Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...
Ambik semangat Olympic Tokyo 2020 tadi, satu berita menggembirakan buat rakyat Malaysia apabila Datuk Azizul Hasni Awang dan Shah Firdaus, dua wakil dari Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir bagi acara Keirin Lelaki yang akan diadakan pada hari ini (pagi 8 Ogos 2021) dan sama-sama doakan agar kedua-duanya mampu memberikan kejayaan buat Malaysia dengan menyumbangkan pingat kedua bagi kontinjen Malaysia... Insyaallah...
Hari aku nak mengulas atau memberi review terhadap satu album yang terbaru dari Dayang Nurfaizah iaitu BELAGU. Tahu apa tue BELAGU? BELAGU adalah dari bahasa Sarawak yang membawa maksud menyanyi. Album nie aku beli secara terus dari Dayang Nurfaizah semasa beliau membuka pre-order kepada para peminatnya.
BELAGU - Sebuah Kisah Klasik Dari Dayang Nurfaizah...
Benar! BELAGU nie memberi satu kelainan transisi berbeza dari Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi R&B yang cuba mengimbau atau mengembalikan kepada kita semua dengan lagu-lagu melayu klasik yang diberikan nafas baru yang lebih segar dan indah tanpa mengubah melodi asal bagi setiap lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini.
Pertamanya aku cukup tertarik ketikamana Dayang Nurfaizah memberi teaser lagu Tudung Periuk di instagramnya, dan aku terus terpikat dengan susunan melodinya dan sentiasa tertunggu-tunggu apakah yang terbaru dari Dayang ketika itu. Rupa-rupanya Dayang akan keluarkan satu album berbentuk fizikal iaitu BELAGU.
Dalam album ini terdapat 8 track lagu yang disusun secara segar untuk kita terus duduk dan dengar setiap lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam album BELAGU ini dan lebih menarik untuk album kali ini, Dayang turut menghadiahkan beberapa keping gambar sebagai tanda ingatan buat semua peminat dan pendengar album BELAGU.
Dan yang paling menarik adalah album BELAGU ini dirakam secara live dimana barisan pemuzik turut berada mengalunkan muzik dengan persembahan vokal Dayang Nurfaizah yang mantap dengan mengambil inspirasi penyanyi-penyanyi terdahulu merakamkan album secara live tanpa rakaman di studio sepertimana kebiasaannya.
Track Pertama - Tudung Periuk
Lagu Tudung Periuk ini adalah single pertama yang diambil dari Album BELAGU dan bila kali pertama mendengarnya dan membuatkan aku tertarik untuk terus mendengar dengan lenggok dan susunan melodi yang segar dibawakan oleh Dayang.
Lagu nie adalah lagu asal dari Seniman Negara P.Ramlee dan Salmah Ismail yang menjadi lagu tema di dalam filem Sumpah Orang Minyak. Cukup berbeza susunan muzik yang asal tetapi diberikan satu nafas baru oleh Dayang dengan pembawaan vokal yang gemersik dan lenggok syahdu yang lebih segar tanpa mengubah melodi asal lagu ini.
Track Kedua - Jikalau Abang Merindu
Lagu Jikalau Abang Merindu ini sedikit rancak muziknya dan pembawaan oleh Dayang adalah sedikit berbeza dengan penyanyi asal lagu ini iaitu Nona Asiah dan seterusnya Uji Rashid. Lagu nie best sebenarnya bila didengar secara santai disebabkan gabungan muzik yang agak rancak dengan lontaran vokal Dayang yang sedap yang sedikit sebanyak kita pun tak tahu yang sebenarnya lagu ini sudah wujud zaman berzaman.
Track Ketiga - Tak Seindah Wajah
Pertama kali aku dengar lagu Tak Seindah Wajah ini adalah ketika konsert Perjalanan Seni Tan Sri SM Salim dan ya, penyanyi asal untuk lagu ini adalah Tan Sri S.M. Salim. Lagu ini diberi nafas baru oleh Dayang yang ternyata memberikan kelainan penyampaiannya yang lebih segar.
Track Keempat - Malam Ku Bermimpi
Malam Ku Bermimpi merupakan single kedua oleh Dayang dalam memperkenalkan Album BELAGU kepada umum dan pertama kali aku tengok Dayang mempersembahkan lagu ini secara live adalah ketika mempromosikan BELAGU di Malaysia Hari Ini.
Penyanyi asal lagu Malam Ku Bermimpi ini adalah P.Ramlee dan Saloma.
Track Kelima - Gurindam Jiwa (Duet Bersama Hael Husaini)
Lagu Gurindam Jiwa adalah lagu asal yang dinyanyikan oleh penyanyi Singapura iaitu R. Ismail tetapi untuk album ini, Dayang menyanyikannya secara duet bersama Hael Husaini iaitu antara pasangan duet yang terbaek di Malaysia dan pernah muncul sebagai pemenang utama di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 menerusi lagu HARAM.
Aku agak tertarik dengan lagu ini apabila digabungkan dengan vokal unik oleh Hael Husaini yang tak silap aku, kali pertama beliau menyanyikan lagu klasik secara lenggok asli dan ternyata ianya menjadi! Lagu Gurindam Jiwa ini antara lagu yang paling aku suka di dalam album BELAGU.
Track Keenam - Tari Tualang Tiga
Lagu Tari Tualang Tiga adalah lagu tema dari Filem Sumpah Orang Minyak yang dinyanyikan oleh Seniwati Negara, Saloma. Lagu nie agak rancak dan sekali sekala membuatkan kita turut bertepuk tangan mengikut rentak muzik yang cukup menarik.
Kali pertama aku dengar Dayang nyanyi lagu nie adalah di Konsert Kesuma Jiwa di Istana Budaya sebelum berlakunya pandemik Covid-19. Masa tu tak terfikir pun yang Dayang akan keluarkan album baru dan lagu ni menjadi salah satu lagu yang akan dimuatkan di dalam album terbaru beliau.
Track Ketujuh - Dikirim Jangan Dipesan Jangan
Sejujurnya, aku tak pernah dengar lagu ni sebelum Dayang menyanyikan semula lagu ini untuk Album BELAGU. Setelah membuat carian di google, lagu ini merupakan lagu asal yang dinyanyikan oleh Datuk Andre Goh.
Lagu nie tidaklah terlalu klasik tetapi susunan muziknya dapat mengembalikan kita ke zaman dahulu apabila diselitkan dengan alunan seruling yang memberi keindahan terhadap lagu ini. Lagu ni juga antara lagu yang menyerlahkan vokal Dayang dalam persembahan di dalam Album BELAGU.
Track Kelapan - Kenang Daku Dalam Doamu
Penyanyi asal bagi lagu Kenang Daku Dalam Doamu ini ialah M.Bakri dan seterusnya dinyanyikan semula oleh Datuk Sharifah Aini dan Tan Sri S.M. Salim. Tapi kebiasaannya aku dengar lagu ni oleh Tan Sri S.M. Salim.
Bila Dayang upload teaser di instagram ketikamana dia menyanyikan lagu ini sambil piano dimainkan oleh Aubrey Suwito, aku terus jatuh cinta ! Ketika tue, aku menjangkakan yang lagu ini akan dibawakan oleh Dayang secara yang lebih klasik dengan lenggok melayu asli dan ternyata ianya adalah benar! Memang sedap lagu ni dibawakan oleh Dayang.
Dengan alunan muzik yang agak santai dengan suasana atau pembawaan emosi yang sedih oleh Dayang, ianya ternyata mampu memberikan aku untuk memahami setiap bait-bait lirik yang ada di dalam lagu ini. Syabas Dayang!
Secara keseluruhan, aku sangat-sangat berpuas hati dan sangat-sangat berbaloi apabila dapat memiliki album BELAGU ini secara fizikal disebabkan Tahun 2021 nie kita dah bergerak ke muzik digital dan kebanyakan penyanyi lebih ke arah pendigital muzik berbanding berhabis duit untuk keluarkan album secara fizikal.
Lagu-lagu yang menarik dipersembahkan dengan lontaran vokal yang hebat oleh Dayang Nurfaizah menjadikan album ini antara yang menarik untuk dimiliki oleh semua dalam menyambut kehadiran penyanyi hebat untuk mengangkat kembali lagu-lagu klasik Melayu kepada generasi baru era 2021 ini.
Aku doakan semoga Dayang Nurfaizah terus success di masa akan datang dan mengharapkan sekiranya suatu hari nanti Dayang persembahkan lagu-lagu ini secara live di konsert-konsert yang akan datang disebabkan aku masih rindu dengan persembahan hebat Dayang di Konsert Kesuma Jiwa bersama Datuk Rizalman. Insyaallah...
Sekian, wallahua'lam...
Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment