Salam Perpaduan...
Salam 1 Malaysia...
Alhamdulillah, bertemu kembali untuk entry terkini sepertimana yang aku janjikan sebelum ini untuk kongsikan mengenai teater Perempuan Perang. Aku pun dah semakin dekat dengan teater selepas satu persatu teater aku ikuti secara individu mahupun bersama kawan aku. Aku suka teater, aku suka movie kerana aku percaya aktiviti dengan menonton teater dan movie sedikit sebanyak dapat menghilangkan stress aku terhadap tugas dan amanah aku bekerja.
Aku sebenarnya sedang mengarang/menulis satu artikel untuk aku hantar ke akhbar mengenai pandangan aku sebagai seorang anak muda yang amat-amat 'merayu' kepada orang-orang muda di luar sana untuk segera mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana aku percaya kemungkinan besar Pilihanraya Umum Ke-14 dijangka dibuat pada tahun hadapan. Kuasa dan hak orang muda seharusnya digunakan sebaik mungkin. Sekiranya tak berjaya disiarkan di akhbar, aku tetap akan kongsikan di blog aku ini.
Aku cuba sebenarnya mengelak untuk terlibat aktif di dalam politik kerana ada sebab-sebab tertentu tetapi aku rasa, aku perlu untuk terus menulis sepertimana sebelum ini. Menerusi penulisan samada ianya dibaca atau tidak oleh orang di luar sana, aku masih percaya bahawa penulisan itu tidak akan mati dan sewajarnya terus dikongsikan secara ilmiah dan ada faktanya. Aku sayang dengan dunia orang muda, aku sentiasa menghargai karya-karya orang muda, pandangan orang muda dan semuanya atas nama orang muda. Tapi kadang-kadang aku perhatikan tak semua orang muda menggunakan usianya itu untuk kebaikan pada orang ramai. Betul atau tidak, ianya bergantung kepada anda di luar sana untuk fikirkan... ~
PEREMPUAN PERANG By CubeArt dan Revolution Stage...
Perempuan merupakan perhiasan dunia. Perempuan juga dilahirkan dengan sifat dan perwatakannya yang lemah lembut, sopan-santun, menjaga maruah dirinya dan menjadi pasangan buat kaun Adam seperti aku. Perempuan juga semakin hebat di pentas dunia dalam pelbagai bidang termasuklah di bidang pengurusan, pentadbiran, sukan, politik, kebudayaan dan sebagainya lagi.
Menerusi teater Perempuan Perang yang dihasilkan oleh Bro Ridzuan K'n (selaku Pengarah) dan Afiza Asram (selaku Pengarah Bersama, Penulis Skrip dan watak utama) yang cuba mempertaruhkan dan mengenengahkan watak Laila (lakonan Afiza Asram) dan Ibrahim (lakonan Bro Khairunazwan Rodzy) di dalam satu konflik kehidupan dan mengangkat tema kekeluargaan pasangan suami isteri. Laila dipertunjukkan dengan kekuatan yang sangat luar biasa terutamanya mengawal emosinya yang sedang terganggu antara kebenaran, kekeliruan ataupun kepalsuan.
Teater ini menceritakan mengenai Laila yang berdepan dengan situasi suaminya, Ibrahim yang merupakan seorang peguam yang dituduh sebagai pelaku sodomi (meliwat) terhadap Umi iaitu anak guamnya yang merupakan seorang lelaki berperwatakan wanita. Manakala Ibrahim pula masih tak dapat nak pastikan samada pertuduhan itu benar atau tidak sehinggalah beliau tewas di mahkamah.
Keadaan ini tidak memutuskan semangat Laila yang terus bangkit bersama-sama dengan kekuatan anak-anaknya bagi terus memperjuangkan kebenaran buat suaminya dan semestinya menjaga aib suaminya. Dalam masa yang sama, sahabat baik suaminya (lakonan Hushairi Husain, pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaek FFM28 menerusi filem Polis Evo) pula cuba mendekati Laila dan cuba mempengaruhi Laila supaya berpisah dan meninggalkan Ibrahim. Tetapi disebabkan cinta yang ikhlas antara Laila dan Ibrahim membuatkan Laila terus bangkit dan kuat mempertahankan cinta antara mereka berdua.
Dengan durasi masa perjalanan ceritanya yang hampir 1 jam, teater ini turut diselitkan dengan nyanyian oleh Ibrahim yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan dan keasyikan. Nyanyian tersebut bila aku cuba fahami bait-bait liriknya, ianya cukup menyentuh hati di tambah dengan lenggok suara Ibrahim, persembahan pada babak itu cukup menarik.
Secara keseluruhannya, teater Perempuan Perang ini cukup menghiburkan dan menyentuh perasan apabila ianya dihayati dan difahami dari satu babak ke satu babak. Aku berikan 4 bintang untuk teater ini dan sewajarnya ditonton oleh setiap pembaca blog aku yang berada di Kuala Lumpur kerana teater ini masih dipentaskan sehingga 2 Oktober depan.
Aku bersama para pelakon Perempuan Perang... |
Aku bersama dengan para pelakon dan penonton yang hadir... |
Sebagai tambahan, aku cukup berpuas hati menonton pementasan penuh teater Perempuan Perang ini kerana ketika menonton secara teaser teater ini di 'Forum dan Pameran Visul : Detik Tercetusnya Reformasi', ianya hanya dipersembahkan hanya sekejap sahaja yang pada pemahaman aku bahawa teater Perempuan Perang ini diadaptasi dari kisah YB DS Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi selepas menonton teater ini, barulah aku tahu yang aku salah kerana teater dan watak Laila ini tiada kaitan langsung dengan figura politik itu. Cuma semangatnya sahaja menjadi persamaan antara Laila dengan figura politik itu.
Sekian, wallahua'lam...
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com
No comments:
Post a Comment