Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...
Olympics Tokyo 2020 baru sahaja melabuhkan tirainya malam tadi dengan kemeriahan tanpa penonton di acara penutupannya di Stadium Olympics Tokyo yang penuh bersejarah di mana inilah kali pertama penganjuran Sukan Olimpik tanpa kehadiran penyokong dan penonton.
Penganjuran Olympics ini akan diteruskan ke France dimana Paris akan menjadi venue utama untuk acara sukan yang paling gemilang iaitu Olympics Paris 2024 yang sememangnya akan menjanjikan kelainannya.
MALAYSIA di Tangga Ke-74!
Malaysia berada di tangga ke-74 bersama-sama dengan Jordan dan Nigeria yang masing-masing memperolehi 1 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa. Malaysia memperolehi pingat Perak menerusi acara Basikal Trek - Keirin Lelaki (Datuk Azizulhasni Awang) dan Pingat Gangsa menerusi acara Badminton - Beregu Lelaki (Aaron Chia dan Soh Wooi Yik).
Seperti yang kita tahu, Datuk Lee Chong Wei adalah Ketua Kontinjen Negara Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi tidak dapat bersama dengan atlet untuk ke Tokyo disebabkan faktor kesihatan.
Malaysia telah menghantar sebanyak 30 atlet (18 wanita & 12 lelaki) menerusi 10 acara sukan iaitu Berbasikal, Badminton, Memanah, Terjun, Olahraga, Golf, Gimnastik, Pelayaran, Menembak dan Renang.
Malaysia meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk memburu Emas Pertama di Olympics menerusi beberapa acara sukan seperti Berbasikal, Badminton dan Terjun. Keyakinan Malaysia terhadap pemburuan emas ini terserlah dengan meletakkan Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying (atlet Badminton) sebagai pembawa Jalur Gemilang semasa upacara pembukaan.
Disebabkan pemburuan emas ini berkonsepkan sebuah pertandingan, maka Olympics Tokyo 2020 ini bukanlah menjadi medan untuk para atlet kita menyerlahkan bakat dan kehebatan masing-masing kerana masing-masing terkandas awal dan hanya beberapa atlet sahaja yang berjaya melangkahkan kaki ke acara akhir. Tapi ianya cukup untuk kita meraikan para atlet kita semua dengan usaha dan semangat juang yang gigih di pentas Olimpik ini.
Aku sebagai rakyat Malaysia dan sebagai penyokong kuat para atlet Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaek dan sentiasa meraikan mereka dengan berkongsi perkara-perkara yang positif. Aku sebenarnya agak terkilan apabila melihat komen-komen dari segelintir netizen dan rakan-rakan media sosial aku yang mengkritik mengenai prestasi atlet Malaysia di pentas Olimpik ini. Sepatutnya kita memberi sokongan moral yang positif kepada para Atlet kita untuk terus bangkit dan berusaha untuk mencapai kejayaan di masa akan datang.
Insyaallah, entry akan datang aku macam nak berkongsi sedikit sebanyak pasal atlet-atlet Malaysia yang mewakili Malaysia di Olympics Tokyo 2020 sebagai informasi buat semua dan semestinya sebagai tanda sokongan aku terhadap mereka. Insyaallah.
Tahniah buat Datuk Azizulhasni Awang untuk Pingat Perak dan Aaron Chia / Soh Wooi Yik utk Pingat Gangsa di Olympics Tokyo 2020. Dua pingat ini pun mampu memberikan suatu inspirasi buat semua rakyat Malaysia dalam meraikan semangat kesukanan di pentas Olimpik.
Penyertaan Aku Sebagai Sukarelawan Olympics Tokyo 2020!
Sejujurnya, aku meletakkan harapan yang sangat tinggi ketikamana apply sekitar pertengahan Tahun 2018 untuk menjadi sebahagian yang terlibat dalam Olympics Tokyo 2020 sebagai sukarelawan dengan mengambilkira pengalaman aku semasa menjadi Sukarelawan SEAGAMES Kuala Lumpur 2017. Nombor pendaftaran aku adalah 1004740.
Peringkat pertama aku terpilih untuk dipanggil oleh Tokyo 2020 Games Volunteer Office ke peringkat kedua untuk berkongsi pengalaman aku dalam aktiviti sukarelawan dimana aku perlu membuat esei dan menyatakan minat aku untuk menyertai Olympics Tokyo 2020 sebagai seorang sukarelawan.
Seterusnya aku terpilih lagi untuk ke peringkat ketiga menerusi sesi interview bersama pihak penganjur secara atas talian dan aku memberi respon yang sangat menyakinkan ketika itu sehinggalah aku menunggu dalam tempoh yang agak lama lebih kurang 3 bulan untuk mengetahui keputusannya samada aku terpilih ke peringkat seterusnya atau tidak.
Dan Alhamdulillah aku terpilih ke peringkat seterusnya dan diberi peluang untuk memilih bidang tugas yang aku minat dan diinginkan. Selepas beberapa bulan, aku tak dapat apa-apa respon dari pihak penganjur sehinggalah aku terima emel pada 12/09/2019 yang menyatakan aku gagal dan tidak terpilih di peringkat akhir.
Masa tue, aku kecewa yang teramat sangat sehinggalah sekitar Oktober 2019, aku membawa diri ke Thailand iaitu Chiang Mai dan Chiang Rai untuk mengubat kekecewaan aku.
Selang beberapa bulan di awal Tahun 2020, dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan Olympics Tokyo 2020 ini ditunda ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak dan akhirnya berjaya direalisasikannya pada Julai/Ogos 2021 dengan norma baharu dan tanpa penyokong/penonton.
Apa-apa pun, aku tetap akan mencuba nasib lagi untuk menjadi sukarelawan Birmingham 2022 Commonwealth Games dan Olympics Paris 2024. Insyaallah, aku takkan berputus asa dan akan terus mencuba sebab sebelum ini aku pernah menjadi salah seorang sukarelawan di Seagames Kuala Lumpur 2017.
Sama-sama kita doakan semoga Pembangunan Sukan di Malaysia terus maju dan kita akan memburu emas semula di Olympics Paris 2024 yang akan datang. Dengan usaha yang tekad dari para pejuang Atlet Malaysia kita, kajayaan pasti akan diperolehi nanti. Insyaallah...
Sekian, wallahua'lam...
Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment