yatim’ dan sebagainya lagi merupakan antara punca kanak-kanak tersebut ditempatkan di sini atas perintah mahkamah. Sayu diri ini ketikan dikongsikan oleh beberapa kakitangan JKM kepada saya. Terkelu diri ini melihat keceriaan kanak-kanak di sini yang masih mampu tersenyum tetapi dalam hatinya menahan 1000 kepahitan.

Akhir kata, saya menyeru agar seluruh mahasiswa terus cakna dengan isu-isu sedemikian kerana di usia sebeginilah, sifat ‘Kemanusiaan’ itu perlu kita suburkan agar tidak leka dengan kemeriahan hiburan yang lagha semata-mata.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: