Pages

Wednesday, October 30, 2013

Lawatan Ke Parlimen Malaysia Lagi...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 23 Oktober 2013 yang lalu telah diadakan satu lawatan ke Parlimen Malaysia sebagai tugasan tambahan bagi subjek ‘Kajian Dasar Pembangunan Strategik’. Lawatan ini bermatlamatkan bagi memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk melihat secara lebih dekat sesuatu dasar itu digubal oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih menerusi Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini secara demokrasi sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Setiap wakil rakyat ini boleh dan bersedia membahaskan setiap penghujahan dan pendapat samada di peringkat Kerajaan mahupun Pembangkang.

Saya selaku Pengarah Program bagi lawatan ini melihat dari perspektif pelajar bahawa lawatan ini sebagai pendekatan yang cukup bermanfaat untuk para pelajar berinteraksi secara lebih dekat menerusi perkongsian oleh beberapa Ahli Yang Berhormat. Maka diwujudkan beberapa slot tambahan bagi memanfaatkan lawatan ini yang melibatkan Yang Berhormat Normala Abdul Samad (Ahli Parlimen Pasir Gudang) dan Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (Ahli Parlimen Kota Tinggi).

Perkongsian pertama semasa sesi Sarapan Pagi Bersama Yang Berhormat Normala Abdul Samad, Ahli Parlimen Pasir Gudang dikongsikan secara santai dan bersahaja mengenai bagaimana beliau berbahas dan memberi hujah mengenai ‘Prevention Of Criminal Act (POCA)’ di mana beliau kurang bersetuju dalam salah satu bab yang iaitu pesalah-pesalah jenayah kecil seperti memijak bendera dan sebagainya ditempatkan sekali dengan hukuman bagi pesalah-pesalah jenayah berat seperti perogol, pembunuh dan sebagainya.

Slot kedua diteruskan menerusi lawatan ke Galeri Awam Dewan Rakyat selama hampir 1 jam diberikan untuk para pelajar melihat secara lebih dekat sesi soal-jawab lisan antara Ahli Yang Berhormat dengan barisan Kerajaan Pemerintah. Menerusi slot ini, ia memberi sedikit sebanyak menggambarkan bahawa setiap soalan yang dikemukakan itu dijawab dan dikaitkan dengan dasar kerajaan bagi memberi penjelasan dan jawapan bagi setiap soalan yang dikemukakan secara lisan.

Seterusnya, slot ketiga pula diteruskan menerusi Sesi Makan Tengahari Bersama Yang Berhormat Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Ahli Parlimen Kota Tinggi dengan Pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewakili Yang Berhormat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak dapat bersama kerana terlibat dalam Mesyuarat Bajet 2014. Menerusi slot ini, Yang Berhormat Kota Tinggi ada berkongsikan mengenai Dasar FELDA yang diwujudkan semasa Pemerintahan Perdana Menteri sebelum ini di mana FELDA itu sendiri dapat dikaitkan dengan Dasar Pembangunan Strategik yang dilaksanakan oleh Pihak Kerajaan bagi membantu rakyat yang miskin dan susah pada suatu ketika masa dahulu.

Kesimpulannya, apa yang dapat saya katakan adalah lawatan ini telah mencapai sasaran awal di mana objektif dan matlamatnya dapat dicapai menerusi manfaat dan ilmu tambahan yang diperolehi yang dikongsikan secara lebih jelas dan berpraktikal. Menerusi lawatan ini juga, ianya semestinya mendekatkan para pelajar dengan Subjek Kajian Dasar Pembangunan Strategik itu sendiri.


Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

No comments:

Post a Comment