Wednesday, October 30, 2013

Lawatan Ke Parlimen Malaysia Lagi...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 23 Oktober 2013 yang lalu telah diadakan satu lawatan ke Parlimen Malaysia sebagai tugasan tambahan bagi subjek ‘Kajian Dasar Pembangunan Strategik’. Lawatan ini bermatlamatkan bagi memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk melihat secara lebih dekat sesuatu dasar itu digubal oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih menerusi Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini secara demokrasi sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Setiap wakil rakyat ini boleh dan bersedia membahaskan setiap penghujahan dan pendapat samada di peringkat Kerajaan mahupun Pembangkang.

Saya selaku Pengarah Program bagi lawatan ini melihat dari perspektif pelajar bahawa lawatan ini sebagai pendekatan yang cukup bermanfaat untuk para pelajar berinteraksi secara lebih dekat menerusi perkongsian oleh beberapa Ahli Yang Berhormat. Maka diwujudkan beberapa slot tambahan bagi memanfaatkan lawatan ini yang melibatkan Yang Berhormat Normala Abdul Samad (Ahli Parlimen Pasir Gudang) dan Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (Ahli Parlimen Kota Tinggi).

Perkongsian pertama semasa sesi Sarapan Pagi Bersama Yang Berhormat Normala Abdul Samad, Ahli Parlimen Pasir Gudang dikongsikan secara santai dan bersahaja mengenai bagaimana beliau berbahas dan memberi hujah mengenai ‘Prevention Of Criminal Act (POCA)’ di mana beliau kurang bersetuju dalam salah satu bab yang iaitu pesalah-pesalah jenayah kecil seperti memijak bendera dan sebagainya ditempatkan sekali dengan hukuman bagi pesalah-pesalah jenayah berat seperti perogol, pembunuh dan sebagainya.

Slot kedua diteruskan menerusi lawatan ke Galeri Awam Dewan Rakyat selama hampir 1 jam diberikan untuk para pelajar melihat secara lebih dekat sesi soal-jawab lisan antara Ahli Yang Berhormat dengan barisan Kerajaan Pemerintah. Menerusi slot ini, ia memberi sedikit sebanyak menggambarkan bahawa setiap soalan yang dikemukakan itu dijawab dan dikaitkan dengan dasar kerajaan bagi memberi penjelasan dan jawapan bagi setiap soalan yang dikemukakan secara lisan.

Seterusnya, slot ketiga pula diteruskan menerusi Sesi Makan Tengahari Bersama Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Ahli Parlimen Kota Tinggi dengan Pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewakili Yang Berhormat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak dapat bersama kerana terlibat dalam Mesyuarat Bajet 2014. Menerusi slot ini, Yang Berhormat Kota Tinggi ada berkongsikan mengenai Dasar FELDA yang diwujudkan semasa Pemerintahan Perdana Menteri sebelum ini di mana FELDA itu sendiri dapat dikaitkan dengan Dasar Pembangunan Strategik yang dilaksanakan oleh Pihak Kerajaan bagi membantu rakyat yang miskin dan susah pada suatu ketika masa dahulu.

Kesimpulannya, apa yang dapat saya katakan adalah lawatan ini telah mencapai sasaran awal di mana objektif dan matlamatnya dapat dicapai menerusi manfaat dan ilmu tambahan yang diperolehi yang dikongsikan secara lebih jelas dan berpraktikal. Menerusi lawatan ini juga, ianya semestinya mendekatkan para pelajar dengan Subjek Kajian Dasar Pembangunan Strategik itu sendiri.


Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, October 29, 2013

Pembentangan Kertas Seminar Latihan Industri (LI)...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH, selesai juga pembentangan Kertas Seminar menerusi Latihan Industri yang dilakukan sepanjang hampir 3 bulan di Majlis Bandaraya Alor Star. Pembentangan kali ini melibatkan seorang ahli panel iaitu Pensyarah dari Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM. 

Hampir sebulan lebih menangguhkan pembentangan Kertas Seminar ini disebabkan salah faham yang berlaku antara saya dengan pihak fakulti menyebabkan ianya tergendala sehinggalah ianya dimaklumkan semula oleh seorang Pensyarah Kanan FGHT kepada saya. 

Gelabah habis sebelum melangkah masuk ke bilik VIP di FGHT dan hanya berbekalkan ungkapan ‘Bismillahirahmanirrahim’ serta ilmu pengetahuan yang ada menguatkan lagi untuk yakin dalam setiap kata-kata yang diungkapkan. Dengan hanya 10 slide yang dipersembahkan dan saya lebih memfokuskan kepada aspek penerangan dan penghujahan membuatkan bilik tersebut kelihatan tenang termasuk bagi sesi soal-jawab. 

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsikan 10 slide yang dipersembahkan oleh saya sebagai perkongsian ilmu yang tak seberapa ini. Semoga dimanfaatkan oleh semua yang membacanya. Bersamalah melihat hasil kerja saya dalam membuat Kertas Seminar yang bertajuk ‘Prosedur Kelulusan Pembangunan Tanah Di Majlis Bandaraya Alor Star Bagi Maksud Pelancongan Ke Atas Tanah Kerajaan. Kajian Kes : Sungai Kedah’. 


Ini merupakan kali kedua saya menjalani Latihan Industri, jika sebelum ini saya memilih syarikat swasta iaitu Firdaus & Associates Professionals Property Sdn. Bhd, tetapi kali ini saya mencuba untuk melihat situasi dan budaya kerja di badan kerajaan pula maka saya memilih Majlis Bandaraya Alor Star. 

Banyak juga pengalaman yang dapat saya kutip sepanjang hampir 3 bulan saya di MBAS. Insyaallah, setiap ilmu yang saya pelajari dan tunjur ajar yang diberikan oleh penyelia dan rakan-rakan staf, akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Insyaallah… =) 

Akhir kata, saya ucapkan ‘Terima Kasih’ kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung semasa saya menjalani Latihan Industri ini. 

Sekian, Wallahua’lam… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Ijazah Sarjana Muda Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) 
Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah 
Universiti Teknologi Malaysia 
wan_hazem19@yahoo.com

Wednesday, October 16, 2013

Tahniah Kepada YB Khairy Jamaluddin & YB Mas Ermieyati Samsudin...

Assalamualaikum… 
Salam Perpaduan… 
Salam 1 Malaysia… 

TAHNIAH KEPADA YB KHAIRY JAMALUDDIN


Pertamanya, saya nak ucapkan TAHNIAH kepada YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau kerana dipilih sekali lagi mengetuai Pemuda UMNO Malaysia. Apa yang dapat saya katakan bahawa YB KJ sememangnya layak untuk mengetuai sayap parti tersebut dalam mendepani Politik Baru yang semakin rancak melibatkan para belia remaja hari ini. 

Apa yang saya perhatikan dalam Politik Malaysia yang melibatkan parti pemerintah iaitu UMNO Barisan Nasional, YB KJ mempunyai aura yang tersendiri ketikamana bersama dengan para belia hari ini berbanding pemimpin muda yang lain di dalam UMNO. Kredibiliti dan Keberanian beliau dalam membawa Politik Baru melibatkan konsep Debat Terbuka yang sentiasa dihadiri beliau mendepani Pendebat dari pihak Pembangkang. 

Banyak video-video yang saya tonton di Youtube melibatkan sesi perdebatan terbuka antara YB KJ dengan wakil-wakil dari pihak Pembangkang, contohnya ‘Debat Sinar : Isu PTPTN’ bersama YB Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), ‘Debat Sistem Pilihanraya’ bersama Dato’ Ambiga dan sebagainya lagi. Ini sememangnya membuktikan bahawa YB KJ sedang membawa arus baru dalam UMNO itu sendiri. 

TAHNIAH KEPADA YB MAS ERMIEYATI SAMSUDIN 


Pertama sekali saya nak ucapkan TAHNIAH kepada YB Puan Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana dipilih mengetuai Puteri UMNO Malaysia bagi sesi ini. Saya juga nak ucapkan berbanyak ungkapan TERIMA KASIH kepada YB kerana sudi menerima saya dan kawan-kawan saya ke Parlimen Malaysia nanti. 

Sekali bertemu dengan YB Mas, saya melihat personaliti yang ditonjolkan oleh beliau ketikamana berinteraksi dengan beliau dalam membincangkan kesediaan beliau untuk bersama-sama dengan saya dalam proses mengkaji dasar penggubalan menerusi subjek elektif yang saya ambil bagi semester ini. Kesudiaan ini menampakkan bahawa kesediaan beliau dalam bersama-sama membantu proses pengkajian yang sedang dibuat secara langsung ataupun tidak langsung. Insyaallah… 

*Insyaallah, teruskan membawa arus baru dalam Politik Malaysia yang lebih ke hadapan menerusi Politik Ilmu, Politik Anak Muda dan Politik Baru. Insyaallah… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, October 15, 2013

Salam Aidiladha Dari Bumi UTM Johor Bahru...

Assalamualaikum… 
Salam Perpaduan… 
Salam 1 Malaysia… 

SALAM AIDILADHA DARI BUMI UTM JOHOR BAHRU 

Sekali lagi saya ditakdirkan menyambut AidilAdha kali ini di bumi Sanjungan Bangsa, UTM Johor Bahru bersama-sama sahabat-sahabat, rakan-rakan dan mahasiswa/I Universiti Teknologi Malaysia. Menjadi seorang perantau dalam berjuang menuntut ilmu itu adalah satu pengalaman yang cukup menjadi diri ini kuat untuk berdiri dan berpijak di bumi yang nyata. 

Mendengar khabar dari ibu ayah dan adik-beradik yang sedang berada di Kelantan Darul Naim bagi meraikan Aidil Adha di sana, sedikit sebanyak memberi kesayuan hati ini dalam meraikannya tanpa kehadiran orang kesayangan di sisi. Terdengar laungan takbir sedikit sebanyak memberikan kesan kepada diri ini bagi menyambut Aidil Adha hanya bersama-sama dengan rakan-rakan di UTM ini. 

Sekadar perkongsian mengenai Ibadah Korban yang merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah atas nikmatnya sedikit sebanyak mewujudkan kerjasama, tolong-menolong, permuafakatan, interaksi sesama masyarakat. Seiring dengan amalan sedekah dan ziarah yang semestinya diteruskan. Penghayatan Ibadah Korban ini menunjukkan Indahnya Islam untuk semua. 

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan mencari keredhaan-Nya dengan ganjaran ibadah korban ini. Percayalah, Janji Allah itu benar sepertimana kisah Siti Hajar dan Nabi Ibrahim A.S yang sabar dengan ujian Allah, lalu dikurniakan Allah satu mukjizat kepada sekalian manusia iaitu Air Zam Zam yang tidak pernah putus bekalannya sehingga hari ini. 


“Semoga pengorbanan dan amal ibadah kita diterima-Nya…AMIN” 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Rakan HEMA UTM 
Merangkap Pemangku SUK MPM UTM 
wan_hazem19@yahoo.com

Malam Penghargaan MPM UTM Sesi 2012/2013 & Perlantikan Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

MALAM PENGHARGAAN MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA UTM SESI 2012/2013

Pada 7 Oktober 2013 (Hari Isnin) yang lalu, satu Majlis telah diadakan bagi memberi penghargaan kepada para Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM Sesi 2012/2013 yang bertempat di M-Suites Hotel. Malam penghargaan itu melibatkan para Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM yang telah berkhidmat selama setahun bersama Mahasiswa/I UTM.

Sekajap saja rasanya ‘setahun’ itu berlalu, pejam celik pejam celik dah sampai ke Majlis Penghargaan sudah. Walaupun tak semua yang hadir, tetapi sedikit sebanyak memberi kepuasan kepada saya untuk berkumpul dengan rakan seperjuangan dalam sebuah bahtera yang belayar selama setahun.

PERLANTIKAN RASMI RAKAN HEMA UTM SESI 2012/2013

Pada malam tersebut juga, turut diadakan Majlis Perlantikan Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013 iaitu sekumpulan pelajar yang dilantik oleh pihak UTM yang berlatarbelakangkan dengan kelebihan masing-masing di peringkat universiti ini. Sekumpulan pelajar ini diberi peluang untuk mengetuai para Mahasiswa/I UTM sementara menantikan kepimpinan baru Pucuk Pimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM yang baru.

Alhamdulillah, saya sekali lagi tersenarai dalam lantikan ini dan diberi amanah memegang 2 portfolio sekaligus iaitu Setiausaha dan Bendahari. Lantikan ini sedikit sebanyak memberi amanah dan tanggungjawab baru kepada saya untuk terus membawa harapan baru kepada para mahasiswa dalam menjadi pengantara dan perwakilan bagi membawa isu-isu dan suara mahasiswa melibatkan kebajikan Mahasiswa/I UTM.

Dengan pengalaman hampir 6 tahun dalam kepimpinan di UTM ini sedikit sebanyak dapat memudahkan segala macam urusan melibatkan isu-isu terkini di kalangan mahasiswa/I UTM walaupun terpaksa berdepan dengan segelintir mahasiswa yang menentang dan mempertikaikan lantikan ini. Tapi saya percaya, Allah Maha Berkuasa dalam menentukan segala macam yang berlaku. Insyaallah…

Seramai 11 orang dipilih termasuk saya bagi mengambilalih tampuk kepimpinan mahasiswa/I UTM yang melibatkan hampir 25,000 mahasiswa/I UTM. Setiap yang terpilih ini mempunyai latarbelakang yang berbeza dan masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Dan Alhamdulillah, bagi Rakan HEMA UTM Sesi 2012/2013 kali ini diketuai oleh Saudari Nursyazwani Aznan.

Dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Universiti, saya dan rakan-rakan seperjuangan akan lakukan yang sedaya termampu dan yang sedaya upaya terbaik dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Insyaallah, saya mohon sokongan dan kerjasama dari semua pihak dalam membantu kepimpinan kamu bagi membawa suara mahasiswa UTM ke peringkat yang lebih atas. Insyaallah… =)


“TERUS BERBAKTI” 

 Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Rakan HEMA UTM 
Merangkap Pemangku SUK MPM UTM 
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, October 14, 2013

Bicara IKON : "Be Yourself VS Improve Yourself"...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

BICARA IKON “BE YOURSELF VS IMRPOVE YOURSELF”


Itulah salah satu program ilmu yang dilaksanakan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM Sesi 2012/2013 yang diketuai oleh saya sendiri selaku Pengarah Program.

Untuk pengetahuan semua, pada awal perancangan program ini adalah pelaksanaan dibuat dengan memfokuskan kepada Mahasiswa/I UTM dari Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM (FGHT) bagi merealisasikan salah satu manifesto saya tetapi setelah berbincang berkali-kali akhirnya kami memutuskan untuk dibuat secara terbuka buat seluruh Mahasiswa/I Universiti Teknologi Malaysia.

Cadangan awal ahli panel bagi program ini adalah memfokuskan kepada 3 latar belakang yang berbeza iaitu Yang Berhormat Dato’ Razali Ibrahim (Pemimpin Muda Negara), Saudara Azizulhasni Awang (Atlet Negara) dan Saudari Yatt Hamzah (Selebriti Hijrah) dengan tarikh lain tetapi terpaksa ditukar ke tarikh lain yang menyebabkan 2 pihak tidak dapat sertainya.

Seterusnya saya mencadangkan Dr.Mohd Asri Zainul Abidin (Dr.MAZA) dan Saudari Diana Amir (Selebriti Hijrah). Dan akhirnya nama Ustaz Zamri Mantop (Pendakwah Bebas), Saudari Yatt Hamzah (Selebriti Hijrah) dan Saudara Fitri Haris (Selebriti Nasyid) yang menjadi pilihan dan bersesuaian dengan tarikh program iaitu 21 April 2013.

Alhamdulillah, program ini telah mendapat kerjasama yang baik dari beberapa pihak seperti Pusat Islam UTM, Alumni UTM, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Program berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancang hampir berbulan-bulan dan akhirnya direalisasikan dengan kerjasama hampir 16 tenaga kerja urusetia yang sudi bergandingan dengan saya dalam menyemarakkan majlis ilmu ini di bumi UTM tercinta. Dan Alhamdulillah, berkat usaha semua, program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para mahasiswa/I UTM sehinggakan jumlah kerusi yang disediakan sebanyak 500 dipenuhi oleh para penonton.

Pelaksanaan program seperti ini adalah memberi gambaran yang jelas bahawa majlis ilmu yang melibatkan perkongsian dari jemputan yang berbeza latar belakang amat dinanti-nantikan oleh para mahasiswa/I UTM sepertimana fenomena beberapa IPT di seluruh Malaysia yang memperlihatkan pelbagai majlis ilmu, bual bicara yang mendapat sambutan dan sokongan padu dari para belia remaja, mahasiswa/I di seluruh Malaysia hari ini.

Saya amatlah mengharapkan agar di peringkat Universiti hari ini seharusnya memperbanyakkan program-program seperti ini yang membawa ke arah pembangunan modal insan yang akan membentukkan kekuatan baru bagi menempuh ke alam dewasa di masa hadapan. Insyaallah… =)

Terima Kasih sekali lagi saya ucapkan kepada tulang belakang program ini iaitu Syazwani, Hisyam Rezali, Adeline, Hakim Mazeli, Ridzuan Razmin, Ana Suhah, Hidayah, Munirah Sulaiman, Iera, Khairil Adam, Fadzly dan semuanya yang memberi kerjasama hampir 200 % kepada program ini walaupun ketika itu saya mengalami demam panas semasa program berlangsung. Tak lupa juga kepada para penaja program yang sudi menaja program seperti ini. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalasnya. Insyaallah… AMIN… =)


*Saya mohon maaf setiap apa kekurangan, kesalahan, dan cacat-cela yang berlaku sepanjang, sebelum, semasa dan selepas program ini berlangsung. 

 “TERUS BERBAKTI” 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Rakan HEMA UTM, 
Pemangku SUK MPM UTM, 
Merangkap Pengarah Program Bicara IKON 
wan_hazem19@yahoo.com